Keningau – Pada 22hb Mac yang lalu, seramai 300 calon baptis diterima oleh YM. Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dalam perayaan Ekaristi. Calon-calon baptis ini berasal dari 10 Zon yang bernaung di bawah Paroki St Francis Xavier.
Dalam khotbah Bapa Uskup, beliau pertama-tama mengingatkan umat yang hadir, dan lebih-lebih lagi kepada para calon baptis, bahawa kita telah memasuki minggu pertama dalam masa Prapaskah. Dalam masa Prapaskah ini, kita diminta untuk semakin mendekatkan diri kita dengan Tuhan, dalam amal kasih, dalam doa dan pantang, dalam kasih persaudaraan, dan terutamanya dalam perayaan Ekaristi itu sendiri. Dalam perayaan Ekaristi inilah, Yesus sungguh-sungguh hadir dan menyapa umat-Nya melalui sabda-Nya dan menguatkan hidup rohani kita dengan memakan Tubuh-Nya dalam perjamuan kudus.
Kedua, bagaimana kita memiliki relasi yang dekat/intim dengan Tuhan dan dengan sesama? Tidak lain, iaitu dengan menghadiri perayaan Ekaristi, dengan menerima Sakramen-Sakramen secara teratur secara khusus Sakramen Ekaristi dan Sakramen Rekonsiliasi, selalu membaca dan merenungkan Firman Tuhan, berdoa dan memiliki devosi kepada para kudus. Hubungan yang akrab dengan Tuhan akan mengalir dalam persaudaraan dengan sesama.
Ketiga, bagi para calon baptis, hendaknya mulai mempersiapkan diri untuk dibaptis pada malam Paskah nanti. Dan biarlah ini merupakan kehendak bebas/pilihan dari diri sendiri kerana cinta kepada Tuhan dan bukannya disebabkan paksaan dari mana-mana pihak.