Keningau – Setiap tahun, Keuskupan Keningau mengadakan aktiviti Makan Amal. Tahun ini, sekali lagi dianjurkan Makan Amal yang bertujuan untuk mengutip sumbangan bagi tabung pembangunan Pusat Ziarah Keuskupan Keningau, Nulu Sosopon (PZKKNS).
Seramai lebih dari 1000 umat, hadir dan memenuhi tempat-tempat yang telah disediakan dan acara berlangsung di Dataran Terbuka Keuskupan Keningau.
Puan Maria Kuntiou selaku Pengerusi penganjur makan amal kali ini, dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua umat yang hadir pada malam makan amal tersebut. Menurut beliau, makan amal pada kali ini bertujuan untuk tabung pembangunan pusat ziarah bagi Keuskupan Keningau yang letaknya di Nulu Sosopon.
Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong kerana telah mempercayakan tanggungjawab untuk menyelenggarakan makan amal pada kali ini. Dan mewakili team AJKT Pelaksana, beliau berterima kasih kepada semua umat yang telah membeli tiket makan amal tersebut. Kerana kemurahan hati, maka pembangunan pusat ziarah dapat diteruskan tanpa mengalami sedikit masalah pun.
Beliau berharap bahawa semua umat yang hadir pada malam tersebut, mengalami cintakasih Tuhan, berkat atas kemurahan dan bersyukur kerana kebaikan-Nya.
Dalam kesempatan yang sama, Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dalam ucapannya, menjelaskan tujuan makan amal pada kali ini ialah untuk mencari dana untuk pembangunan PZKKNS. Pembangunan terus berjalan dan diperkirakan 95% pekerjaan hampir selesai. Dalam masa yang sama, menurut Bapa Uskup, sekarang ini sedang diusahakan untuk membangun sebuah menara berbentuk salib yang memiliki ketinggian 70 kaki. Diharapkan menara salib ini akan menjadi satu tarikan di Keuskupan Keningau dan bagi seluruh Sabah.
Untuk mencari dana, anjuran makan amal seperti ini dirasakan sesuai kerana menurut Bapa Uskup, iman kristiani Katolik, “makan” itu bagi Tuhan dan bagi pengikut-pengikut-Nya mempunyai erti yang khusus. “Makan” itu bersifat persaudaraan dan dirasakan paling baik membantu Keuskupan atau Gereja kita dengan makan amal seperti ini. Tujuan untuk menghadiri makan amal bukanlah semata-mata untuk mencari dan menikmati makanan yang sedap-sedap, melainkan bersyukur kepada Tuhan atas berkat dan rezeki yang telah Tuhan berikan dan kita menyalurkan berkat itu dengan menyumbang untuk makan amal pada kali ini.
Acara makan amal diselingi dengan cabutan tiket bertuah dan persembahan nyanyiaan dari para Paderi dari Keuskupan Keningau, Seminarian David dan beberapa umat yang hadir dalam kesempatan kali ini. Makan Amal berakhir tepat jam 10 malam.