KHEMAH BELIA KEUSKUPAN KE-4

BERBAHAGIALAH ORANG YANG SUCI HATINYA,

KERANA MEREKA AKAN MELIHAT ALLAH (Mat 5:8)

IMG_20150612_0001_NEW

Kuala Penyu – Khemah Belia Keuskupan ke-4 kini kembali lagi apabila lebih 563 belia dari seluruh Keuskupan Keningau berhimpun di Gereja St Peter Bundu, Kuala Penyu. Para belia berkumpul atas satu kepercayaan iaitu Dia yang telah bangkit, yang telah mengumpulkan mereka untuk berjalan bersama dalam satu iman yang sama. Pendaftara telah diadakan di 4 buah lokasi bagi memudahkan bahagian pendaftaran sekaligus pembagian tempat tinggal. Ada pun zon-zon tersebut ialah: Zon A (Kediaman Dr. Monih), Zon B (Balai raya Kasampa), Zon C (Kediaman En. Fredolin Pingoh) dan Zon D (Balai raya Sg. Labuan).

Para peserta pada khemah kali ini berpeluang untuk merasakan pengalaman yang mungkin belum pernah dialami sebelum ini. Mereka tidak tinggal di khemah-khemah atau bilik sekolah melainkan tinggal bersama dengan keluarga angkat. Oleh kerana itulah mereka telah dibahagikan kepada 4 zon utama di Kuala Penyu meskipun Gereja St Peter Bundu, Kuala Penyu adalah tuan rumah KBK-4 pada tahun ini.

Berbeza dengan KBK sebelum ini, para belia telah disambut dengan meriah oleh keluarga angkat mereka di zon-zon yang telah disediakan. Tujuan utama para peserta tinggal bersama keluarga angkat, selain kerana tidak memiliki tempat yang cukup, diharapkan kehadiran anak-anak angkat mampu merapatkan hubungan antara peserta dan keluarga angkat, dan tidak terlintas di fikiran bahawa kehadiran mereka hanya sekedar berehat dan tidur sahaja.

KBK-4 pada tahun ini mengambil tema “Berbahagialah orang yang suci hatinya, kerana mereka akan melihat Allah” (Mat 5:8). Melihat realiti dunia hari ini, para belia hidup dalam dunia yang dipenuhi dengan tawaran-tawaran duniawi. Ramai belia yang menjadi mangsa dan tertipu dengan “kedamaian” dan “ketenangan” yang ditawarkan oleh pengusaha-pengusahah dunia sekularisme, materialisme dan konsumerisme. Keadaan ini mempengaruhi perkembangan peribadi belia sehingga mereka sendiri menjadi mangsa dan hilang harapan dan tujuan dalam hidup ini.

Khemah Belia Keuskupan Ke-4 dibuka dengan perayaan Ekaristi yang dipersembahkan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong dan disertai 8 para paderi dan 2 diakon yang melayani di Keuskupan Keningau. Dalam homilinya, beliau mengalu-alukan kedatangan para belia dan beliau berbangga dan bersyukur kerana kehadiran para belia di dalam KBK kali ini menunjukkan bahawa Gereja memiliki harapan masa depan yang cerah. Gereja memerlukan tenaga-tenaga baru untuk meneruskan karya keselamatan yang sudah dimulai oleh Kristus sendiri. Beliau berharap sepanjang KBK ini berlangsung, para belia terbuka akan karya Roh Kudus yang mahu membimbing, menyembuhkan dan menguatkan rohani mereka.

Selanjutnya, Bapa Uskup berkata bahawa beliau tertarik melihat para belia yang ada. Bukan tertarik kerana kecantikan ataupun ketampanan, melainkan tertarik kerana para belia adalah tanda bahawa Gereja memiliki harapan. Tema sepanjang KBK-4 ini, menurut Bapa Uskup, semua orang ingin bahagia namun apakah bahagia yang dimiliki pada zaman ini sungguh-sungguh bersifat ilahi ataupun hanya luaran sahaja yang lebih bersifat duniawi.

Kebahagiaan yang sempurna boleh dicapai dengan kembali ke perkara-perkara asas iaitu Yesus sendiri. Seperti dalam bacaan Injil, Yesus bertanya kepada para murid-Nya “Gambar siapakah yang kamu lihat dalam mata wang ini dan para murid menjawab gambar kaisar”. Kita lebih berharga daripada mata wang kerana seperti dalam Kitab Kejadian 1:26 “Kita diciptakan menurut rupa dan gambar Allah”. Apakah kita menyedari akan hal ini? Jika kita menyedari bahawa kita dicipta menurut rupa dan gambar Allah makan tentu sekali kita merasa diri kita ini bernilai tinggi. Inilah hal yang sering dilupakan oleh manusia dan membuat kita tidak hidup menurut rupa dan gambar Allah.

Bapa Uskup di akhir homilinya berpesan agar para belia jangan pernah takut untuk mempertahankan imannya ditengah-tengah dunia yang penuh dengan godaan dan tawaran duniawi. Ini kerana Yesus telah berdoa kepada Bapa dan permohonan doa Yesus antara lain adalah:

  1. Agar mereka bersatu seperti Bapa dan Anak
  2. Lindungilah mereka ini dari si jahat
  3. Jadikan mereka milik-Mu sendiri

Kita tinggal di dalam dunia dan dunia penuh dengan tawaran-tawaran yang mampu menjauhkan kita dari Yesus. Tetapi selaku anak-anak Allah, kita harus terus berjuang mempertahankan iman kita. Iman akan Yesus yang telah bangkit dan yang telah mengalahkan kejahatan. Para belia harus menjadi saksi yang hidup. Bersaksi dimanapun kita berada dan tidak pernah malu mengakui bahawa Tuhan kita adalah Yesus Kristus. Kita boleh mengatasi setiap godaan jika kita memiliki relasi yang akrab dengan Tuhan. Selalu dekat dengan Tuhan melalui perayaan Ekaristi, Sakramen-Sakramen, selalu membaca Firman Tuhan dan bersatu dengan Gereja-Nya.

Aktiviti seterusnya adalah “Welcoming Night” yang mana program ini mahu mengeratkan lagi persahabatan para belia yang datang dari pelbagai latar belakang, tempat dan pendidikan. Namun aktiviti “Welcoming Night” terpaksa dihentikan kerana cuaca yang tidak menentu. Malam itu, para peserta dibasahi dengan titisan-titisan air hujan yang deras dan disertai dengan kilat sabung-menyabung. Para peserta terpaksa bergelap kerana ketiadaan bekalan elektrik.

Terpancar di wajah para peserta ketakutan dan kerisauan akibat cuaca yang tidak menentu. Namun mereka menjadi tenang apabila team belia membawa mereka untuk bersama-sama berdoa agar Tuhan memberikan cuaca yang baik. Sekitar jam 9 malam, hujan mulai reda dan bekalan elektrik pulih kembali. Para peserta dibawa kembali untuk memuji dan menyembah Tuhan dalam lagu-lagu pujian. Satu hal yang menjadi permenungan mereka adalah “tiada yang mustahil jika semua jiwa bersatu dalam doa memohon bantuan dari Tuhan”.

Seterusnya program hari kedua hinggalah hari kelima, para peserta dibawa untuk menyelami betapa dalam dan luasnya kasih Tuhan kepada mereka. Mereka melalui aktiviti-aktiviti seperti sharing bersama, animasi, vigili, faith sharing, adorasi, berkumpul bersama dengan keluarga angkat, dan setiap hari para peserta berpeluang mengikuti perayaan Ekaristi dimana mereka boleh bertemu dengan Tuhan dan menerima Tubuh-Nya yang kudus. Tidak lupa juga, para paderi bersedia menanti kehadiran para peserta di dalam Sakramen Rekonsiliasi dan para biarawan-biarawati yang hadir turut serta memberi bimbingan rohani kepada para belia yang memerlukannya.

Hari terakhir KBK-4, dalam homilinya, Rev Fr Rudolf mewakili Bapa Uskup Cornelius Piong mengucapkan syabas kepada para peserta yang telah menyelesaikan perjalanan mereka bersama Yesus. Rev Fr Rudolf terus menekankan bahawa iman seorang kristian akan selalu dicubai. Selagi tinggal di dunia ini, selagi itulah godaan dan tawaran dunia akan terus kita alami. Apakah selama lima hari berada di tempat ini, para peserta telah mengalami kehadiran Tuhan? Apakah para belia telah melihat Tuhan? Tentunya menurut Rev Fr Rudolf, kita tidak melihat Tuhan dengan mata kasar, melainkan melihat kehadiran Tuhan dengan mata iman. Para belia disedarkan bahawa para belia memiliki ketergantungan dengan ciptaan dunia iaitu handphone. Semasa ceramah dan lain-lain aktiviti, handphone tidak pernah lepas dari pandangan mata dan tidak pernah terlepas dari genggaman tangan. Ketergantungan kepada handphone membuat para belia semakin menjauh dari Firman Tuhan, semakin melupakan komunikasi peribadi dengan Tuhan dan disibukkan dengan hal-hal yang tidak mampu membawa kepada kehidupan kekal.

Fr Rudolf percaya selama kehadiran mereka di dalam KBK ini, mereka telah dipahat, ditukul, dan dibentuk menjadi sempurna kembali. Sekembali dari tempat ini, para belia akan kembali berhadapan dengan situasi yang sama lagi. Untuk itulah, para belia harus selalu sedar dan selalu menghadirkan Tuhan di dalam kehidupan. Mengambil pesan Bapa Uskup, Rev Fr Rudolf sekali lagi menekankan agar para belia selalu bertumbuh, berakar dan berbuah.

Beberapa hari sebelumnya, Bapa Uskup “terpaksa” mengumumkan tempat KBK-5. Ini disebabkan Bapa Uskup terpaksa kembali Ke Keuskupan disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Dan tuan rumah KBK-5 pada 2019 nanti jatuh kepada Gereja Roh Kudus, Sook.

Mewakili Bapa Uskup, Rev Fr Rudolf menjadi saksi penyerahan tanda KBK-4 kepada tuan rumah KBK-5 iaitu salib yang melambangkan kehadiran Yesus ditengah-tengah umat-Nya, terlebih di dalam jiwa para belia.

Sharing is caring!