PELANCARAN TAHUN MISSIONARI KEUSKUPAN KENINGAU

KENINGAU : Selaras dengan Ulang Tahun ke 100 surat Apostolik Sri Paus Benedik ke-15 yang bertajuk “Misi yang utama dan luhur” yang mana beliau yang digelar Paus Missionari itu mengajak Gereja dan umatnya mewartakan Khabar Gembira Yesus Kristus ke seluruh Dunia.

Sempena dengan itu, Sri Paus Francis telah mengisytiharkan bahawa bulan Oktober merupakan bulan Missionari” dan kemuncaknya akan diadakan ada 20 Oktober yang juga bersamaan dengan Hari Minggu Misi Sedunia.

Uskup seluruh Malaysia menyambut cadangan Paus Francis, dan sebulat suara memanjangkan tempoh menyambut ”Bulan Missionari” kepada “Tahun Missionari” selaras dengan keperluan dan keadaan umat di seluruh Malaysia.

 

YM Uskup Cornelius Piong telah memutuskan bahawa Tahun Missionari di Keuskupan Keningau dilancarkan pada 27 Januari 2019 dengan tema “Kita dibaptis dan diutus dengan misi mewartakan Kristus.”

 “Sri Paus menegaskan kepada kita untuk membangun relasi peribadi dengan Yesus. Tidak cukup hanya dibaptis, mengetahui ajaran Gereja, tetapi kita perlu terus diperteguhkan melalui Ekaristi, firman Tuhan, Adorasi, aktiviti-aktiviti komuniti dan banyak lagi.” Uskup dalam homilinya.

Prelatus itu juga membawa umat agar menjadikan orang-orang Kudus, Martir, Santo dan Santa sebagai inspirasi iman seperti yang dinyatakan oleh Sri Paus. Khususnya bagi mereka yang telah menjadi saksi misi Kristus kepada pembentukan iman Kristian di Keuskupan Keningau iaitu Msgr. Augustine Wachter dan beberapa orang paderi.

Pada tahun 4 Ogos 1945, Msgr. Wachter dan beberapa orang paderi dan orang awam telah dibunuh kerana iman, namun tanda-tanda seperti jenazah mereka masih belum dijumpai sehingga sekarang. Meskipun terdapat spekulasi-spekulasi yang sudah dinyatakan namun belum cukup merungkai sejarah sebenar.

“Kita bersyukur kepada Tuhan kerana di Keuskupan Keningau ada mereka yang mati sebagai martir. Oleh itu, mari kita sama-sama mohon pertolongan Tuhan, supaya Bapa memberikan tanda kepada kita untuk menemui sejarah mengenai kematian mereka seterusnya menemui di mana jenazah dikuburkan, agar sejarah diketahui supaya iman umat diperteguhkan dan adanya bukti kesaksian iman yang dijalankan oleh Msgr. Wachter dan paderi terdahulu.” Seru Uskup.

Melalui pesan Sri Paus juga, Uskup mengajak umat menambahkan pengetahuan tentang ajaran Gereja, Teologi dan kerohanian supaya mempunyai bahan dalam membawa Yesus kepada sesama kita. Peka kepada keperluan orang-orang miskin dan terpinggir kerana itu merupakan satu cara kesaksian yang  berkesan.

Program untuk Tahun Missionari akan di buat secepat mungkin oleh Komiti yang sudah ditubuhkan setelah mengikuti seminar tentang Missionari yang diketuai oleh Rev. Fr. Harry Dorisoh. KOMSOS KGAU

Sharing is caring!