Hari Minggu Biasa Ke 18 ( B )
Kel.16:2-4,12-15; Efe.4:17,20-24; Yoh.6:24-35
Orang bilang makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Memang betul jika kita tidak mendapat makanan yang secukupnya, pasti kita akan menjadi lemah dan jika kita tidak mendapat makanan dalam jangka masa yang panjang, maka pasti kita akan mati. Ini bererti kesihatan badan kita memerlukan makanan yang seimbang. Malah jenis makanan yang kita makan pun akan menentukan mutu kesihatan kita. Maka benarlah ungkapan yang berbunyi, “engkaulah apa yang engkau makan!”
Namun banyak juga orang suka mengamalkan gaya hidup untuk makan sehingga terdapat laporan kesihatan bahawa banyak anak-anak sekolah di negara kita menjadi obes, iaitu gemuk gedempul kerana terlalu banyak makan. Demikian juga dengan orang-orang dewasa masa kini semakin ramai yang mengidap ‘penyakit orang kaya’ – gout, darah tinggi, kencing manis yang semuanya akibat makan makanan ‘orang kaya’. Makanan-makanan yang memudaratkan badan kita antara lain adalah daging, makanan berminyak, terlalu banyak garam. Kesemua jenis makanan ini menjadi lengkap apabila terlalu banyak minum alkohol dan menghisap rokok. Akibatnya? Anda sendiri sudah tahu. Bukan bererti makanan dan minuman tersebut sama sekali tidak boleh disentuh. Boleh, tetapi jangan keterlaluan. Makan dan minumlah mengikut had, tetapi jangan ikut kemampuan.
Di dalam Injil hari ini kita mendengar Yesus pun sangat memperhatikan keperluan asas kita. Dia tidak hanya membuat mujizat dengan memperbanyakkan roti dan ikan yang sedikit untuk orang yang begitu banyak itu, tetapi juga memberi makanan kerohananian. Dia mahu memberitahukan kepada kita semua bahawa selain makanan untuk jasmani, kita perlukan juga makanan untuk kesihatan jiwa kita. Maka itulah sebabnya Yesus mahu berselindung di sebalik roti sewaktu Ekaristi, dengan segala kuasanya, untuk menjadi makanan kesihatan jiwa para pengikut-Nya, “Akulah roti hidup,” kata Yesus, “Barangsiapa datang kepada-Ku, ia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa percaya kepada-Ku, ia tidak akan haus lagi” (ay 35).
Mungkin anda bertanya bagaimanakah roti sakramen mahakudus itu memberi kesihatan dan kekuatan jiwa kita? Pertama-tama Tubuh dan Darah Kristus yang kita sambut itu, tidak akan merubah sifat kemanusiaan kita, misalnya sifat kita yang cenderung melakukan perkara-perkara yang jahat akibat daripada dosa asal kita. Demikian juga ianya tidak akan merubah keinginan-keinginan kemanusiaan kita. Apa yang terjadi adalah meningkatkan lagi taraf kemanusiaan kita, tetapi bukan menukarnya menjadi sifat-sifat yang berlainan. Dalam kata lain, kita tetap manusia seperti biasa, tetapi mempunyai minda berbeza yang cenderung berpihak dan mengikuti ajaran-ajaran Yesus.
Apabila kita menyambut komuni, kita tidak akan secara otomatik terlepas bebas daripada keinginan-keinginan yang tidak baik di dalam kepribadian kita. Misalnya jika seseorang itu mempunyai kelemahan terhadap ketagihan alkohol atau dadah, walaupun dia pergi menyambut komuni berkali-kali, namun dia tetap masih ada keinginan untuk minum alkohol dan mengambil dadah. Demikian juga seorang wanita yang suka mengumpat, cemburu tidak tentu pasal, mengomel dan terbit mata hari hingga terbenam walaupun pergi menyambut ratusan kali, tidak akan membuatnya menjadi pendiam dan tidak mempunyai lagi perasaan yang tidak baik tersebut.
Ini semua bukan bererti bahawa Tuhan tidak dapat melakukan mujizat melalui Misa Kudus, tetapi Dia tidak pernah berjanji berbuat demikian, dan memang bukan demikian cara Tuhan berkarya melalui Sakramen Mahakudus. Komuni Kudus diberikan kepada kita bukan untuk menjadikan hidup kita menjadi mudah atau menjadikan kita orang-orang hebat yang berkuasa melakukan di luar kemampuan manusia. Oleh kerana kasih-Nya terhadap kita, maka Kristus memberi kita Ekaristi agar kita menjadi sedar tentang cinta kasih-Nya serta berusaha mencapai kerajaan Allah secara konsisten, penuh ketabahan dan kesetiaan.
Lalu, bagaimanakah Ekaristi boleh menguatkan kita? Di dalam Ekaristi, Tuhan memberikan diri-Nya sendiri sebagai makanan yang adalah merupakan tanda cinta kasih-Nya kepada kita. Oleh kerana kita orang-orang yang lemah dan berdosa, kita memberi respons terhadap cinta kasih-Nya itu dengan mengasihi-Nya. Cinta kasih terhadap Yesus ini akan membuat kita berasa malu dan bersalah apabila kita melakukan sesuatu yang salah dan bertentangan dengan suara hati kita. Memang benar bahawa kita masih tidak bebas daripada perasaan ingin melakukan sesuatu yang salah – mencuri, berbohong, menipu, minuman keras, dadah dan sebagainya. Namun fikiran-fikiran untuk melakukan itu semua menjadi semakin lemah, sebab kesedaran kita semakin kuat bahawa itu semua tidak perlu dilayan kerana ianya menyakitkan Tuhan yang kita cintai.
Demikianlah bagaimana Ekaristi itu memberi khasiat dan kekuatan kepada jiwa kita. Bukan dengan membuat kemanusiaan kita semakin berkurangan, tetapi menjadikan kemanusiaan kita semakin berani. Bukan juga membebaskan kita daripada segala godaan, tetapi membuatkan kita menjadi kuat dan sanggup mengatakan “Tidak” terhadap yang tidak baik. Pun bukan memberikan kita sifat yang sungguh berbeza, tetapi ianya menaikkan terang sifat-sifat yang kita miliki menjadi sesuai dengan kehendak Tuhan. Dalam hal ini kita perlu meniru sikap St.Paulus yang pernah berkata, “Bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di dalam aku” (Gal 2:20).
Apabila ibu atau bapa memeluk anaknya serta menjaga anaknya dengan penuh tanggung jawab, maka itulah tandanya dia mahu mengungkapkan, “Aku sayang padamu, anakku!” Oleh kerana kasih ibu dan bapa inilah anak tersebut malu menyakiti hati kedua orang tuanya. Bukan dia tidak dapat melakukan kejahatan, tetapi anak tersebut tidak mahu menyakiti hati kedua ibu bapanya kerana kasihnya terhadap mereka.
Demikian juga melalui Ekaristi, Yesus menyatakan kasih-Nya terhadap kita melalui pemberian kasih-Nya yang teragung – Tubuh dan Darah-Nya sendiri. Sebagai respons, kita mahu berjanji kepada-Nya, “Saya mahu membalas cinta kasih-Mu. Saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati-Mu. Sebab saya percaya kepada-Mu!” (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:
- Menurut anda apakah yang terjadi jika anda selalu ke perayaan Ekaristi dan menyambut sakramen maha kudus?
- Apakah pesan Yesus pada hari ini yang menguji kepribadian kita dalam memperlakukan Tuhan dan sesama dalam hidup harian kita?
Cadangan aktiviti minggu ini:
Rancang dan pergunakan segala kesempatan untuk menerima Sakramen Maha Kudus sekerap yang mungkin. Biasakan diri untuk singgah ke geraja untuk berdoa di hadapan tabernakel sekerap yang mungkin. Jadikan kebiasaan tersebut sebagai gaya hidup harian anda.