KENINGAU : Tamu Solidariti bagi peringkat Paroki KSFX telah diadakan pada 7 Oktober 2018. Bertempat di Dataran Keuskupan Keningau.
Tamu Solidariti ini merupakan satu aktiviti yang diadakan setiap tahun. Tujuan diadakan adalah untuk pencarian dana bagi kegunaan membangun dan membiayai penyelenggaraan kemudahan-kemudahan fizikal seperti bangunan-bangunan Chapel dan Dewan Gereja di stesen luar serta Wisma Katekatikal di KSFX. Namun tujuannya bukanlah setakat mengumpulkan dana tetapi juga memberi kesempatan kepada umat untuk mengungkapkan kesatuan, kesetiaan dan kasih selaku anggota gereja.
Sebelum ini, Tamu solidariti ini dikenali sebagai “bazaria” yang mana tidak melibatkan ramai orang dan tidak memakan masa lama. Aktiviti yang melambangkan dan mencerminkan kesatuan umat separoki sama ada komiti, komuniti, KKD, KUK, Zon mahupun Paroki ini diberi nama baru iaitu “Tamu Solidariti”.
Seiring masa berlalu, Tamu Solidariti ini masih diamalkan sehingga hari ini dan sudah berkembang dari segi perancangan, persiapan rohani , perlaksanaan dan penglibatan umat.
Uskup dalam ucapannya semasa merasmikan Tamu Solidariti mengungkapkan kesyukuran atas kepedulian dan keterlibatan umat dalam menjayakan Tamu Solidariti. KOMSOS KGAU