Kemabong – Pada 02hb yang lalu, seramai 30 belia yang bernaung di bawah Gereja Bonda Maria, Mission Kemabong mengadakan lawatan ke Gereja St Michael Kuala Tomani. Lawatan sehari Kerasulan Belia Katolik ini merupakan aktiviti pertama yang dianjurkan bagi tahun 2015. Aktiviti pada kali ini bertujuan untuk mengeratkan lagi persaudaraan dan perkenalan di antara para belia yang mewakili belia pusat dan belia dari Zon Tomani.
Seramai 50 belia seluruh Zon Tomani hadir bagi memeriahkan aktiviti yang telah dirancang bagi mereka. Para belia ini masing-masing mewakili KBK Gereja St Michael Kuala Tomani, St Jude Kaparungan, St Thomas Mamaitom dan KBK St Paulus Bangkulin. Ada pun objektif lawatan belia pusat pada kali ini adalah untuk mempromosikan SYD-4 (Sabah Youth Day Ke-4) yang akan diadakan pada 6-10 Jun 2016 bertempat di Gereja Holy Trinity, Tawau.
Rev Fr Benedict Runsab berkenan mendampingi para belia dan di dalam perayaan Ekaristi, beliau menasihatkan kepada para belia agar memiliki iman yang teguh dan sedar selalu bahawa setiap pelayanan haruslah terfokus kepada peribadi Yesus, seperti Injil pada hari ini. Injil menerangkan bahawa Yesus adalah roti hidup yang memberikan kehidupan (Yoh 6:35). Dewasa ini manusia terlalu terfokus pada “AKU” dan melupakan yang lebih utama iaiti Tuhan. Motif pelayanan semakin kabur dan akhirnya pelayanan tersebut bersifat manusiawi belaka dan mencari penghargaan. Jika kita sedar bahawa yang harus diutamakan ialah Yesus, maka kita akan mencontohi Yohanes Pembaptis yang selalu menjadi kecil dihadapan Yesus. Perayaan Ekaristi yang kita rayakan bersama mengingatkan kita akan kepentingan spiritual, dan komuni kudus merupakan bekal perjalanan hidup kita menuju kepada Tuhan.
Setelah perayaan Ekaristi, para belia diajak untuk saling mengenali dan mereka dibawa untuk lebih dekat lagi dengan peribadi Yesus dalam lagu puji-pujian. Mereka turut didedahkan dengan situasi dan pelayanan para belia yang melayani di Gereja pusat. Acara lain iaitu mempromosikan Sabah Youth Day Ke-4 (SYD-4) dimana para belia dari ketiga keuskupan akan berkumpul selama beberapa hari. Di dalam pertemuan ini, para belia akan dibawa untuk menyedari kehadiran Kristus di dalam hidup para belia dan memperkasakan jatidiri para belia untuk menjadi ejen perubahan dalam memberitakan Injil (Yesus) dengan penuh kemurahan hati.
Selain daripada mempromosikan SYD-4, para belia dari Zon Tomani juga disuguhi dengan tayangan video kaitannya dengan sejarah penyelamatan, dan tayangan video kaitannya dengan pelayanan yang sudah dilakukan oleh belia pusat. Diharapkan dengan tayangan-tayangan ini, para belia terbuka hati untuk mahu melayani di Gereja masing-masing.
Tepat jam 5 petang, acara bersama dengan para belia akhirnya berakhir. Doa penutup dan salam damai mengakhiri pertemuan pada kali ini. Semoga dimasa mendatang, para belia Zon Tomani akan semakin berkembang dan bertumbuh di dalam iman dan melayani umat dengan setia.