Renungan Malam Paska
Kej.1:1 – 2:2; Kel.14:15 – 15:1; Yes. 55:1-11; Rom.6:3-11; Mrk.16:1-8
Orang bilang kalau kita silap memilih pasangan hidup kita atau Jatuh cinta pada orang yang tidak setia pada kita, maka buruklah padahnya. kadang-kadang seseorang itu boleh jatuh cinta pada orang yang tidak tepat – tersilap pilih kerana terlalu mengikuti perasaan. Demikian jugalah apabila kita renungkan sedalam-dalamnya, nampaknya Allah kita pun jatuh cinta pada orang yang tidak tepat, bukan sekali, tetapi banyak kali. Sama ada Adam dan Hawa, atau Saul dan Daud dan Solomo, sama ada orang-orang yang menyembah patung anak lembu emas atau dengan orang-orang yang berteriak “Salibkah Dia”, sama ada si pengkhianat Yudas atau Petrus yang menyangkal-Nya atau para murid yang meninggalkan-Nya. Sama ada orang kaya yang tidak dapat melepaskan kekayaannya atau 9 orang kusta yang tidak kembali mengucapkan ‘terima kasih’ sesudah disembuhkan. Namun seperkara yang sukar dijelaskan tentang manusia sekaligus Allah yang jatuh cinta pada manusia ini adalah Dia mati di kayu salib. Dia maha tahu bahawa cinta kasih itu tidak akan membuat segala sesuatu menjadi baik, bahawa cinta kasih menyakiti hati dan membuat segala sesuatu menjadi tidak teratur dan akhirnya hancur begitu sahaja. Namun Dia tetap mengasihi manusia yang lemah ini – tanpa mundur, tanpa syarat, tanpa had. Sungguh luar biasa!
Apa yang kita perolehi di malam Paska ini adalah Allah yang seakan-akan tidak dapat melawan Diri-Nya sendiri untuk mengasihi kita sehingga mati di kayu salib. Mengasihi kita yang adalah orang-orang yang ‘tidak layak’ untuk dikasihi – orang-orang yang sering kali pelupa pada Tuhan, orang yang mudah putus asa, orang-orang yang tidak dapat membaca tanda-tanda zaman serta panggilan untuk menolong orang-orang yang susah, orang-orang yang saling berselisih faham atas perkara-perkara yang remeh temeh.
Namun sering kali kita lupa bahawa apa yang ingin disampaikan kepada kita tentang Allah pada malam ini, juga menceritakan pada kita tentang kisah kehidupan kita sendiri. Bahawa kita pun sering kali boleh jatuh cinta pada orang yang tidak tepat. Orang yang tidak sempurna, orang yang sering kali menyakitkan hati kita. Orang yang menghancurkan kehidupan kita, orang yang gagal mengasihi kita seperti mana yang kita harapkan.
Walaupun Tuhan tahu kita mengalami ini semua akibat cinta, namun Dia tetap menganugerahkan kepada kita cinta kasih yang agak gila ini. Dan Dia menjemput kita untuk meneruskan kehidupan dan sikap mengasihi kita yang agak gila ini – mengasihi tanpa batas. Sebab melalui kasih yang sedemikian rupa inilah timbul kuasa yang luar biasa, yang boleh hancur dari semasa ke semasa, tetapi yang boleh membaharui dirinya lagi dan lagi yang boleh membimbing kita kembali kepada sumber hidup kita yang sebenar.
Jika kita perhatikan dengan teliti, inti sebenarnya perayaan kita pada malam ini adalah suatu harapan. Asas harapan ini bukanlah memperkatakan bahawa kita sesungguhnya adalah sempurna atau orang yang kita kasihi itu sempurna. Asas harapan kita sebenarnya adalah iman kepercayaan kita bahawa Yesus yang sudah bangkit itu, hidup kerana Dia sungguh mengasihi kita. Dia tidak hanya menyentuh kita dari luar tetapi juga memasuki ke dalam hati kita dan hidup di dalam kita. Supaya apapun yang kita lakukan demi kebaikan, betapapun kecilnya, bukan lagi dari usaha kita sendiri tetapi bersama dengan Dia. Sebab, Dia bukan hanya sekadar bersama kita, tetapi Dia ada di dalam kita, tertanam, berakar, tidak boleh diungkai, kekal, tidak kunjung padam, berterusan, bertahan dan tidak pernah gagal. Dia adalah cahaya yang datang ke dalam kehidupan kita. Dia adalah Juruselamat kita yang setia.
Sesudah malam ini, selepas kita mengakhiri minggu suci, kita akan kembali ke dalam dunia nyata yang dipenuhi dengan pelbagai masalah sosial, politik dan ekonomi negara kita yang semakin mencabar ini. Pada malam yang suci ini marilah kita mohon kepada Allah kita yang hidup ini dengan dua permintaan yang sederhana: Pertama, permohonan untuk berbelas kasihan. Permohonan untuk menjadi seperti Dia yang tidak takut untuk turun ke padang untuk membantu sesama yang memerlukan. Kedua, permohonan untuk berani, iaitu berani menghadapi cabaran kehidupan dengan sikap murah hati, bergembira kerana tahu bahawa Yesus sungguh ada di dalam kita dan bertakhta di dalam kita: “Aku telah di salibkan dengan Kristus, namun aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di hati aku” (Gal 2:19-20). (JL)
Cadangan soalan untuk refleski peribadi dan perkongsian KKD (Komuniti Kristian Dasar)?
1 Mengapakah Tuhan setia sampai wafat di kayu salib untuk kita?
2 Apakah kekuatan yang perlu ada di dalam diri kita supaya kita dapat menghadapi cabaran duniawi sesuai dengan kehendak Allah?