Hari Minggu Biasa Ke – 11 ( B )
Yeh.17:22-24; 2Kor. 5:6-10; Mrk. 4:26-34
Alkisah seekor monyet dan kura-kura yang bersahabat baik menemukan sepohon pisang yang berbuah. Dasar monyet yang suka menipu dan tidak sabar itu mencadangkan agar mereka mengorek pisang tersebut dibawa pulang untuk ditanam di kebun mereka. Mereka bersetuju memotong pohon pisang tersebut, tetapi sang monyet lebih dahulu mengambil bahagian yang ada buah, tetapi belum masak itu untuk ditanamnya. Sang kura-kura akur dan menanam bahagian bawah yang masih ada akar dan beberapa tunas.
Dipendekkan cerita, sang monyet yang tidak sabar tersebut sudah memakan habis buah pisang tanpa membahagi apa-apa kepada sang kura-kura. Kura-kura pula dengan sabar menjaga, pokok pisangnya mulai bertunas, tumbuh dengan subur, bukan satu tetapi beberapa pokok pisang. Beberapa bulan kemudian, mulai berbuah dan masak, sang monyet mulai menyesal tetapi berkeinginan pula untuk menipu sang kura-kura.
Betullah ungkapan yang sering kita dengar, “Orang yang tidak sabar, selalu rugi.” Lihat saja di dalam surat khabar, betapa banyak orang menjadi papa kedana akibat ingin kaya dengan cepat tanpa bersusah payah memeras otak dan tenaga agar mendapatkan harta kekayaan. Mereka lebih suka melabur melalui pelaburan-pelaburan yang disebut pelaburan skim cepat kaya, yang menawarkan pendapatan yang serlipat ganda jumlahnya di dalam masa yang sangat singkat. Tetapi seperti yang kita ketahui, itu semua adalah tipu belaka. Maka banyaklah orang-orang kita yang dulunya selalu tersenyum riang walaupun tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi sekarang sudah bermuka murung dan selalu kelihatan bercakap-cakap sendiri dan ketawa tidak tentu pasal.
Perumpamaan tentang benih dalam Injil tadi, bertujuan sebagai bahan renungan kita. Bahawa Yesus mengharapakan kita untuk sentiasa bersabar dan jangan terlalu tergesa-gesa untuk mendapatkan hasil dengan segera, sebab itu bukanlah tugas kita. Seperti kata hikmat yang berbunyi: “Manusia berusaha tetapi Tuhanlah yang menentukannya!” maka tugas kita seperti dalam perumpamaan itu tadi adalah menaburkan benih ke tanah. Kemudian benih tersebut tumbuh menjadi pohon yang menghasilkan buah untuk dimakan oleh manusia.
Proses pertumbuhan benih tersebut hingga berbuah terjadi ketika kita yang menanamnya melakukan tugas-tugas yang lain, hari demi hari, bulan demi bulan dan begitulah seterusnya. Maka kita tidak boleh menuntut jasa atas proses pertumbuhan benih tersebut. Sebab, benih tersebut tumbuh atas kekuatannya sendiri bukan kita. Perkara ini mengingatkan kita akan isi surat Pulus kepada umat di Korintus yang berbunyi: “Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Allah yang memberi pertumbuhan. Kerana itu yang penting bukanlah yang menanam atau yang menyiram, melainkan Allah yang memberi pertumbuhan” (1Kor 3:6-7).
Di zaman ini memang banyak orang suka mencari hasil yang segera. Dengan berbuat demikian mereka bukan hanya memberi banyak tekanan pada dirinya sendiri, tetapi juga membuat orang lain tertekan akibat daripada sikap atau gaya hidup kita yang serba tertekan itu. Misalnya, ibu bapa yang memaksa anak-anak mereka yang masih kecil dan belum cukup umur pergi ke sekolah, sehingga mereka terlepas daripada menikmati masa kanak-kanak mereka. Selepas belajar di sekolah, sering kali ibu bapa menyuruh mereka mengikuti tusyen persendirianlah, kelas musiklah, kelas tarianlah, kelas komputerlah dan macam-macam lagi. Seakan-akan ibu bapa memaksa anak-anak mereka menjadi cepat dewasa tanpa melewati zaman kegemilangan kanak-kanak mereka.
Apabila anak-anak semakin meningkat dewasa, tekanan untuk berjaya dalam pelbagai bidang menjadi sangat kuat sehingga banyak murid sekolah mempunyai fikiran untuk membunuh diri pula atau melempiaskannya melalui aksi yang ganas dan membuli teman-temannya yang sebaya atau yang lebih muda daripada mereka. Mungkin keadaan seperti ini boleh kita samakan dengan kisah angsa yang bertelur emas sebiji sehari itu. Pemiliknya begitu tidak sabar, dia mahu kesemua telur yang ada di dalam angsa itu dikeluarkan dengan serta merta, sehingga dia membunuh angsa tersebut. Akhirnya apa yang terjadi? Tidak ada telur di dalam angsa tersebut, maka menyesallah dia seumur hidup.
Maka, di dalam segala kegiatan kehidupan kita, Tuhan mahu agar kita sentiasa bersabar. Bersabar bukan bererti kita tidak boleh membuat rancangan masa hadapan. Seandainya anda mahu menjadi seorang ‘getahwan,’ dan tahu bahawa getah itu baru boleh ditoreh enam tahun kemudian, tanamlah sekarang juga, pasti enam tahun kemudian atau lebih awal dari itu, anda memetik hasilnya. Seandainya anda seorang pelajar dan mahu memiliki segulung ijazah kedoktoran, dan anda tahu untuk mendapatkannya memerlukan masa belajar di universiti sekurang-kurangnya lima tahun, dafarkan diri anda di universiti yang berkenaan dan belajarlah dengan rajin-rajin nescaya lima tahun yang akan datang, anda mencapai impian anda. Percayalah!
Apapun yang kita usahakan, sekali kita telah memulakan sesuatu, maka kita perlukan kesabaran tentang keinginan untuk berjaya. Sebab, hanya Tuhan sahaja yang berhak untuk menentukan keberhasilan usaha kita. Tuhan mahu agar kita sentiasa sabar, tabah dan tidak mudah berputus asa, tetapi tetap hidup di dalam pengharapan sebab segala usaha kita yang pada mulanya kelihatan sungguh sederhana itu, suatu hari nanti akan menghasilkan sesuatu yang berlipat ganda secara tidak kita sedari.
Yesus sendiri telah memulakan projek komuniti-Nya yang kecil, terdiri hanya beberapa orang murid. Tetapi dengan tekun dan sabar, walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk melatih mereka selama tiga tahun sampai mereka siap pergi ke seluruh dunia untuk mewartakan Khabar Gembira-Nya, dan menjadikan bangsa-bangsa sedunia murid-murid-Nya yang sejati. (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:
- Kata orang, “Sabar itu separuh daripada iman.” Setujukah anda dengan ungkapan tersebut apabila dikaitkan dengan pesan Injil hari ini?
- Mengapakah sifat sabar itu perlu kita amalkan di dalam kehidupan kerohanian dan kejasmanian kita?
Cadangan aktiviti minggu ini:
Mungkin selama ini kita bersikap tidak sabar, mahu serba cepat sehingga kita mulai stres jika orang tidak mengikuti kemahuan kita. Cubalah kita menghitung sekurang-kurangnya sepuluh kali sebelum membuka mulut untuk memarahi seseorang. Fikirkanlah sesuatu yang baik tentang orang itu, maka percayalah, segala yang baik itu akan kembali kepada anda, tidak cepat…namun pasti!