Renungan Hari Minggu Ke 4 Musim Puasa (C)
Yos 5:9a. 10-12; 2Kor 5:17-21; Luk 15:1-3,11-32
Salah satu bakat Yesus yang sungguh luar biasa adalah kemahiran-Nya untuk bercerita. Memang tidak mudah untuk menilai mana satu koleksi cerita-Nya yang terbaik terdapat dalam Injil. Tetapi cerita-Nya dalam Injil hari ini boleh dikatakan sebagai salah satu cerita-Nya yang terpilih, iaitu tentang perumpamaan anak yang hilang.
Tokoh utama dalam cerita tersebut adalah bapa yang memberi perhatian penuh dan tanpa pilih kasih kepada kedua anaknya yang tidak bersyukur atas kebaikannya itu. Beliau sangat bermurah hati, memberi kebebasan dan mengampuni kepada anaknya yang bungsu dan menahan diri, sabar dan memberi penghiburan kepada anaknya yang sulung. Walaupun anaknya yang bungsu itu merupakan anak yang hilang dan yang sulung selalu merasa dihantui oleh rasa tidak aman dan tidak dipedulikan alias paranoid, namun ayah yang prihatin itu memahami dan tetap menyokong kedua-dua orang anaknya dengan penuh kasih yang tidak berbelah bagi.
Sebenarnya ada banyak bentuk pengajaran yang boleh kita timba daripada cerita yang sungguh menarik ini, tetapi pada masa prapaska ini, kisah ini menyedarkan kita untuk kembali kepada Allah, Bapa yang maha pengasih itu tanpa was-was. Kasih Tuhan tidak sama dengan kasih manusia yang biasanya mempunyai syarat dan had tertentu.
Saya pernah mendengar seorang paderi bercerita tentang kisah seorang askar semasa perang di Vietnam. Konon suatu hari askar tersebut menelepon ibunya mengatakan bahawa dia dibenarkan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan. “Oh, anakku! Bilakah engkau akan pulang?” dijawab oleh askar tersebut, “Ini semua bergantung pada keadaan. Begini mak, saya ingin mengajak sahabat saya untuk pulang bersama dengan saya.” “Silakan anakku, bawalah dia bersamamu.” Kata ibu tersebut. “Tapi mak, kakinya sudah dipotong, tangan kanannya tiada, mukanya cacat dan matanya buta sebelah. Dia memang tidak bererti lagi tapi dia sangat memerlukan rumah dan orang yang mengasihinya.” Ibu tersebut menjawab sambil tergagap-gagap, “Ibu prihatin dengan keadaanya, tetapi apa kata jiran-jiran kita? Ayahmu pasti tidak setuju dan agak memalukan jika sahabatmu… “ telepon terputus.
Lewat tengah malam ibu tersebut mendapat panggilan telepon dari hospital, “Polis menghantar mayat seorang pemuda yang tidak berkaki, tanpa tangan kanan, muka cacat dan mata buta sebelah. Dia telah menembak kepalanya. Kad pengenalannya mengatakan dia adalah anak anda.”
Seandainya anak tersebut berterus terang tentang keadaannya yang sebenar, pasti sang ibu tidak menolaknya untuk pulang. Namun kisah yang sungguh menyedihkan ini menyatakan betapa lemahnya sikap manusia yang suka pilih kasih. Bahawa kita dapat menerima sesama kita hanya jika dia bersesuaian dengan keinginan kita, tidak menyusahkan kita dan kita mendapat sesuatu keuntungan daripada mereka. Cinta kasih seperti ini adalah bersifat mementingkan diri sendiri dan bersyarat.
Kurang pemahaman tentang nilai cinta kasih yang sebenar membuat kita merasa tidak selamat dan tidak jujur. Kita takut tidak dihargai. Hati kita mudah dilukai oleh sikap-sikap sesama yang seakan-akan mengutuk kita. Akibatnya, kadang-kadang kita berlagak seperti orang lain hanya kerana ingin diberi perhatian oleh sesama. Namun, semua lagak yang bukan diri kita sebenarnya, tidak akan dapat memuaskan hati semua orang termasuk orang-orang yang dekat dengan kita.
Betapa seronoknya jika kita dikasihi oleh sesama kita apa adanya – menerima segala kelemahan dan kekurangan kita. Terdapat rasa kehausan dan kelaparan terhadap keprihatinan dan cinta kasih yang memuaskan jauh di dalam hati nurani kita.
Yesus dalam Injil tadi menceritakan pada kita bahawa Tuhan Allah Bapa kita di syurga mengasihi kita tanpa syarat, tanpa had, tanpa was-was.
Mungkin kita seperti si anak bungsu, tidak puas hati tinggal di rumah, bebas dan tidak bertanggung jawab. Memang dia bukan anak yang jahat, hanya merasa gelisah dan suka merantau. Mungkin dia tidak bermaksud menghina bapanya, tetapi dengan meminta bahagian harta untuk dirinya sendiri bermakna dia secara tidak langsung menganggap bapanya sudah mati. Pasti sang bapa tersebut merasa sedih dengan perlakuan tersebut tapi dia faham dan menunaikan kehendaknya.
Apakah kita tidak sama dengan si anak sulung bersikap tertutup, tidak sosial, penakut dan iri hati teradap sesama? Seperti si anak sulung itu, ketika ini mungkin kita merasa selamat hanya dengan cara mengumpulkan wang dengan cara apa juga cara – halal dan tidak halal. Selalu berfikir bahawa orang-orang yang bersikap baik pada kita itu hanyalah orang-orang yang mahu mengambil kesempatan pada diri kita. Kalau begitu, maka prapaska tahun ini mengajak kita untuk terbuka, berkomunikasi dan saling berkongsi dengan sesama kita kerana sedar bahawa mereka mengasihi kita dan bahawa Allah Bapa di syurga sungguh mengasihi kita apa adanya tanpa was-was.
Sama ada kita seperti si anak bungsu ataupun si anak sulung, kita tidak perlu merasa ditolak oleh Tuhan. Walaupun dosa kita telah membuat Yesus mati di kayu salib, tetapi Dia tetap menjemput kita untuk kembali pulang kepada-Nya pada bila-bila masa.
Akhirnya kita dapat merasakan bahawa Tuhan seakan-akan berkata-kata kepada kita demikian: “Jika engkau meninggalkan Daku, Aku tidak menghalangmu. Namun Aku tetap mengasihimu. Mungkin ada masa-masa tertentu di mana engkau melepaskan diri daripada kasih-Ku, tetapi percayalah engkau tidak pernah kehilangan kasih-Ku padamu. Engkau bebas menolak kasih-Ku, tetapi yang pasti engkau tidak akan pernah kehilangan kasih-Ku kepadamu.” Apa pun yang terjadi, marilah kembali kepada-Nya. (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.
- Di antara tiga tokoh dalam perumpamaan anak yang hilang tadi, tokoh manakah yang paling dekat dengan diri anda? Apakah dengan si anak bungsu, si anak sulung atau sang bapa yang pengasih itu?
- Apakah sikap yang harus kita ambil agar dapat kembali kepada Tuhan walaupun kita sudah jatuh jauh ke dalam lembah dosa?
Cadangan aktiviti minggu ini.
Seandainya kita masih ada ibu bapa, mohonlah pengampunan daripada mereka atas segala kesalahan kita yang tidak baik, misalnya berebut harta ketika mereka masih hidup.