MEMBERI DENGAN SUKACITA

Hari Minggu Biasa Ke 17 ( B )

2Raj. 4:42-44; Efe. 4:1-6; Yoh. 6:1-15

 

Ada di antara kita tidak merasa selesa jika ada anak-anak hadir di suatu pesta apa lagi semasa menghadiri Misa kudus kerana merasa terganggu atas gelagat kanak-kanak yang suka membuat kacau dan suasana yang bising.

datanglahPara murid Yesus pun mempunyai sikap yang demikian. Misalnya sewaktu ibu-ibu membawa anak-anak mereka kepada Yesus supaya dijamah-Nya, murid-muird-Nya memarahi mereka. Tetapi Yesus memarahi murid-murid-Nya dan berkata, “Biarkan anak-anak itu datang kepada-Ku, jangan menghalang mereka, sebab orang-orang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah” (Mk 10:14). Dalam Injil hari ini, lain pula ceritanya. Para murid tidak menghalang seorang anak untuk datang kepada Yesus sebab ianya semacam ada suatu kepentingan bagi mereka terutama Andreas, salah seorang daripada murid Yesus.

Kisahnya bermula apabila Yesus bertanyakan pendapat Filipus tentang bagaimana memberi makan orang yang begitu ramai itu. Namun Filipus menjawab bahawa cadangan tersebut tidak masuk akal. Salah seorang anak yang ada di dekat tempat tersebut terdengar masalah tersebut lalu memberi tahu Andreas bahawa dia ada makanan yang boleh diserahkan untuk Yesus. Akhirnya Andreas, mungkin dalam keadaan terdesak, menyampaikan juga kerelaan anak tersebut. Tetapi dengan cepat Andreas menambah, “Tetapi apakah ertinya itu untuk orang sebanyak ini?” Menghairankan, Yesus mudah sangat terkesan dengan kemurahan hati anak tersebut. Dia menerima pemberian tersebut dan meneruskan membagi-bagikannya untuk memberi makan semua orang yang hadir pada waktu itu.

pemberianPemberian, betapa besar ataupun kecil, banyak atau sedikit, itu tidak penting. Bagi Tuhan, yang penting adalah kemurahan, keikhlasan, cinta kasih yang menyertai pemberian tersebut. Anda pasti masih ingat bagaimana Yesus terkesan dengan derma ikhlas daripada seorang janda di bait Allah. Secara terbuka Yesus takjub dengan kekayaan iman yang dilambangkan oleh pemberiannya yang hanya sedikit tetapi dengan penuh kesungguhan.

Tuhan melakukan keajaiban hanya dengan pemberian yang sederhana, namun diberikan dengan keikhlasan yang sesungguhnya. Nampaknya pemberian secara besar-besaran, terang-terangan walaupun atas nama-Nya, tetapi ada udang di sebalik batu, tidak akan pernah menarik perhatian Tuhan.

Kita semua mempunyai banyak pemberian kecil-kecilan yang boleh kita persembahkan untuk Tuhan. Siapakah yang tidak boleh memberi masa beberapa minit untuk berdoa kepada-Nya setiap hari? Ada di antara kita mempunyai bakat-bakat untuk upacara atau acara-acara yang istemewa misalnya menjadi Pelayan Sabda pada hari minggu, menjadi ahli koir, memain organ, gitar, dram, membimbing katekumen atau pelayanan untuk orang-orang pekak.

Terdapat 1001 macam pelayanan sukarela yang boleh kita berikan. Selain itu, anda boleh memberi derma melalui sampul yang kita dermakan untuk Tuhan demi pelayanan di Gereja jika kita pada ketika ini belum dapat menyisihkan masa untuk tujuan tersebut. Kita mesti sentiasa ingat bahawa tidak ada pemberian dianggap kecil atau tidak berguna oleh Tuhan jika ianya sungguh-sungguh diberikan dengan penuh keikhlasan dan cinta kasih.

Roti biasa diperbanyakkan secara rohani untuk memberi makan jiwa-jiwa yang lapar. Tuhan boleh merubah air menjadi wain, wain yang menjadi Darah-Nya sendiri. Tambahkan lagi sedikit pemberian kita ke atas segala pemberian-Nya, maka sudah lebih mencukupi untuk kita semua.

janda

Pemberian anak yang sungguh bermurah hati itu, telah memperoleh lebih daripada apa yang diperlukannya. Yesus pernah berkata, “Berilah dan kamu akan diberi” (Lk 6:38). Namun pemberian hendaknya ikhlas dan sukacita, “Sebab Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2Kor 9:7).

Menurut pengalaman, apabila kita memberi dengan ikhlas, kita akan merasakan suatu kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan. Seakan-akan ada sesuatu yang terbebas lapas daripada kehidupan sendiri. Maka betullah firman Tuhan yang mengatakan, “Adalah lebih berbahagia memberi daripada menerima” (KPR 20:35).

Masyarakat kita dipenuhi dengan pelbagai kekosongan. Kekosongan terhadap makanan, pakaian dan tempat tinggal. Namun ada juga yang serba ada, serba cukup tapi tidak mempunyai kerohanian yang sangat diperlukan untuk kedamaian hidup. Semua keperluan manusia perlu kita perhatikan. Perut kosong dan jiwa yang kosong boleh membawa maut. Marilah mulai pada hari ini kita menjadi tangan, mata dan telinga Tuhan untuk memenuhi keperluan sesama kita, “Sebab Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2Kor 9:7) (JL)

Ramai masyarakat kita dipenuhi dengan pelbagai kekosongan. Kekosongan terhadap makanan, pakaian dan tempat tinggal. Namun ada juga yang serba ada, serba mencukupi tetapi tidak mempunyai kerohanian yang sangat diperlukan untuk kedamaian hidup. Semua keperluan manusia perlu kita perhatikan. Perut kosong dan jiwa yang kosong boleh membawa maut. Sedar akan perkara ini maka marilah mulai pada hari ini kita hidupkan budaya bertanggung jawab sosial kita dengan rela mahu menjadi kaki, tangan, mata dan telinga Tuhan untuk memenuhi keperluan sesama tanpa dipaksa, tanpa agenda yang tersembunyi.

“Camkanlah ini: Orang yang menabur sedikit, akan menuai sedikit juga, dan orang yang menabur banyak, akan menuai banyak juga. Hendaklah masing-masing memberikan menurut kerelaan hatinya, jangan dengan sedih hati … sebab Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2Kor 9:1-7). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

  1. Bertanggung jawab sosial merupakan salah satu tonggak keimanan kita. Apakah yang anda fahami mengenai bertanggung jawab sosial ini sehubungan dengan intipati bacaan minggu ini?
  2. Biasanya orang mahu memberi derma apabila perkara tersebut disebarluaskan. Tetapi apakah ajaran Yesus menggalakkan kita berbuat demikian? Mengapa?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Renungkan sejauh mana tanggung jawab sosial anda selama ini terutama terhadap keluarga sendiri, ibu bapa dan komunti. Tingkatkanlah komunikasi anda melalui alat-alat moden yang ada sekarang, supaya anda semakin dekat antara satu dengan yang lain. Pergunakan alat-alat tersebut sebaik yang mungkin.

Sharing is caring!