SENAGANG, KENINGAU: Umat dari KUK-KUK di bawah naungan Zon Senagang merayakan Misa Kudus bersempena Pesta Bonda Maria Diangkat Ke Syurga di Gereja St. Yohanes Penginjil Senagang yang dipimpin oleh Fr. Joseph Gapitang pada 15 Ogos 2022. Para katekis dan pembantu pelayan komuni yang melayani di Zon Senagang juga turut hadir dalam membantu dan melayani dalam perayaan ekaristi ini.
Fr. Joseph Gapitang pada awal misa kudus menyatakan rasa syukurnya kerana dapat merayakan perayaan ini bersama-sama dengan umat di Zon Senagang.
“Seperti pengalaman saya sendiri dan mungkin juga kamu, pada saat kesusahan dan bahaya kita umat menyerukan pertolongannya sebab kita yakin bahawa Bonda Maria akan mendengar dan menolong kita. Pada masa kita putus asa dan tiada harapan kita memandang Bonda Maria sebagai bonda yang “penuh kasih”. Dan kita juga harus ingat bahawa tidak cukup hanya berdevosi kepada Santa Maria tetapi Ibu Yesus seharusnya menjadi teladan kehidupan yang sesuai dengan kehendak Allah” kata Fr Joseph dalam homilinya dalam perayaan misa kudus tersebut.
Klerus itu juga mengingatkan bahawa kita juga dipanggil seperti Maria untuk menjadi pendengar dan pelaksana sabda Allah dan kita juga diajak untuk menghidupi kehidupan kita tanpa sikap acuh tak acuh jika kita ingin ke syurga.
Sebelum memberi berkat penutup Fr Joseph Gapitang telah mengongsikan kepada umat-umat yang hadir dalam misa kudus tersebut, perasaan bahagia dan gembiranya semasa merayakan misa kudus ini. Selebran juga mengajak para umat untuk berdoa 3 kali Salam Maria setiap hari dan percaya amalan tersebut menyebabkan hari kita lebih diberkati. – Oliver Nick Ubing