IMG_6171

Keningau – Seramai 18 pasangan diberkati perkahwinannya dalam perkahwinan beramai-ramai yang berlangsung di Gereja Katedral St Francis Xavier, Keningau. Pemberkatan perkahwinan ini bermula seawal jam 9.30 pagi. Pasangan yang diberkati perkahwinannya berusia antara 30an hingga 50an.

Rev Fr Bonaventure Unting memulai homili beliau dengan mengutip ayat dari Injil Lukas 15:10 “Demikian juga akan ada sukacita pada malaikat-malaikat Allah karena satu orang berdosa yang bertobat”. Pemberkatan perkahwinan merupakan pertobatan yang nyata. Pada pagi hari ini, seramai 18 pasangan suami isteri akan diberkati perkahwinan mereka dan tentunya bukan saja para malaikat yang bergembira melainkan juga Yesus sendiri, tersenyum melihat kehadiran kamu semua. Dan bila mana kita bertobat, bukan saja Tuhan mengampuni tetapi juga menerima rahmat daripada Tuhan. Selama ini, kita berhenti bersatu dengan Tuhan di dalam penyambutan, tetapi kerana belas kasihan dan kasih Tuhan yang luarbiasa, maka pada hari ini 18 pasangan mahu agar perkahwinan mereka diteguhkan sah di dalam Gereja Katolik. Pemberkatan perkahwinan merupakan kesempatan bagi para pasangan untuk mengingat kembali percintaan pada awal mula, pertemuan pertama kali dan sebagainya.

Di awal percintaan, semuanya manis-manis belaka dan tidak menggunakan perkataan yang boleh menyakitkan perasaan pasangan. Namun, berjalannya waktu, semua itu boleh berubah. Banyak hal yang mempengaruhi hubungan sebagai suami isteri. Dan ingatlah dalam kehidupan berkeluarga, utamakan Tuhan dan jadikan Tuhan sebagai pengikat di dalam hubungan suami isteri dan dengan anak-anak. Semakin mendekatkan diri dengan Tuhan, sifat yang ada pada Tuhan akan mengalir ke dalam hidup kita, sehingga kita dapat dengan mudah mengasihi sang suami, isteri dan anak-anak.

Jika tidak memiliki kasih, dan pasangan melakukan kesalahan sekecil apa pun, maka masalah itu akan dilihat sebagai masalah yang besar dan ini akan mencetus pergaduhan bahkan sampai pada perceraian. Jika kasih itu kita miliki, maka pengampunan akan mudah untuk diberikan. Bertumbuh teruslah dalam iman dan iman itu dapat ditunjukkan di dalam pelayanan dan dalam perbuatan sehari-hari.