KEM LELAKI SEJATI: IMAM, GURU DAN PEMIMPIN KELUARGA

Kemabong – Yang pertama di Sabah dan mungkin juga di Malaysia itulah ungkapan oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong terhadap program Kem Lelaki Sejati Katolik siri 1 yang telah diadakan di Gereja Bonda Maria Kemabong.  Kem ini telah dilaksanakan selama 3 hari bermula pada 3  Mac  dan berakhir pada 5 Mac 2017.  Kem ini  telah menarik minat seramai 33 orang peserta terdiri daripada para bapa, suami dan juga lelaki bujang berumur 20 tahun keatas.

Bapa Uskup bersama fasilitator

Kem ini dimulakan dengan Perayaan Ekaristi yang telah dipimpin oleh Bapa Uskup dan dibantu oleh Fr. Benedict Daulis.  Dalam homilinya, Bapa Uskup bersyukur kerana di Keuskupan Keningau telah terbentuk sebuah Tim Pelayanan Lelaki Katolik diketuai oleh Fr. Benedict yang berani tampil untuk menganjurkan program kerohanian  yang mengkhususkan untuk lelaki sahaja.  Memang ini bukan sesuatu yang mudah tetapi jika bersandarkan kepada Yesus dan mempunyai relasi yang akrab dengan Yesus semuanya akan berjalan dengan baik sekali.  Bapa Uskup berharap para peserta mengambil kesempatan dalam kem ini untuk mempelajari sesuatu  bagi membentuk sebuah keluarga yang lebih harmoni.

Fr Benedict bersama para peserta

Dalam masa yang sama Bapa Uskup telah  melantik Fr. Benedict sebagai pembimbing rohani untuk Tim Pelayanan Lelaki Katolik dan telah mengiktiraf Tim Pelayanan Lelaki Katolik ini sebagai sebuah badan Kerasulan Lelaki Katolik di Keuskupan Keningau.  Diakhir Misa Kudus pengerusi Tim Pelayanan Lelaki Katolik saudara Geroge Ansim telah memberi cendra kenangan kepada Bapa Uskup sebagai ucapan terima kasih kerana merestui program Kem Lelaki Sejati Katolik ini dilaksanakan.

Kem ini telah dikendalikan seramai 16 orang fasilitator yang terdiri daripada peserta yang telah mengikuti Kem Pria Sejati Katolik di Indonesia. Tim ini telah dibentuk  pada bulan Ogos 2016 dan telah membuat persiapan sejak bulan November 2016 untuk perlaksanaan kem  ini.  Selain daripada Keuskupan Keningau kem ini juga telah dibantu oleh para fasilitator yang datang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Fasilitator bersama peserta

Kem ini ditutup dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr. Benedict. Dalam ucapan pengerusi MPM, yang juga peserta program iaitu saudara Gilbert Ondoi berharap kem ini akan diteruskan pada masa akan datang. Beliau melihat bahawa program semacam ini banyak memberi ‘input’ positif dalam membentuk peribadi seorang lelaki dan bagaimana menjadi seorang pemimpin dalam keluarganya. – Christy F. Anjun

Sharing is caring!