Hari Minggu Paska Ke – 5 ( B )
Kis.9:26-31; 1Yoh. 3:18-24; Yoh.15:1-8
Ada tradisi kuno yang menceritakan tentang hari-hari terakhir masa hidup Yohanes Penginjil. Dia hidup begitu lama sehingga sangat lemah. Ketika ada pertemuan, dia harus dipimpin ke tempat pertemuan orang-orang beriman. Oleh kerana sudah terlalu lemah, dia tidak dapat lagi menyampaikan nasihat-nasihat yang panjang. Maka setiap kali ada pertemuan, dia selalu mengulang kata-kata ini: “Hai anak-anakku, kasihilah satu sama lain.”
Murid-muridnya sudah pun mendengar kata-kata yang sama lalu bertanya mengapa dia suka mengulang-ulangi kata-kata yang sama itu. Lalu Yohanes memberikan jawaban berikut: “Lakukanlah ini saja dan itu sudah cukup.”
Biasanya diperlukan sesuatu tragedi untuk menyatukan manusia itu agar dekat dan saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Orang biasanya hidup bersama-sama tahun demi tahun namun tertutup di dalam dunianya sendiri sehinggalah terjadi sesuatu kejadian yang membahayakan diri mereka. Apabila sesuatu trajedi berlaku, barulah mereka sedar bahawa mereka memerlukan sesamanya dan baru mengetahui bahawa mereka sebenarnya adalah satu keluarga besar yang tidak boleh dipisahkan. Dalam keadaan seperti ini, barulah mereka menghargai sesamanya serta saling tolong menolong dan murah senyuman. Ini bererti bahawa kegembiraan di dunia ini bukan terdapat pada segala kejayaan dan harta milik kita, tetapi terdapat hanya di dalam kehangatan perhubungan manusia yang didasari dengan cinta kasih yang ikhlas. Biasanya kita dikurung oleh kepentingan peribadi kita sehingga hubungan kita dengan sesama terputus. Hanya melalui sentuhan tangan-tangan yang hangat dan mahu bersahabat dapat membebaskan kita daripada penjara yang kita ciptakan sendiri.
Walaupun dunia zaman sekarang ini tidak pernah ‘tidur’ kerana manusia sentiasa sibuk dan aktif siang dan malam, namun sebenarnya di zaman inilah terdapat banyak kesyunyian di dunia ini. Lebih ramai orang bercakap sendirian melalui telepon bimbit. Tidak kurang juga orang-orang muda menari sendirian tanpa peduli orang lain kerana mengikuti retak musik yang disumbatkan ke telinga mereka melalui alat-alat canggih. Apabila ditegur mengapa berbuat demikian? Maka dua jenis reaksi akan mereka berikan. Pertama, mereka mendiamkan diri seakan-akan tidak mendengar teguran kita. Kedua mereka menempalak kita dengan kata-kata sinis, “Apa kau peduli, jangan ganggu saya!” Ramai pakar sakit jiwa mengatakan bahawa kebanyakan pesakit-pesakit jiwa yang datang kepada mereka lebih mengasihi pada binatang peliharaan mereka. Lelaki biasanya sangat rapat dengan anjing dan perempuan lebih suka pada kucing. Malah ada yang lebih ekstrim lagi, mereka suka pada binatang-binatang yang buas seperti ular, buaya, harimau dan lain-lain lagi. Apakah kenyataan ini tidak menyedihkan kita semua? Namun apakah kita memarahi mereka jika mereka menyalurkan kasih mereka terhadap binatang demi cintakasih yang tidak mereka temui dari sesamanya?
Yesus mahu para rasul-Nya menyedari bahawa mereka adalah “dahan-dahan” kayu daripada ‘pohon kayu’ yang sama. Maka dengan demikian mereka seharusnya membentuk sebuah komuniti yang berasaskan cinta kasih. Bagi Yesus, pengikut-Nya yang kesepian itu tidak ada di dalam kamus-Nya. Buah-buah yang diingini oleh Kristus di dalam kita adalah kesatuan, keharmonian di antara sesama kita. Tetapi apabila orang lain melihat pada komuniti kita, apakah mereka sungguh dapat melihat kita ini datangnya daripada pohon yang sama? Bahawa kebaikan yang terdapat pada diri seseorang di dalam komuniti itu adalah kebaikan daripada seluruh komuniti, dan kesengsaraan salah seorang daripada komuniti itu adalah kesengsaraan bagi seluruh komuniti tersebut? Mungkin tidak! Bukankah seringkali kita hidup dan berbuat seakan-akan kita tidak ada kena mengena dengan sesama kita yang lain. Seandainya kita tidak saling mempedulikan satu sama lain atau lebih teruk lagi kita memutuskan hubungan kita daripada komuniti kita, maka tidakkah ianya menjadi jelas kepada dunia bahawa kita sebenarnya sudah tertanggal daripada pohon sebenarnya iaitu Yesus Kristus?
Mungkin apa yang dimaksudkan Yesus ini agak sukar untuk kita fahami, tapi perhatikan kisah dongeng berikut ini dengan baik-baik sambil merenungi nasihat Yesus untuk sentiasa ambil peduli kebajikan sesamanya.
Suatu hari ada tiga ekor binatang yang bersahabat baik: Tikus, ayam dan kambing. Ayam dan kambing adalah binatang peliharaan kesayangan tuan rumah. Tetapi tikus sangat dibenci oleh tuan rumah tersebut. Suatu hari tikus memperingatkan teman-temannya bahawa ada perangkap dipasang di rumah tersebut. Tetapi ayam dan kambing mentertawakan berita tersebut sambil berkata, “Tiada kena mengena dengan kami.” Suatu malam yang gelap, perengkap tersebut berbunyi kuat sehingga tuan rumah terbangun lalu meraba-raba di tengah-tengah kegelapan untuk melihat hasil tangkapan perangkapnya itu. “Aduh!” teriaknya. Rupa-rupanya ular yang tersepit pada perangkap tersebut telah mematuk tuan rumah. Selang beberapa hari tuan rumah menjadi sakit akibat patukan ular tersebut. Isterinya memanggil tetangganya untuk mengobati tuan rumah. Akibatnya ayam kesayangan disembelih untuk dihidangkan tetamu yang datang. Sang kambing mulai menyesal tidak mendengar keluhan sang tikus tempoh hari untuk mencari jalan bagaimana menyingkirkan perangkap tersebut. Akhirnya tuan rumah tersebut meninggal dunia. Dan akibatnya? Sang kambing juga turut disembeli untuk dihidangkan pada tetamu yang berdatangan. Sang tikus yang keseorangan merasa kesepian tidak mahu makan lalu menjadi sakit dan akhirnya mati. Semuanya gara-gara sikap, “Tidak kena mengena dengan saya.”
Kristuslah yang menyatukan kita. Sebab Kristus adalah pohon yang memberikan kita sebagai ranting-ranting-Nya, kesegaran hidup. Melalui sikap kepedulianan dan keharmonian di antara kita, orang lain dapat mengenal bahawa kita bersatu dengan Kristus. Jangan tunggu sampai kita mengalami bahaya yang mengencam kehidupan kita untuk mengalami realiti kehidupan yang dikehendaki Yesus itu. Memang kehidupan saling mempedulikan, mengasihi dan harmoni dengan sesama ini merupakan suatu ideal, tetapi bukan inikah yang sungguh diperlukan oleh manusia masa kini? (JL)
Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.
1 Yesus pernah berkata, “Akulah pokok dan kamulah ranting-rantingnya.” Apakah makna kata-kata Yesus ini bagi kehidupan kita masa kini?
2 Apakah akibatnya jika kita selalu berhubungan dengan Yesus dan sesama kita?
Cadangan aktiviti minggu ini:
Mungkin selama ini anda sudah menyimpan beberapa niat yang ingin anda laksanakan bagi kebaikan sesama, mungkin dalam bentuk ungkapan terima kasih, ungkapan meminta maaf atau mungkin sebagai tanda cinta kasih dan keprihatinan. Khas untuk minggu ini, pilihlah salah satu sahaja niat tersebut dan laksanakan dengan segera.