KHEMAH BELIA ZON MINAWO DAN MAGATANG

Artikel oleh: Melissa Floly

Bapa Uskup Cornelius Piong bergambar bersama Pengerusi Zon Magatang, Penganjur dan Peserta Kem Belia Zon

Keningau: Selepas era pandemik , Kem Belia Zon Minawo (KBZ5) yang terakhir diadakan pada tahun 2020  yang lalu, kini telah kembali dan kali ini diadakan secara gabungan bersama dengan zon Magatang. Hal ini kerana, setelah beberapa orang belia daripada zon Magatang telah menyertai KBZ5, mereka menanamkan hasrat untuk membuat kem seumpama itu di zon Magatang bagi memberikan penyegaran iman kepada rakan-rakan belia yang lain. Maka, Kem Belia Zon ke-6, Gabungan Magatang dan Minawo (KBZG6) telah dilaksanakan bertempat di Zon Magatang bermula dari 26 Februari hingga 1 Mac 2023, dengan penyertaan seramai 150 orang belia dari zon Magatang dan Minawo dan terdapat juga penyertaan dari beberapa zon seperti Apin-Apin, Bingkor, Senagang dan Kepayan.

Misa Kudus Pembukaan KBZG6 ini telah dipimpin oleh Msgr Gilbert Lasius. Paderi itu mengucapkan tahniah atas inisiatif para belia untuk kembali dan bersemangat menyertai program belia ini, dan berpesan kepada semua yang menyertai  agar mengambil peluang ini untuk meneguhkan iman dan kembali memusatkan perhatian dan tujuan pelayanan mereka kepada Tuhan Yesus. “Semoga melalui program ini, para belia dapat mengenal dan lebih menghayati peribadi Yesus yang penuh cinta kasih” tambah prelatus itu. Seusai Misa Kudus, Msgr Gilbert bersama dengan Sr. Liza Agustin, FSIC, Koordinator Komisi Belia Keuskupan Keningau, Sdra. Roney Eming serta Pengerusi KBK Paroki KSFX, Sdra Kelly Vitus turut bersama dalam acara Welcoming Night KBZG6.

Manakala, Misa Kudus Penutup KBZG6 telah diadakan di Gereja St. Blasius Magatang yang diselebrankan oleh  YM Bapa Uskup Cornelius Piong pada 1 Mac 2023. Melihat kepada kehadiran para belia ketika itu, Uskup meluahkan rasa bangga dan gembiranya akan penganjuran KBZG6 kerana menurutnya, melalui program seperti ini para belia mampu bersatu dan berjalan bersama dan ianya menunjukkan bahawa gereja kita mempunyai harapan untuk masa hadapan. Memetik tema KBZG6 “ Bangkitlah Aku Mengutus Kamu Sebagai Saksi Dengan Apa Yang Kamu Lihat” (Kis 26:16), Uskup berpesan bahawa, kita diutus sebagai saksi-saksi Kristus dan membawa pengaruh yang baik untuk semua orang yang kita temui, “Iman kita bukanlah untuk disimpan sendiri, tetapi kita perlu bersaksi, menjadi garam dan cahaya bagi sesama”, tambahnya lagi.

Uskup sekali lagi berpesan dalam homilinya “Para belia, ingatlah bahawa hidup kita ini tidak berakhir di dunia sahaja, tapi tujuan hidup kita adalah menuju ke rumah Bapa di Syurga” ujarnya. Oleh itu, kita perlulah menjalinkan kesatuan yang erat dengan Yesus, kerana hanya melalui Dialah kita boleh sampai ke rumah Bapa di Syurga, seperti dalam (Yohanes 14:6) “Akulah jalan kebenaran, dan hidup; tidak ada manusia yang datang kepada Bapa tanpa melalui Aku”.

Program yang berjalan selama 4 hari 3 malam ini, membawa peserta untuk melihat kembali relasi peribadi mereka dengan Tuhan, juga dalam keluarga terutama ibu bapa dan sesama mereka. Para belia juga diingatkan untuk menjadi peribadi yang teguh dan selalu mencerminkan peribadi Yesus terhadap sesama. Besarlah harapan klerus itu agar pengalaman dalam Kem Belia Zon Gabungan kali ini, mampu memupuk rasa bangga akan identiti para belia sebagai umat Katolik malah Uskup menyokong penuh untuk program seperti ini diteruskan di masa akan datang dan lebih membuka peluang untuk lebih ramai belia dari setiap zon di Paroki Keningau untuk ikut serta. Florence Doon dan Fevian Felix selaku Pengerusi KBK  bagi Zon Magatang dan Minawo, yang juga merupakan koordinator bagi KBZG6 ini mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan dan kerjasama dari semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kem Belia Zon Gabungan Magatang dan Minawo ini, khusus buat semua umat Zon Magatang yang begitu komited berdoa untuk kelancaran KBZG6 sepanjang program ini berlangsung. Mereka juga berharap agar usaha ini mampu mengobarkan kembali semangat para belia untuk terus melayani dengan lebih sungguh dan semakin terbuka untuk berkongsi pengalaman iman mereka kepada rakan-rakan di tempat masing-masing.

Sharing is caring!