KENINGAU : Buat julung kalinya Majlis Terbuka dan Tahun baru 2018 anjuran bersama Kelompok Inti Pembaharuan Karismatik Katolik (KiPKK) dan KUK St.Blasius Magatang diadakan. Sambutan Krismas ini diadakan di sebuah gereja stesen luar Paroki Keningau, Gereja St.Blasius Magatang pada 7 Jan 2018.
Lebih kurang 600 orang umat sekitar Paroki Keningau dan umat KUK St. Blasius yang datang memeriahkan majlis. Misa sempena sambutan Krismas ini disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Cornelius Piong.
Dalam homilinya, beliau mengatakan Krismas merupakan ungkapan cinta kasih Tuhan melalui peribadi Yesus. Tuhan mengutus PuteraNya yang tunggal ke dunia untuk menyelamatkan umatnya (Yoh 3:16). Prelatus itu juga menjelaskan bahawa Krismas merupakan ungkapan Tuhan ingin menyertai kehidupan umatNya. “Imanuel” yang bererti Tuhan menyertai kita (Mat 1:3), malah dalam susah ataupun senang Tuhan sentiasa bersama umatNya. Uskup menyeru umat supaya yakin kepada firmanNya agar firman itu tidak sia-sia. Krismas juga merupakan ungkapan Tuhan ingin menyelamatkan umat-umatNya daripada segala jenis perhambaan dan kuasa kegelapan.
Uskup mengingatkan agar ketiga-tiga ungkapan tersebut diimani oleh umat-umat supaya sepanjang tahun 2018 dijalankan dengan penuh sukacita dan penuh bermakna bersama keluarga. Sentiasa mendekatkan diri dengan Tuhan dan ambil masa membaca dan merenung firmanNya. Uskup berpesan kepada umat supaya kesan Krismas tetap tinggal bersama dan mempengaruhi gaya hidup seharian.
En.Jikah Guka selaku Pengerusi KiPKK Paroki Keningau berharap agar perayaan seperti ini terus diadakan di gereja-gereja stesen luar pada masa akan datang. Sementara itu, Pengerusi KiPKK Keuskupan Keningau, En. Luis Yonolon dalam ucapanya mengungkapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Uskup kerana memberikan ruang dan keizinan kepada Tim KiPKK untuk menjalankan pelayanan karismatik di seluruh keuskupan.
Sesudah Misa, Uskup bersama umat dijemput dalam jamuan kesyukuran di Dewan Terbuka ST.Blasius Magatang. Pelbagai acara yang disusun sebagai hiburan dalam suasana yang santai dan solidariti. – Paul Zeno Labun