Keningau – “5 ROTI JELAI DAN 2 EKOR IKAN” merupakan moto yang dirasakan sesuai oleh Rev Fr Charles Chiew, yang mana pada 25 November 2015, telah genap 25 tahun melayani sebagai seorang paderi diosesan. Moto tersebut digunakan kerana dipandang sesuai untuk merangkum perjalanan beliau sebagai seorang pelayan Tuhan.
Bertepatan dengan Hari Raya Tuhan Kita Yesus Kristus Raja Semesta Alam, Rev Fr Charles Chiew melangkah memasuki Gereja Katedral St Francis Xavier untuk merayakan perayaan Ekaristi. Di hari yang sama, beliau merayakan ulangtahun kepaderian beliau yang telah ditempuh selama 25 tahun. Disaksikan dengan kehadiran umat pada hari minggu tersebut, memeriahkan lagi suasana di dalam rumah Tuhan.
Di dalam kotbahnya, Rev Fr Charles Chiew membawa umat untuk mengenal siapakah Yesus Kristus yang disebut Raja Semesta Alam. Segala sesuatu yang terciptakan adalah karya tangan-Nya. Tak ada suatu pun yang terlepas dari pandangan Tuhan dan segala sesuatu diciptakan sempurna adanya. Roh atau “Ruah” yang ditiupkan ke dalam tubuh manusia menandakan bahawa hidup manusia tercipta semata-mata hanya untuk Tuhan. Untuk memuji dan mengagungkan kebesaran dan kemuliaan Tuhan, Raja di atas segala raja.
Menurut beliau, banyak umat yang ditemuinya bertanya mengapa beliau tidak merayakan ulangtahun kepaderiannya pada hari khusus agar suasana lebih meriah. Namun beliau menolak dengan alasan, Yesus harus menjadi besar dan aku (Rev Fr Charles Chiew) menjadi kecil. Kata-kata yang diucapkan oleh Yohanes Pembaptis memberi inspirasi kepada beliau dan itulah yang sebetulnya harus terjadi. Yesus harus diutamakan atas segala sesuatu.

Beliau mengambil bacaan dari Injil Yohanes 6:1-15 untuk mengawali perkongsiannya selama 25 tahun ini. Bacaan tersebut dapat merumuskan perjalanan 25 tahun kehidupannya sebagai seorang paderi. Mengimbas kembali panggilan beliau, fahaman tentang iman kristian bermula ketika beliau berumur 7 tahun. Pengalaman mengunjungi salah satu rakan sedarjah (classmate) yang sakit dan menginjak kaki di Gereja buat pertama kali memberi kesan hingga saat ini. Pengalaman kedua yang banyak memberi impak akan imannya adalah ketika penganiayaan para misionaris yang melayani di Sabah. Mereka ditangkap dan diusir keluar pada awal tahun 1970-an. Masalah ekonomi yang dialami dalam keluarga membuat Rev Fr Charles Chiew takut jikalau dikeluarkan dari sekolah. Tapi Tuhan tidak pernah meninggalkan anak-anak-Nya. Tuhan bekerja secara misteri dan menggerakan seorang “samaritan yang baik” untuk membantu beliau. Beliau mendapat biasiswa dan melewati masa-masa gelap hingga menyelesaikan pendidikan di tingkatan lima.

Seperti Bapa yang mengubah kematian Anak-Nya menjadi berkat, begitu juga Bapa menggerakkan hati Ketua Menteri (waktu itu) untuk menubuhkan biasiswa bagi anak-anak bumiputera Sabah. Penganiayaan yang dialami oleh para misionaris menumbuhkan benih-benih panggilan dalam anak tempatan. Gereja menjadi “kosong” dan ini adalah cabaran buat anak-anak tempatan untuk menyahut panggilan Tuhan “Tuaian memang banyak tetapi pekerja sedikit”.
Beliau memberanikan diri untuk menyerahkan permohonan untuk diterima menjalani kehidupan sebagai seorang seminarian. Pada tahun 1977-1979, bersama dengan rakan-rakannya, beliau diterima masuk di Singapore Minor Seminary. Beliau sedar bahawa kekayaan dunia tidak berpengaruh terhadapnya, jika kekayaan tersebut tidak dapat memberi keselamatan jiwanya. Kekayaan yang dapat memuaskan lapar dan dahaga seseorang hanya Ekaristi – sumber dan kemuncak penyembahan Kristian.

Tepat pada 25 November 1990 bertempat di Padang St Francis Xavier, beliau berlutut dan ditahbiskan menjadi seorang paderi muda. Dan kini, tarikh dan bulan yang sama pula, menjadi saksi bahawa telah 25 tahun dijalaninya di dalam pengabdian beliau sebagai seorang paderi. Untuk merangkum suka duka yang telah dilalui oleh beliau, satu sajak telah ditulis sendiri olehnya sebagai ungkapan betapa rencana dan rancangan Tuhan itu sungguh indah, indah pada waktunya.
Engkau Tuhan… Hebat!
Ajaib Tuhan panggilan-Mu
Permata kasar diseliputi semangat kebebasan tak terkawal
Engkau gilap menjadi cahaya sinar-Mu
Yang mustahil di mataku Engkau mungkinkan
Yang mustahil di benakku Engkau nyatakan
Kemuskilan menjadi sebuah kenyataan yang meyakinkan
Kebodohan, sebuah kebijaksanaan
Mana mungkin langkah yang ragu, langkah yang takut, langkah dilema ini
mampu berjalan antara lorong dan jalan raya
antara titian dan jambatan
Ajaib Tuhan!
25 tahun Engkau mungkinkan berjalan licin atas onak duri
Belayar tenang dalam lautan badai
Tabah menempuh taufan badai
Aku bersyukur Tuhan, sungguh bersyukur
Engkau menobatku
pelayanan membantu, seperti Yohanes Pembaptis,
walau tidak layak melepaskan sandal-Mu,
Simon dari Kirene, yang berkongsi keistimewaan memikul kayu salib-Mu,
dan seorang anak kecil, bertuah amat mengongsikan sedikit punyanya
5 roti jelai, 2 ikan…
Engkau tidak melihat kelembapanku pun kedegilanku
jauh sekali kelemahanku
permata kelam ini Engkau pahat,
Engkau bentuk tanpa henti, sabar, kasih…
aku sedar aku hanya perlu beri hatiku,
beri fikiranku, beri jiwaku,
pasrah pada-Mu
percaya pada penciptaan semula-Mu
Pun saat ini, tika ini, waktu ini
kerana Engkau masih setia membentukku,
akupun mahu terus belajar, rela dipakai oleh-Mu
langkahku, langkah-Mu
bicaraku, bicara-Mu
hidupku, hidup-Mu
hanya itu yang aku mahu
semua mahu-Mu Tuhan.