MENJADI PEMIMPIN PASTORAL YANG SEJATI

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Fr.Rudolf Joannes salah satu pemberi sesi semasa Seminar Kepimpinan Pastoral peringkat Paroki KSFX

Keningau-Menyedari bahawa kepimpinan yang mapan merupakan tonggak utama dalam pembangunan fizikal dan rohani sesebuah paroki, Paroki KSFX mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar Kepimpinan Pastoral yang bertempat di Dataran Solidariti Keuskupan pada 23-24 Februari 2024.

Penganjuran seminar ini adalah amat bertepatan apatah lagi, Paroki KSFX telahpun mempunyai Tim Kepimpinan yang baru di peringkat MPP, Zon, Kuk, Komiti dan Kerasulan.

Seminar ini dimulakan dengan Ibadat Jalan Salib seterusnya Misa Kudus Pembukaan yang diselebrankan oleh Msgr.Gilbert Lasius. Dalam homilinya, Msgr.Gilbert mengemukan soalan kepada ratusan mereka yang hadir, tentang bagaimana kita dapat mengetahui bahawa pelayanan kita itu sememangnya adalah panggilan dari Tuhan?

“Salah satu tandanya adalah kita akan mencintai tugas pelayanan kita, kita mempunyai semangat untuk melaksanakannya dan Tuhan akan memberikan kita kebijaksanaan dalam pelayanan kita itu,” jelas Msgr.Gilbert.

Sesi Pertama pada 23 Februari dimulakan oleh Sdra.Patrick Marius, Pengerusi Tim Pastoral Keuskupan Keningau. Beliau membawakan topik mengenai “Kepimpinan dan Pelayanan”.

Secara umumnya, Pemimpin adalah seorang yang sentiasa memberi sumbangan secara konsisten kepada sesebuah komuniti atau kumpulan. Oleh itu pemimpin yang mempunyai jiwa pastoral seharusnya mempunyai kewibaan dan keberanian untuk mempengaruhi orang lain agar bersatu dalam membangun kerajaan Allah.

Sesi 2 pada 24 Februari pula disampaikan oleh Fr.Rudolf Joannes. Topik yang dibawakan adalah “Garis Panduan MPP dan Peranannya”. Klerus itu menjelaskan bahawa MPP adalah badan pelaksana bukannya pembuat keputusan, dan mereka harus bekerjasama dengan Paderi Paroki dalam pembangunan pastoral  bagi paroki tersebut. Klerus itu turut menambah, bahawa Pengerusi MPP harus membahagikan tugas pelayanan yang ada  kepada ahli jawantankuasa yang telah dilantik dan bukannya bertindak sendirian.

Sesi 3 pula sekali lagi dibawakan oleh Sdra.Patrick Marius, iaitu mengenai “Spiritualiti Kepimpinan”. Beliau menegaskan bahawa seorang pemimpin harus hidup dalam cintakasih Tuhan. Ini bermakna seorang pemimpin harus hidup dalam doa dan rajin membaca alkitab agar hidup mereka sentiasa diperbaharui oleh cintakasih Tuhan.

Sesi terakhir yang bertajuk “Teamwork dalam konteks Keuskupan Keningau” disampaikan oleh Msgr.Gilbert Lasius. Klerus itu menegaskan bahawa Kepimpinan di Keuskupan Keningau didasari oleh semangat “berjalan bersama”. Ini kerana wawasan Keuskupan Keningau juga berbunyi “Umat Allah yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus”.Oleh itu para pemimpin di Keuskupan Keningau harus sentiasa mengutamakan kesatuan dalam kepimpinan mereka.

Seminar ditutup pada sebelah tengah hari, dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong. Memetik Surat Rasul Petrus yang pertama(1 Pet 5:2-4), prelatus itu berpesan agar para pemimpin yang dipilih akan memimpin dengan sukarela, menjadi teladan kepada mereka yang lain dan memimpin bukan atas keuntungan peribadi tetapi atas pengabdian kepada Allah. “Dalam konteks keuskupan kita, anda merupakan pemimpin yang bukan sahaja dipilih tetapi juga dipanggil oleh Tuhan, anda adalah Sang Gembala di Keuskupan Keningau” tutup Uskup Cornelius.

Sharing is caring!