MESYUARAT RCSC DIAKHIRI DENGAN MALAM KEBUDAYAAN DI KUK PANUI

Image

KENINGAU: Mesyuarat Komisi Komunikasi Sosial Serantau atau Regional Commission for Social Communications (RCSC) bagi Malaysia, Brunei dan Singapura telah berlangsung selama tiga hari. Mesyuarat ini diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS), Keuskupan Keningau pada 18 hingga 20 Jun 2018.

Dihadiri oleh 21 orang yang mewakili Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan juga Keuskupan Keningau, Brunei, Pulau Pinang, Melaka-Johor, Miri dan Sandakan.

Antara perwakilan yang hadir ialah Uskup Cornelius Sim daripada Keuskupan Brunei selaku Presiden RCSC mempengerusikan mesyuarat ini. Termasuklah beberapa orang Paderi iaitu Fr. Robert Leong (Brunei), Fr. Thomas Mandanan (Kota Kinabalu), Fr. Peter Anthony (Kuala Lumpur) dan Sr. Anna Yap daripada Daughters of St. Paul.

Misa pembukaan diadakan di Gereja PZKKNS yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong. Prelatus itu mengalu-alukan kedatangan para perwakilan ke Keuskupan Keningau.

Para Perwakilan bergambar bersama Bishop Cornelius Piong seusai Misa pembukaan

Dalam mesyuarat, setiap perwakilan menyampaikan laporan mengenai pelaksanaan dan perancangan yang telah diadakan di keuskupan masing-masing. Melalui laporan ini, keperluan dan masalah yang dihadapi terutamanya yang berkaitan dengan “berita palsu” dikongsikan dan cara untuk menanganinya.

Francis Andin, penulis Berita Harian mengongsikan pengalaman menghadap berita palsu

Perayaan Misa penutupan telah diadakan di Gereja St. Yohanes Penginjil Panui yang berunsurkan kebudayaan dan tradisi. Misa disempurnakan oleh Uskup Cornelius Sim dibantu oleh Diakon David dan tiga orang paderi.  Dimeriahkan lagi dengan lebih kurang 200 umat KUK Panui termasuklah para perwakilan.

Uskup dalam homilinya, berpesan agar umat berhati-hati dalam menyebarkan berita melalui media sosial. Mengetahui kebenaran sesebuah info atau berita yang diterima kemudian baru menyebarkannya sesuai pesan Bapa Suci Fransiskus sempena dengan Hari Komunikasi Sedunia iaitu “Kebenaran itu akan Memerdekakan Kamu” (Yoh 8:32).

Seusai Misa, Uskup dan para pewakilan dijemput menjamu selera di dewan terbuka KUK Panui dengan sajian makanan dan minuman tradisi. Dihiburkan lagi dengan pelbagai persembahan pentas.

Lawatan ke Kilang Penternakan Lembu Susu Eco Yap

 

Sharing is caring!