Kepada semua anggota MPP, KWK, KBK, Kerasulan, Komiti dan Komuniti KSFX.
MARI MELAYANI DIDORONG OLEH KASIH!
Marilah kita sentiasa sedari dan usahakan cita-cita kita mahu “dibangun dan dibentuk menjadi komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya”. Cita-cita ini tidak akan tercapai jika relasi kita dengan peribadi Yesus tidak betul (Mat 7:21). Kesatuan yang betul dengan peribadi Yesus pasti akan melahirkan buah-buah yang baik pada kita: semangat kekitaan, sikap ambil peduli dan berintegriti (melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat).
Kita patut bersyukur Katedral kita mempunyai kemudahan-kemudahan yang cukup, seperti Dewan, Dapur, Dataran, Tandas, dsb yang disediakan oleh Gereja untuk kegunaan kita bersama. Kita sendiri turut menyumbang terhadap pembinaannya. Maka marilah kita sama-sama menjaga alat-alat dan kemudahan-kemudahan tersebut supaya jangan dirosakkan, dihilangkan dan disalahgunakan. Gunakanlah kemudahan-kemudahan dan peralatan yang kita ada dengan penuh tanggungjawab dan cinta kasih supaya ianya mempunyai jangka hayat yang panjang.
Oleh itu, saya mohon supaya setiap Kerasulan, Komuniti dan Komiti yang ingin menggunakan kemudahan-kemudahan seperti Dewan, Dataran, Dapur dsb harus sama-sama bertanggungjawab terhadap penyelanggarannya yang berterusan. Janganlah berasa terbeban atau menjelikkan jika diminta menyumbangkan sedikit pemberian kasih dari yuran atau pemberian kasih, kerana kita perlu wang untuk servis atau pembaikan yang berterusan terhadap peralatan-peralatan yang rosak dan menggantikan yang hilang. Kemudahan semua ini perlu untuk kebaikan Umat juga.
Selain itu bagi Dataran Keuskupan, ianya mempunyai Team Pengurusan sendiri yang sudah diwujudkan sejak beberapa tahun yang lalu bagi memudahkan penjagaan, pengurusan dan penyelenggaran. Adalah menjadi perkara biasa bahawa setiap Kerasulan, Komiti dan Komuniti yang ingin menggunakan Dataran Keuskupan harus berhubung terlebih dahulu dengan Team Pengurusan Dataran Keuskupan bagi mengelak program bertindih. Saya harap semua pihak faham akan perkara ini.
“Tidak semua orang yang memanggil Aku, ya Tuhan, ya Tuhan, akan menikmati pemerintahan Allah, tetapi hanya yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang disyurga” (Mat 7:21)
Kebahagiaan adalah Kekitaan