Keningau – Umat nasrani yang bernaung di bawah Keuskupan Keningau, Jumaat (03/04/2015) memadati Dataran Keuskupan untuk mengikuti Ibadat Penghormatan Salib yang dipimpin sendiri oleh YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong.
Sebelum upacara Ibadat Penghormatan Salib dimulai, team Doa Kerahiman Ilahi mengajak umat untuk bersama-sama mendoakan doa Kerahiman Ilahi. Umat diajak untuk lebih mendekatkan diri dan mempercayakan seluruh kehidupannya ke dalam lautan Kerahiman Ilahi yang tiada batasnya. Suasana Dataran Keuskupan begini hening dan hanya suara doa yang terdengar keluar dari mulut umat yang hadir.
Tepat jam 3 petang, upacara Ibadat Penghormatan Salib dimulai. Bapa Uskup didampingi oleh para altar mulai berjalan menuju ke altar. Sesudah itu umat diajak untuk turut serta berlutut, mahu bersyukur dan berterima kasih kerana melalui kesengsaraan dan kematian-Nya, kita boleh menikmati penebusan atas dosa-dosa kita.
Dalam khotbahnya, Bapa Uskup mengajak umat untuk terus bersyukur, tegasnya: “Kita bersyukur kerana pada hari ini kita bersama-sama mengingati kesengsaraaan dan kematian Yesus untuk menebus kita, membebaskan kita dari kekuasaan dosa. Saudara-saudari, mendengar dan merenung tentang kesengsaraan yang dialami oleh Yesus, kematian-Nya, sukar bagi kita untuk memahami apalagi dengan budaya dunia masa ini, kenapa Dia mahu menyerahkan diri-Nya, didera, disalib dan mati. Bagi orang-orang yang tidak percaya kepada Yesus, ini memang 100% tidak masuk akal tetapi bagi kita yang percaya bahawa Yesus adalah utusan dari Bapa, bahawa Dia adalah Putera Allah, bahawa Dia adalah Penyelamat. Itulah cara yang dilalui Yesus sebagai ungkapan cinta kasih total/sepenuhnya. Dia mengungkapkan cinta kasih sepenuhnya dengan jalan salib.
Salib adalah lambang kemenangan bagi orang-orang Kristian. Namun, banyak orang Kristian yang takut akan salib, mengalami salib kerana salib itu merupakan pengorbanan. Dalam kita mengikuti Yesus, kita mengikuti Dia tiap-tiap hari. Dalam Injil Luk 9:23, Yesus bersabda: “Sesiapa mahu menjadi pengikut-Ku, dia mesti jangan mementingkan dirinya sendiri, memikul salibnya tiap-tiap hari dan mengikut Aku”. Demikian kita dapat menghayati semangat pengorbanan dalam kehidupan kita sehari-hari. Agar orang yang belum mengenal Yesus, dapat mengenal, mendengar dan menyentuh Yesus melalui tindakan dan perbuatan kita. Inilah misi yang perlu selalu kita sedari, lebih-lebih lagi pada dunia masa kini yang sangat-sangat memerlukan harapan, terang. Hanya Yesus yang dapat memberikan pengharapan dan terang bagi orang yang mencarinya. Orang tidak akan mengalami kegelapan kerana Yesus adalah terang itu sendiri.
Setelah komuni kudus selesai diberikan kepada umat yang hadir. Bapa Uskup memberikan berkat terakhir dan berpesan kepada umat, setelah ini umat bolehlah beratur untuk memberikan penghormatan kepada salib dan setelah itu kembali ke rumah masing-masing dalam keadaan senyap.
Baik anak-anak mahupun dewasa, mereka berbaris menuju ke pos yang telah disediakan untuk dapat memberikan penghormatan terakhir. Suasana doa terasa sakral sekali, dan ada beberapa umat yang hadir menangis ketika berlutut dihadapan salib. Itulah kuasa kehadiran Tuhan yang selalu membuka pintu kerahiman untuk siapa saja yang mahu datang kepada-Nya.
Upacara Ibadat Penghormatan Salib berakhir pada jam 5.30 petang dan sekali lagi Dataran Keuskupan menjadi sepi seolah-olah semuanya masuk dalam masa berkabung atas kematian Sang Juruselamat.