KEUSKUPAN KENINGAU LANCAR LOGO DAN TEMA UNTUK 3 PROGRAM BESAR

Artikel oleh : Juanis bin Marcus

Keningau– Keuskupan Keningau melancarkan logo dan tema yang bakal digunakan untuk 3 program besar iaitu Ulang Tahun Keuskupan Keningau yang ke-30(UTK30), Perhimpunan Umat Katolik ke 12(PUKAT 12) dan Malaysian Pastoral Convention (MPC) 2026.

Pelancaran ini telah  diadakan pada 26 Mar yang lalu, bertempat di Dataran Keuskupan Keningau, dan telah disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong selepas Misa Kudus. Simbolik Pelancaran dilakukan dengan penayangan video mengenai makna logo dan kemudiannya pemberian banner bunting kepada setiap pengerusi MPP di Keuskupan Keningau dan zon-zon dalam Paroki Keningau.

Tema yang berbunyi, “Umat Allah berjalan bersama dalam Yesus Kristus, Membangun gereja melalui instituisi keluarga, Memelihara bumi sebagai rumah bersama, Melayani Sesama tanpa mengira agama, bangsa dan budaya,”adalah hasil dari perbincangan dan penelitian oleh Tim Pastoral Keuskupan Keningau(TPK).

 Menurut, Sdra.Patrick Marius, yang pengerusi TPK, selama 30 tahun Keuskupan Keningau telah menggunakan tema  “Umat Allah berjalan bersama”, sebagai dasar dalam pelayanan pastoralnya. Namun pada tahun ini, ia telah dirungkai lebih lagi berdasarkan 4 dokumen gereja, iaitu Amoris Laetitia, Fratelli Tutti, Evangelii Gaudium dan Laudato Sii, sekaligus memfokuskan kepada 4 perkara utama dalam pelayanan pastoral iaitu, gereja, keluarga, Ekologi dan sosial.

Dalam aspek GEREJA, Sdra.Patrick menyatakan bahawa gereja mampu melaksanakan wawasan, visi dan misi sekiranya  ia dibangun bersama semua umat dan bukannya terletak di bahu segelintir komuniti sahaja seperti paderi dan religious. Bagi aspek KELUARGA pula, ia merupakan komponen asas dalam pembentukan komuniti, termasuk komuniti gereja. Keluarga yang diacu dengan kehendak Allah, pasti akan membentuk komuniti gereja yang berlandaskan kepada kehendak Allah.

Manusia juga harus menyedari bahawa ia hidup dibumi bersama alam ciptaan Tuhan, sebab itu tema kali ini juga menekankan tentang pemeliharaan dan pemuliharaan EKOLOGI. Akhirnya, menembusi dinding, agama, bangsa dan budaya, benih untuk membangun komuniti itu tetap ada melalui sikap ambil peduli dan semangat persaudaraan.

Logo pula adalah hasil rekacipta dari Komisi Komsos Keuskupan Keningau. Beberapa ciri penting dalam logo ini adalah seperti, sebahagian besar logo tersebut adalah berwarna hijau dan kuning yang juga merupakan  warna yang telah sinonim dengan Keuskupan Keningau. 4 icon yang jelas berbeza pula menandakan 4 aspek utama dalam pastoral iaitu, Gereja, Keluarga, Ekologi dan Sosial.

Bapa Uskup Cornelius pula semasa homilinya, melabelkan tema yang dipilih ini adalah suatu yang sangat baik kerena ia mampu membentuk iman yang menyeluruh dan holistik. “Aspek gereja, keluarga, ekologi  dan sosial ini harus dipergiatkan lagi dalam program dan aktiviti terutama dalam keuskupan kita,”tutup prelatus itu.

Paroki Gereja Roh Kudus , Sook bakal menggunakan tema dan logo ini untuk pertama kalinya, apabila berlangsungnya UTK-30 pada 1 Mei ini- Juanis bin Marcus

Sharing is caring!