KUK Pangaraan

KSFX – Sempena masa Prapaskah, pada 2-4 Mac 2017 Tim PPK telah mengadakan lawatan ke kawasan Zon Pohon yang terdiri dari 3 KUK iaitu KUK Pangaraan, KUK Pohon Batu, dan KUK Lumiri. Seramai 12 orang telah menyertai tim tersebut yang diketuai oleh Fr. Rudolf Joannes dan Sister Patricia Limun FSIC. Anggota Tim PPK yang mengikuti lawatan kali ini ialah, Richard Sikol, Marysia Michael, Stella S. Kinsik, Francis Epit Apot, Seminarian David Gasikol, Katekis Alexcious Tawasin, Katekis Lawrance Yong, Imelda Goniur Denis, Katekis Richard Jitor dan Patrick Marius.

KUK Pohon Batu 1

Perjalanan sejauh 163 Kilometer ditempuhi selama 5 jam untuk sampai ke destinasi disebabkan keadaan jalanraya yang berlubang-lubang turut menyukarkan pergerakan kenderaan walaupun dengan kenderaan  pacuan 4 roda. Tim berangkat dari KSFX pada pukul 11.00 dan tiba di KUK Pangaraan pada pukul 4.00 petang. Selama lawatan ini, tim telah mengadakan katekesis tentang Tema Pastoral Keuskupan, Prapaskah, dan Sakremen-Sakramen. Selain mengadakan katekesis, tim juga merayakan Perayaan Ekaristi bersama umat serta upacara perlantikan Katekis Pemimpin Ibadat, pemberkatan ulang tahun pernikahan, dan penerimaan Sakramen Baptis dan Krisma.
Lawatan sempena musim Prapaskah dan juga merupakan usaha sosialisasi Tema Pastoral Keusukupan iaitu Keluarga, Ibubapa dan Warga Emas kepada semua umat. Tujuan Katekesis mengasihi ibubapa, ibubapa mertua, warga emas sesuai dengan Perintah Tuhan yang ke-4: Hormatilah ibu bapamu (Ef 6:1-9). Katekesis tentang Prapaskah telah disampaikan oleh Cikgu Patrick selaku tenaga pengajar di Pusat Pastoral Keuskupan (PPK)  Keuskupan Keningau, dibantu oleh Seminarian David Richard Gasikol. Katekesis Prapaskah bertujuan meningkatkan pemahaman umat tentang Prapaskah dan membantu umat agar dapat melaksanakan dan menghayati Puasa dan Pantang secara baik dan benar sesuai dengan anjuran Gereja Katolik. Katekesis Sakramen khususnya Sakramen Baptis dan Krisma diberikan untuk membantu para calon agar dapat memahami erti dan buah-buah dari kedua sakramen tersebut.

Pembaptisan di KUK Lumiri

Dalam lawatan ini juga Fr. Rudolf Joannes  telah menjalankan Sakramen Pembabtisan bayi dan dewasa serta Sakramen Krisma. Di KUK Pangaraan, 2 calon telah menerima Sakramen Baptis, manakala di KUK Pohon Batu 2 calon baptis dan 9 calon krisma. Sementara di KUK Lumiri 2 calon telah menerima Sakramen Inisiasi iaitu Sakramen Baptis dan Penguatan. Pemberkatan kepada pasangan suami isteri yang memperbaharui janji perkahwinan juga telah dilakukan di setiap KUK semasa Perayaan Ekaristi. “Dengan demikian mereka bukan lagi dua, melainkan satu. Sebab apa yang dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia.” (Mat 19:6). Dalam masa yang sama perlantikan dan pengutusan Katekis Pemimpin Ibadat juga telah dilaksanakan yang disempurnakan oleh Fr. Rudolf Joanes dan disaksikan oleh Pengerusi MPP Pn. Stella Kinsik. Katekis Ignatius @ Tius Antui telah dilantik dan diutus untuk melayani umat di KUK Pangaraan sementara Katekis Paulus Kurisang telah dilantik dan diutus melayani umat di KUK Pohon Batu.

Pelantikan Katekis di KUK Pohon Batu

Pelantikan Kategis di KUK Isidoris Pangaraan 2

Selaku Pengerusi MPP, Pn. Stella Kinsik berharap agar aktiviti turun ladang Tuhan ini dapat diteruskan bagi membantu dan menyokong umat terutama di Zon Pohon Batu supaya semakin dewasa dalam iman. Bagi tim, lawatan ini merupakan pengalaman yang sangat mengembirakan kerana dapat merasakan kehidupan dan mengenal umat di pedalaman serta dapat berkongsi maklumat dengan mereka. Selain itu, pengalaman lawatan ini juga merupakan sumber kekuatan dan semangat melayani bagi para pewarta (Katekis).

Fr Rudolf menanam pokok longan di kawasan Gereja Kuk Pohon Batu

Fr. Rudolf Joannes yang mengetuai lawatan kali ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat  atas bekerjasama serta komitmen sehingga program ini berjalan dengan baik – Marysia Michael.

Fr Rudolf menanam pokok longan di kawasan Gereja Kuk Pangaraan