MELAYANI LEBIH SUNGGUH

Renungan Hari Khamis Suci (A-B-C)

Mengenangkan Perjamuan Tuhan

Kel 12:1-8,11-14;     1Kor 11:23-26;     Yoh 13:1-15

 

“Melayani, melayani, lebih sungguh, melayani, melayani, lebih sungguh. Tuhan lebih dulu,melayani kepadaku, melayani, melayani lebih sungguh!” Demikianlah serangkap lagu rohani yang sering kita dengar dan nyanyikan sewaktu menghadiri kelompok karismatik atau juga kadang-kadang dinyanyikan semasa perayaan Misa Kudus. Nampaknya nyanyian rohani tersebut sangat sesuai dengan pesan yang ingin disampaikan oleh Yesus di hari Khamis Putih yang mulia ini.

mencuci kakiDi dalam Injil hari ini kita mendengar bagaimana Yesus rela menjadi pelayan bagi murid-murid-Nya dengan mencuci kaki mereka. Mungkin peristiwa tersebut merupakan kemuncak di mana Yesus ingin mengajar murid-murid-Nya bagaimana menjadi murid-Nya yang sesungguhnya. Sebab, ketika mereka menuju ke Yerusalem untuk merayakan Paska, para murid-Nya bertengkar mengenai siapa yang terbesar di antara mereka (Lih. Mk. 10:35.45). Ketika itu Yesus tidak mahu menanggapinya secara serius. Baru pada Perjamuan Malam terakhir, Yesus mengajarkan mereka mengenai prinsip kebesaran yang dimaksudkan-Nya, ketika Dia sendiri mencuci kaki para murid-murid-Nya. Dengan berbuat demikian, Yesus mahu menyampaikan ajaran-Nya bahawa yang terbesar di antara mereka ialah dia yang paling rendah hati, paling sederhana, paling mengabdi dan yang paling mengasihi serta melayani sesamanya tanpa syarat.

“Kamu menyebut Aku Guru dan Tuhan, dan katamu itu tepat” kata Yesus, “Sebab memang Akulah Guru dan Tuhan. Jadi jikalau Aku membasuh kakimu, Aku yang adalah Tuhan dan Gurumu, maka kamu pun wajib saling membasuh kakimu” (Yoh.13:13-14).

Persoalan ‘saling mencuci kaki’ dengan sesama ini, bukanlah sesuatu yang mudah kita lakukan, lebih-lebih lagi jika kita terlalu taksub terhadap nilai-nilai duniawi yang lebih pentingkan diri sendiri. Sifat yang terlalu mementingkan diri sehingga kita menjadi sombong mendorong kita menjadi sebahagian daripada masalah orang lain daripada menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah tersebut. Perkara-perkara sedemikian ini boleh terjadi di dalam kelurga, Gereja, komuniti setempat, masyarakat lokal malah di peringkat global.

Sebaiknya kita berbenah diri serta memeriksa diri kita sendiri apakah kita terlalu mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kepentingan orang lain dan tanggung jawab kita terhadap mereka. Apakah kita terlalu mengarah sesama kita secara tidak adil mengharapkan mereka melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak sanggup atau rela melakukannya?

hatiPesan Yesus pada hari ini sungguh merupakan suatu pedoman hidup kita yang sungguh berguna. Kita diharapkan bukan hanya sekadar menjadi lambang kasih kerana menjadi murid Yesus, melainkan menjadi pelaku pelayanan kasih Kristus yang sesungguhnya sebagai aksi tanggung jawab sosial kita kepada sesama. Kasih yang dilakukan dengan rela, sederhana dan sungguh-sungguh keluar dari hati yang ikhlas sebagaimana yang dikehendaki oleh Yesus sendiri.

Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa pelayanan kasih yang kita lakukan bukan hanya sekadar tanggung jawab sosial kita kepada sesama, tetapi membawa kita untuk semakin menghayati erti perjamuan Ekaristi yang diberikan Kristus kepada kita, iaitu Tubuh dan darah-Nya sebagai makanan kehidupan kita. Maka setiap kali kita merayakan Ekaristi serta menyambut Tubuh-Nya, seharusnya dapat membantu kita untuk memahami dan menghayati bahawa kita umat Kristus adalah merupakan satu keluarga besar yang bersatu dan berakar pada Yesus Kristus serta menjadi tanda keselamatan bagi sesama kita.

Di dalam kehidupan harian kita pula, apabila kita digoda untuk memikirkan kedudukan kita yang tinggi, marilah kita segera ingat kepada Kristus, Raja yang dilengkapi dengan ikat pinggang dan tuala, yang berlutut di dekat kaki murid-murid-Nya sambil mencucinya sampai bersih.

3866937371454068745

 

Pada perayaan misa Khamis Putih ini, kita menyaksikan paderi sebagai pemimpin paroki kita, mencuci kaki dua belas orang wakil umat paroki kita. Angkah dua belas ini adalah angka genap yang bererti paderi paroki kita sebenarnya mencuci kaki semua umat di paroki jagaannya. Ini bererti juga bahawa bukan hanya paderi paroki sahaja yang mencuci kaki umatnya, tetapi semua pemimpin-pemimpin umat yang sudah dipilih dan dilantik, semua majikan mencuci kaki para pekerjanya, semua ibu bapa mencuci kaki anak-anaknya. Malah kita semua dipanggil oleh Yesus untuk saling mencuci kaki – menjadi pelayan sesama yang lebih sungguh.

Semasa perjamuan Malam terakhir, Yesus telah mewariskan tauladan budaya “saling mencuci kaki” ini kepada kita semua untuk diamalkan setiap waktu walaupun dalam keadaan apapun juga terhadap kawan mahupun lawan, “… perbuatlah sama seperti yang telah Ku perbuat,” kata Yesus (Yoh.13:15). Jika kita fikirkan memang sukar. Tetapi jika kita lakukanya setiap ada kesempatan, pasti akan menjadi mudah, bak kata pepatah, ‘alah bisa, tegal biasa.’

Marilah kita berdoa dan berusaha agar melalui berkat Tuhan, kita pun saling ‘berlutut dan membasuh kaki’ sesama, iaitu melayani lebih sungguh terhadap “seorang akan yang lain.. tetapi jikalau kamu saling menggigit dan saling menelan,” kata Paulus, “awaslah supaya jangan kamu saling membinasakan” pula (Gal.13:15). (JL)

 

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1          Dalam Injil Yesus berkata: “Kamu harus membasuh kaki satu sama lain.” Apakah sebenarnya yang dimaksudkan-Nya?

2          Bagaimanakah seharusnya kita memperlakukan sesama kita yang sukar untuk difahami dan didekati?

Sharing is caring!