PEMBAHARUAN JANJI KOMITMEN PELAYAN SABDA KSFX

Artikel oleh : Melissa Floly

Pelayan Sabda bergambar bersama Bapa Uskup Cornelius Piong

NULU SOSOPON, KENINGAU: Seramai 80 orang pelayan sabda Katedral St.Francis Xavier Keningau(KSFX) telah memperbaharui komitmen mereka dalam dalam Misa Kudus Hari Minggu Sabda Allah yang diselebrankan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong pada 22 Januari lalu di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon.

Memetik tema perayaan Hari Minggu Sabda Allah pada kali ini iaitu Sinodaliti dan Firman, Uskup Cornelius dalam homilinya menyatakan bagi mencapai tujuan utama Gereja Sinodal ini umat perlu berjalan bersama dengan semangat komuniti dan ini juga merupakan satu ajakan untuk umat turut berpartisipasi dan mengambil peduli akan keperluan gereja dalam semua aspek termasuklah kebajikan rohani dan fizikal Gereja. Uskup Cornelius juga kembali mengingatkan bahawa, gereja dan umatnya mempunyai misi iaitu untuk menjadi “garam” dan “terang” bagi dunia. “Kita dibaptis bukan untuk berdiam diri, justeru kita dibaptis dan diutus untuk mewartakan Kerajaan Allah. Bersaksi bagi Dia walau dimana pun kita berada” tegas prelatus itu.

Seterusnya, Uskup Cornelius menekankan akan peranan Firman Tuhan dalam kehidupan seharian kita, dalam keluarga dan komuniti kita. Seperti dalam petikan (Mazmur 119:105), “FirmanMu pelita bagi kakiku, terang bagi jalanku”, perjalanan iman kita boleh diibaratkan seperti sebuah kapal yang berlayar, dan Firman Tuhan adalah kemudi yang menuntun dan mengarahkan kita untuk sampai ke destinasi.

Maka, Uskup Cornelius menyeru kepada semua umat agar walaupun berada di kesibukan dan pergumulan hidup, tetaplah mengambil masa sejenak untuk membaca, mendengar dan merenung Firman Tuhan. Prelatus itu menambah, apabila kita berpegang teguh kepada FirmanNya, kehidupan seharian kita juga akan semakin terarah kepada Tuhan, dan memetik ayat “Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah”  (2 Tim 3:16).

Dengan mendengar dan merenung Sabda Allah, perjalanan hidup kita akan terjamin menuju keselamatan. “Semoga dalam perayaan Hari Minggu Sabda Allah ini, menyedarkan  kita sebagai saksi-saksi Kristus untuk memanfaatkan Sabda Allah dengan sungguh dan komited.” kata Bapa Uskup mengakhiri homilinya.

Sharing is caring!