Membakut – Satu majlis kesyukuran sempena Jubli Perak pelayanan sebagai religius bagi Sr. M. Suzana Guntabid FSIC yang berasal dari Kg. Poring Membakut telah diadakan pada 12 Febuari 2017 yang lalu, bertempat di dewan Gereja St. Patrick, Membakut bermula dari jam 11 pagi hingga jam 2 petang. Majlis ini telah disambut meriah dengan kehadiran hampir 200 orang umat Katolik dari seluruh paroki St. Patrick Membakut.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Komiti Panggilan Paroki St. Patrick Membakut dan telah diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pameran hidup Kepaderian dan komuniti Betania oleh Komisi Panggilan Keuskupan Keningau, serta persembahan-persembahan daripada anak-anak Liturgi Sabda Kanak-kanak paroki, dan persembahan daripada Komuniti Umat Katolik (KUK) paroki St. Patrick Membakut.
Majlis kesyukuran ini telah dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Penganjur, saudara Mathews Oming, diikuti dengan ucapan daripada Paderi Paroki St. Patrick Membakut Rev. Fr. Ronnie Luni dan seterusnya ucapan dan perkongsian daripada Sr. M. Suzana Guntabid.
Didalam ucapannya, pengerusi penganjur saudara Mathews Oming menyatakan bahawa objektif utama majlis kesyukuran tersebut diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kerana Sr. M. Suzana telah melalui 25 tahun hidup sebagai seorang religius. Pelayanan selama 25 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat dan pelbagai cabaran telah dihadapi oleh Sr. M. Suzana. Majlis tersebut mewakili seluruh umat Paroki Membakut lebih-lebih lagi seluruh ahli keluarga Sr. M. Suzana sebagai ucapan tahniah diatas sambutan Jubli Perak beliau.
Rev .Fr Ronnie pula menyatakan bahawa, Sr. M. Suzana telah berusaha menghidupi imannya kepada Tuhan dengan keberanian menyahut panggilan Tuhan. Demikian juga umat di Paroki Membakut harus berusaha menghidupi iman mereka masing-masing. Fr. Ronnie juga berharap agar majlis tersebut dapat memberi dorongan bukan sahaja kepada Sr. M. Suzana tetapi juga kepada semua umat untuk terus menyahut panggilan Tuhan untuk melayani sesama dan memohon kepada semua umat untuk terus mendoakan para seminarian supaya mereka kuat menghadapi cabaran untuk menjadi paderi.
Sr. M. Suzana didalam ucapan dan perkongsian sejarah panggilannya menjadi seorang sister didalam Kongregasi Franciscan Sisters Of The Immaculate Conception (FSIC) pula berkata, selama 25 tahun, masa berlalu tanpa disedari, dan semuanya terjadi kerana Tuhan yang menghidupkan panggilannya. Memang terdapat banyak cabaran, tetapi apa yang sangat penting adalah menjadikan Tuhan sebagai titik tengahari didalam kehidupannya. Beliau berkata, kita boleh memilih apa yang kita inginkan didalam hidup kita kerana kita ini milik Tuhan serta unik dan selebihnya akan datang dari kebijaksanaan Tuhan.
Beliau menyeru kepada semua belia untuk tidak takut menyahut panggilan pelayanan kerana samada hidup religius mahupun perkahwinan, kedua-duanya merupakan panggilan Tuhan yang memerlukan Tuhan dimuliakan melalui pelayanan terhadap orang lain. Sr. M. Suzana juga menyeru agar semua ibubapa harus mendidik anak-anak mereka menjadi Katolik sejak dari peringkat awal kerana itulah yang akan membantu mereka memilih jalan hidup pelayanan mereka apabila mereka dewasa kelak.
Sr. M. Suzana kemudiannya mengakhiri perkongsiannya dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menganjurkan majlis kesyukuran tersebut dan memohon maaf secara peribadi sekiranya selama 25 tahun itu, beliau telah melakukan kesilapan ataupun terdapat kelemahan didalam pelayanan nya dan berjanji untuk terus berusaha memperbaiki diri dan pelayanan nya. Sebelum majlis tersebut diakhiri dengan doa penutup oleh Rev. Fr. Ronnie Luni, Sr. M. Suzan telah menyanyikan lagu-lagu karaoke bersama umat yang hadir sebagai hiburan bersama.