PENSIANGAN – “Bertolaklah ke tempat yang dalam dan tebarkanlah jala” (Lukas 5:4) menjadi tema bagi program Belia Masuk Kampung (BMK) yang diadakan pada 17 hingga 21 Mac 2018 yang lalu bertempat di KUK St. Michael Malaikat Agung, Pensiangan. Program anjuran Catholic Student Group (CSG) IPG Kampus keningau di bawah jagaan Campus Ministry Keuskupan Keningau ini disertai seramai 12 orang ahli CSG IPG Keningau bersama Sdra. Roney Alfred selaku Koordinator Campus Ministry. BMK ini merupakan program pendedahan kepada para belia IPT untuk berinteraksi dengan umat di kawasan pedalaman yang seterusnya mempelajari serta menghayati bagaimana umat membangun iman ditempat mereka di samping memberi kesedaran akan realiti dunia masa kini.
Antara program yang diadakan selama 5 hari 4 malam di kampung ini adalah katekesis singkat tentang sambutan perayaan Jubli Perak Keuskupan Keningau yang akan diadakan pada bulan Mei 2018 agar umat sedar dan turut bersama dalam peristiwa bersejarah ini. Selain itu, diadakan juga Katekesis tentang ‘Prapaska dan Paska’ yang mengajak umat untuk memahami dan menghayati makna perayaan Kebangkitan Kristus. Katekesis tentang ‘Cabaran Belia Katolik’ juga disampaikan dengan mengupas isu-isu semasa dan realiti yang dihadapi belia masa kini seperti penghijrahan, pendidikan, pekerjaan dan masalah sosial yang dilihat mampu membuatkan iman kepercayaan dan ketahanan diri menjadi goyah. Ini adalah untuk memupuk kesedaran dikalangan belia betapa pentingnya persiapan diri dan pengukuhan iman apabila berhijrah ke tempat yang lain.
Pensiangan merupakan sebuah kampung yang dikelilingi alam tropika flora dan fauna seperti hutan, sungai dan hidupan liar yang harus dipelihara agar tidak pupus akibat kerakusan manusia. Oleh itu, para peserta BMK mengambil inisiatif bagi memupuk kesedaran untuk menjaga alam sekitar dengan mengajak penduduk kampung dalam aktiviti memungut sampah dan membersihkan kawasan di sekeliling kampung. Ternyata aktiviti ini ‘membuka mata’ penduduk kampung bahawa pentingnya menjaga alam sekitar agar kampung sentiasa bersih dan ‘sedap mata memandang’.
Aktiviti lain yang diadakan adalah acara Sukaneka yang menyaksikan gelagat-gelagat lucu dan menghiburkan oleh para penduduk kampung dan peserta BMK dalam pelbagai jenis permainan dan acara ini berjaya memupuk semangat solidariti dan jalinan persaudaraan yang lebih erat antara kedua-dua pihak. Sesuatu yang menarik adalah dalam aktiviti sukaneka ini, seluruh penduduk kampung turun bersama tanpa mengira usia, kaum mahupun agama. Selain itu, aktiviti menjelajah kampung juga telah diadakan di mana para peserta BMK di bawa untuk melawat rumah-rumah penduduk yang membuka peluang untuk saling beramah-mesra serta berkongsi tentang hidup, budaya, tradisi, perkembangan iman, agama dan sebagainya yang membantu para pelajar untuk lebih mengetahui dan memahami apakah yang telah dilalui umat di kampung ini. Seterusnya, para peserta BMK juga dibawa menjelajah Sungai Pensiangan dengan menaiki bot dan ianya menjadi pengalaman baru bagi peserta yang pertama kali merasai pengalaman ini.
Pada malam terakhir, Fellowship sederhana bersama penduduk kampung telah diadakan sebagai rasa terima kasih atas penerimaan kehadiran peserta BMK serta ungkapan syukur atas campur tangan Tuhan dalam BMK ini. Dalam Fellowship ini, diadakan perkongsian daripada peserta BMK dan umat tentang pengalaman sepanjang BMK dan persembahan pentas, tayangan slideshow aktiviti BMK serta penyampaian cendera kenangan.
Syukur kepada Tuhan kerana program BMK ke Pensiangan ini telah memberi sukacita yang berlimpah dan pengalaman bermakna kepada peserta BMK dan juga penduduk kampung. Adalah diharapkan agar para belia ini terus saling berbagi kasih serta menjadi cahaya dan garam di dalam pelayanan mereka di mana sahaja mereka berada. Viannie Tongguritom