Artikel : Juanis bin Marcus
Keningau:- Bapa Uskup Cornelius Piong mengingatkan semua para Katekis Pembimbing bahawa pelayanan mereka mempunyai peranan yang sangat penting untuk membentuk iman umat yang berkualiti.
Pesanan itu disampaikan semasa memberikan ucap tama Jelajah Perhimpunan Katekatikal Sabah (PKS-2) peringkat Keuskupan Keningau, yang berlangsung di Dataran Keuskupan Keningau pada 11 Mar yang lalu.
Bapa Uskup Cornelius Piong menjelaskan mengapa para katekis pembimbing mempunyai peranan penting dalam membentuk iman umat yang berkualiti kerana katekis pembimbing banyak terlibat dalam membimbing umat terutamanya dalam lingkungan umur seperti kanak-kanak dan remaja. “Apakah yang dimaksudkan dengan iman yang berkualiti? Iman yang diajarkan berdasarkan harapan dan cintakasih, inilah didikan yang seharusnya diberikan oleh katekis pembimbing’ tegas prelatus itu.
“Melihat cabaran, godaan dan bujukan dunia ini membuatkan kita hidup dalam ketakutan. Namun, dengan didikan agama yang baik oleh para katekis , pasti sedikit sebanyak membantu keuskupan kita dalam mencapai matlamat membangun umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan Allah,” tutup prelatus itu.
Msgr.Nicholas Stephen, yang juga pembimbing rohani bagi Komisi Katekatikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu juga senada dengan Bapa Uskup Cornelius. “Saya juga setuju dengan apa yang ditekankan oleh Bapa Uskup, sekiranya para katekis pembimbing dapat membantu dalam pembentukan iman berkualiti dikalangan umat, pasti memberikan kekuatan untuk menempuhi cabaran terutama keadaan sukar ketika ini selepas pandemik,” ujar Msgr.Nicholas. Klerus itu juga menekankan bahawa umat yang mempunyai kualiti iman yang baik dan teguh akan memudahkan umat dari 3 keuskupan di Sabah ini bersatu sabagai TUBUH KRISTUS.
Jelajah pertama bagi PKS-2 kali ini yang bertemakan “Katekis: Berjalan bersama dalam iman, harapan dan kasih”, dihadiri lebih dari 140 katekis pembimbing. Turut terlibat pengerusi-pengerusi dan tim penganjur dari 3 Keuskupan iaitu, Sr.Dariah Ajap, FSIC(Pengerusi Komisi Katekatikal Keukuspan Agung Kota Kinabalu), Sr.Christella Lim, FSIC (Pengerusi Komisi Katekatikal Keuskupan Keningau), Sr.Martina James, FSIC (Pengerusi Komisi Katekatikal Keuskupan Sandakan), Sr.Elizabeth Munggai FSIC(Tim), Aloysia Moguil(Tim), Primus Donatus, Rita Titing(Tim) , Benjamin Yurimos(Tim) dan Mary Intang(Tim).
Selain daripada Katekesis oleh Bapa Uskup Cornelius dan Msgr.Nicholas Stephen, para katekis pembimbing juga diberi input mengenai Sejarah Keuskupan agar mereka dapat mengenal lebih lagi asal-usul keuskupan dan menghargai usaha missionaries terdahulu dalam membawa Yesus Kristus ke Keuskupan Keningau.
Katekis Pembimbing juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi perkongsian. Antara yang terbanyak diutarakan oleh para katekis pembimbing adalah harapan mereka agar dapat melihat lebih ramai umat terbuka hati untuk terlibat dalam pelayanan di gereja. Siri pertama Jelajah PKS-2 ini diadakan untuk mempersiapkan para katekis pembimbing khususnya dari Keuskupan Keningau dalam menuju Perhimpunan Katekatikal seluruh Sabah yang bakal dianjurkan pada 15-17 Sept mendatang pada tahun ini di Katedral Sacred Heart, Keuskupan Agung Kota Kinabalu.