Keningau – Misa Krisma dalam tradisi Gereja Katolik bukanlah sekadar perayaan liturgis, namun merupakan bahagian integral dari perjalanan sengsara Yesus Kristus sebelum mati di kayu salib. Penghayatan tersebut terlihat dari semangat umat mulai dari anak-anak hingga orang dewasa pada perayaan Misa Krisma di Gereja Katedral St Francis Xavier, Isnin (30/03/2015).
Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, secara peribadi bangga melihat kehadiran umat yang memenuhi setiap ruang dan bangku yang ada di dalam Gereja. Beliau berharap bahawa kehadiran umat pada malam tersebut, bukan disebabkan kerana minyak semata-mata, melainkan kehadiran yang didorong oleh kerinduan untuk bertemu dengan Sang Juruselamat khususnya dalam minggu suci ini.
Lanjutnya, beliau menjelaskan apakah yang terjadi pada perjamuan malam terakhir. Sebelum Yesus menyerahkan diri-Nya untuk ditangkap, bersama para rasul-Nya, Yesus telah menetapkan dua sakramen iaitu Sakramen Ekaristi dan Sakramen Imamat. Ekaristi atau lebih dikenali dengan Misa Kudus yang kita rayakan tiap hari atau tiap hari minggu, sebenarnya adalah ungkapan cinta kasih Yesus kepada kita semua, ungkapan kehadiran-Nya bagi kita dan juga ungkapan keinginan-Nya mahu supaya kita hidup oleh Roh Kudus-Nya. Tetapi ungkapan cinta kasih-Nya itu tidak dapat diteruskan kalau tidak ada orang yang meneruskannya. Sebab itu pada malam perjamuan terakhir itu, sewaktu Yesus “mencipta” Ekaristi, Gereja percaya Yesus juga “mencipta” kepaderian/imamat. Setiap tahun, para paderi dan uskup akan berkumpul bersama umat, religius dan awam untuk memperbaharui komitmen seperti mana yang telah dilafazkan pada paderi itu ditahbiskan.
Beliau lanjutnya mengajak para paderi untuk mengingat kembali janji-janji yang diucapkan sebelum ditahbiskan menjadi paderi. Tugas yang diamanatkan haruslah dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa merugikan satu jiwa pun. Pelayanan haruslah didorong oleh cinta kasih seorang paderi terhadap tuan-Nya iaitu Yesus sendiri. Seringkali saya mengingatkan kepada umat, jangan sekali-kali menganggap tanggungjawab kita, tugas pelayanan kita itu sebagai kewajipan. Kalau kerana kewajipan itu tidak akan bertahan lama. Tetapi jika pelayanan kita itu didorong oleh cinta kasih terhadap Yesus dan Gereja-Nya, pasti pelayanan kita itu akan bersemangat, bertahan dan tidak akan “burn out”. Jika kita melakukan pelayanan kita kerana terpaksa, cepat atau lambat, orang itu akan meninggalkan panggilannya.