MELAYANI TANPA RUNGUTAN

HARI MINGGU BIASA KE – 25 ( A )

Bc.1. Yes 55:6-9          Bc.2. Flp 1:20-24.27          Bc.3. Mat 20:1-16

Manusia selalu mengukur kebaikan orang dengan cara ukuran dunia.  Namun Allah mengukur keberhasilan orang atas dasar kasih-Nya.  Allah sungguh tidak mengenal batas.  Dia selalu mencari siapa saja untuk masuk dalam Kerajaan-Nya.  Bacaan Injil hari ini mengingatkan kita, sebagai pengikut Kristus selayaknya kita meneladani sikap Allah ini dan tidak menganggap diri paling berjasa dan lebih berhak menuntut imbalan yang sesuai kerana yang paling berjasa dalam karya tiada lain adalah Allah sendiri.

MELAYANI TANPA RUNGUTAN

Dalam perumpamaan tentang pekerja di ladang kita melihat kemurahan hati yang luar biasa dan belas kasihan Allah. Pada zaman Yesus pekerja buruh terpaksa menunggu setiap hari di pasar untuk menunggu seseorang mengupah mereka untuk kerja sehari. Tiada kerja untuk hari itu bererti tiada makanan di atas meja untuk sekeluarga. Ada seorang tuan yang mengupah pekerja-pekerjanya, ada yang sejak pagi dan ada yang sudah lewat petang.  Ketika pekerja-pekerja yang bekerja sepanjang hari  menerima bayaran mereka tidak puas hati dan mengadu bahawa tuan mereka membayar pekerja yang lewat petang dengan gaji yang sama. Tuan itu tanpa diragukan mengupah pekerja pada lewat petang supaya mereka tidak akan pulang tanpa apa-apa untuk  dibawa ke rumah.

Motif seseorang dalam melakuan pekerjaaan adalah berbeza. Ada pekerja yang bekerja hanya untuk ganjaran. Mereka hanya akan bekerja sesuai apa yang mereka fikirkan akan mereka dapat. Pekerja yang lain melakukan kerja dengan penuh cinta kasih dan kegembiraan kerana mendapat peluang untuk bekerja dan berkhidmat kepada orang lain.

Allah sungguh murah hati dalam membuka pintu Kerajaan-Nya, supaya semua manusia dapat memasuki, yang sudah berusaha sepanjang kehidupan mereka untuk Tuhan dan orang-orang yang datang pada jam terakhir. Tuhan Yesus memanggil murid-murid-Nya untuk mengabdi kepada Allah dan sesama – Kerajaan-Nya di syurga dan masyarakat kita di dunia – dengan kemurahan hati dan kegembiraan. Adakah anda melakukan kerja dan tanggungjawab anda dengan keriangan dan ketekunan demi Tuhan? Dan adakah anda memberi dengan murah hati kepada orang lain, terutama kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan anda?

Ya Allah, kami telah Engkau segarkan dengan sakramen-Mu. Sudilah terus menerus
membantu kami agar penebusan yang terlaksana dalam misteri ini tergenapi pula dalam seluruh hidup kami. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.

Sharing is caring!