KENINGAU : Pada 24 November 2018, Majlis Konvokesyen sempena dengan tamat Kursus Persijilan Katekis Tahap 1 dan Tahap 2 pelajar Pusat Pastoral Keuskupan Keningau (PPK).
Kira-kira 150 orang umat termasuklah peserta kursus dan keluarga yang datang memeriahkan majlis. Turut hadir peserta baru Kursus Persijilan Katekis Tahap 1 bagi tahun 2018/2019.
Seramai 58 orang pelajar telah terlibat dalam majlis ini 34 orang daripada Tahap 1 dan selebihnya adalah daripada Tahap 2.
Perayaan Misa sempena Majlis ini diadakan di Dewan Kuliah PPK disempurnakan oleh Rev. Fr Rudolp Joannes.
“Kalau kita lihat sekeliling kita, masih ramai umat kita yang belum mengenal siapa Yesus. Oleh itu menjadi tugas kita untuk berkongsi dalam tiga martabat Kristus dalam menguduskan keluarga kita dan dunia. Kita mahu memimpin keluarga kita dan orang-orang yang belum mengenal Yesus melalui janji baptis kita. Mengusahakan untuk mengajar dan memberikan Katekisis supaya ajaran Allah dapat dinikmati oleh semua umat.
“Untuk menjadi sempurna tidak akan pernah sampai dan belajar itu tidak terhad dan tidak melihat usia. Oleh itu, apa yang kamu perolehi, lalui dan pelajari sepanjang mengikuti kursus di PPK, sampaikan juga kepada yang ingin mengenal Yesus. Ajarilah apa yang kamu percaya, imanilah apa yang kamu percaya kerana Yesus itu Juruselamat kita,” Ujar Fr. Rudolf dalam homilinya.
Seusai perayaan Misa, Majlis Konvokesyen diadakan di Dewan Terbuka PPK yang dimulakan dengan perarakan peserta kursus Tahap 2 masuk ke dewan. KOMSOS KGAU
Perkongsian Peserta Kursus Persijilan Katekis
Pada mulanya kami seramai 41 orang namun yang tamat 37 orang dalam Tahap 1 bagi sesi 2017/2018. Saya bersyukur kepada tenaga pengajar kerana telah mendidik kami selama 1 tahun. Meskipun peserta Tahap 1 ini kebanyakannya telah menjadi Katekis yang sudah lama melayani dan sebilangnya terdiri daripada kakitangan awam, semangat untuk mendalami iman masih kuat.
Pada mulanya keterbukaan saya hanya datang ke gereja dan menghadiri ibadat sabda atau Misa. Setelah dipilih menjadi pelayan sabda dan seterusnya pelayan komuni, keterbukaan hati untuk terus ingin mengetahui, ingin menimba ilmu mengenai sejarah-sejarah gereja dan seterusnya ingin melayani Tuhan.
Sepanjang 1 tahun ini, kami diterapkan dan didedahkan dengan undang-undang gereja, katekisis cara menjalankan Ibadat Sabda, dan pengetahuan Alkitab.
Harapan saya agar kami terus diberikan keteguhan iman dan seterusnya dapat melayani sesuai kehendak Tuhan. Harry Gitik
Saya daripada peserta Kursus Persijilan Katekis Tahap 2, menyertai kursus ini sejak tahun 2016 lagi sebagai Tahap 1.
Ada banyak benda yang telah kami pelajari daripada tenaga pengajar PPK sepanjang berada di Tahap 1 dan seterusnya ke Tahap 2. Pembelajaran Tahap 1 dan Tahap 2 ada bezanya. Oleh itu, saya menggalakkan agar peserta terus menyambung ke tahap yang lebih tinggi. Ada banyak perkara yang dipelajari tentang teologi seperti Mariologi, Kristologi dan banyak lagi.
Saya memohon maaf kepada tenaga pengajar dan rakan-rakan atas kesilapan yang telah dilakukan sepanjang kursus.
Harapan saya agar rakan-rakan akan terus meneruskan perjuangan dalam melayani dan terus menimba ilmu. Saya juga akan terus belajar ke tahap yang lebih tinggi lagi memandangkan ada cadangan PPK untuk melaksanakan Kursus Persijilan Tahap 3. Richard Sikol