KSFX – Pemberkatan perkahwinan beramai-ramai telah diadakan pada 4 Mac yang lalu bertempat di Gereja Katedral St Francis Xavier, Keningau seawal jam 9 pagi. Seramai 21 pasangan hadir untuk diberkati perkahwinan mereka. Sebahagian pasangan adalah calon baptis pada malam Paskah nanti, sedangkan sebahagian lagi adalah ibubapa dari pelajar Inisiasi Kristian Kanak-Kanak (IKK) dan Inisiasi Kristian Remaja (IKR). Pemberkatan perkahwinan tersebut disempurnakan oleh Rev Fr Bonaventure Unting.
Dalam homilinya, Rev Fr Bonaventure Unting menekankan bahawa “Apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia.” (Mat 19:6). Beliau menjelaskan bahawa di dalam Gereja Katolik tidak ada istilah perceraian. Tidak ada yang boleh membatalkan perkahwinan tersebut kecuali kematian. Jika salah satu pasangan meninggal dunia, pasangan lain boleh menikah kembali secara Katolik.
Lanjutnya, beliau berpesan bahawa tujuan utama sebuah perkahwinan ialah supaya pasangan itu dapat saling tolong-menolong, dapat saling melengkapi dan saling memberkati antara mereka. Mereka juga dituntut menjadi ibubapa yang bertanggungjawab bagi anak-anak mereka. – Stefhanie Jaikul.