Alkitab digunakan untuk Pelayanan Pastoral
“Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah
dan Firman itu adalah Allah.” (Yoh 1:1)
Wahyu Ilahi sebagai Tuhan mewahyukan dirinya
Iman Katolik kita berdasarkan pada wahyu ilahi. Sebelum Konsili Vatikan II, konsep “wahyu” adalah merujuk kepada senarai kebenaran yang mana memberi informasi tentang Tuhan. Walau bagaimanapun di dalam Konsili Vatikan II pemahaman kita tentang wahyu berkembang menjadi Tuhan mewahyukan dirinya di dalam peribadi Yesus yang adalah Firman menjadi manusia. Kristus, Friman yang kekal datang mewahyukan wajah Tuhan kepada manusia serta juga menjemput setiap orang masuk kedalam kesatuan intim di dalam kehidupan Tritunggal yang Mahakudus .
Sebenarnya, iman Kristiani muncul dari pertemuan dengan Kristus. Apabila Yesus yang adalah Firman Allah berbicara, Dia menyerukan keterbukaan dari para pendengar untuk memberi respon kepada-Nya dalam iman dengan memungkinkan Dia untuk mengubah arah hidupnya. Sepertimana Emeritus Pope Benedict XVI menulis di dalam Deus Caritas Est,”Menjadi Kristian bukannya kesan dari pilihan etika atau idea luhur, tetapi suatu pertemuan secara peribadi, yang mana memberikan cakrawala baru, dan arah yang pasti”
Alkitab dan Umat Katolik pada masa kini
Pada masa kini, manusia cenderung mempunyai masa lapang yang sedikit atau tidak mempunyai masa dan ruang untuk hening, mereka terburu-buru untuk memenuhi ketepatan waktu tugasan yang diberi dan bertujuan untuk menjadi produktif. Sebagai Umat Katolik, kita juga dapat terjebak dalam kesibukan menyelesaikan sesuatu, bahkan di arena Gereja, sehingga kita lupa apa yang paling penting iaitu pertemuan dengan Kristus. Lebih mudah menjadikan diri kita sibuk dengan melakukan kegiatan amal dan tugasan organisasi di paroki-paroki dan mengabaikan untuk menanamkan sifat doa dengan Firman Tuhan. Semakin kita menjadi tuli kepada Firman Tuhan, semakin besar bahaya iman kita hadapi menjadi basi dan kering. Sepertimana yang dikatakan oleh Fr.Meehan , “Jangan bekerja keras untuk Tuhan sehingga anda lupa Allah yang siapa anda bekerja”.
Berdoa dan membaca Firman Allah bukanlah suatu yang menjadi kebiasaan di kalangan Katolik. Bahkan, banyak keluarga memiliki Alkitab tetapi banyak menganggapnya hanya sebagai hiasan di rumah mereka. Malah kebanyakan berpandangan yang salah bahawa Alkitab tidak ada tempat di dalam tradisi Katolik.
Bagi sebilangan umat Katolik , Firman Tuhan, tidak masuk akal untuk kehidupan mereka saat mereka mencari arah hidup, bergulat dengan penyakit dan usia, mengatasi rasa sakit dan kehilangan, dalam dunia pekerjaan untuk memenuhi keperluan dan sebagainya. Namun, mereka perlu menemukan jawapan yang ada di dalam Alkitab bahawa halaman dalam Alkitab mengandungi jawapan untuk masalah dan pertanyaan-pertanyaan mereka. Allah berbicara kepada mereka melalui firman-Nya dan memimpin mereka untuk menemukan ketenangan dalam kehadiran-Nya ditengah-tengah pergolakkan hidup seharian. Dengan itu mereka dapat bersedia memberikan kesaksian dan harapan kepada sesiapa sahaja yang meminta.
Ia juga menjadi pandangan umum di kalangan kaum muda bahawa Alkitab hanya sebagai buku yang mempunyai banyak ayat yang mengarahkan mereka apa yang Tuhan harapkan dari mereka. Ramai juga yang mendapati Alkitab tidak memberi penjelasan secukupnya persoalan hidup yang rumit disekeliling mereka. Oleh itu ramai orang muda yang sudah dewasa mendapati Alkitab tidak menarik dan tidak relevan unntuk kehidupan mereka dan melihatnya tidak ada keperluan untuk membacanya. Apakah yang dapat dilakukan oleh Gereja supaya umat lebih dekat kepada Friman Tuhan?
Menjadikan Alkitab sebagai inspirasi dalam semua pelayanan pastoral
Peranan Gereja adalah untuk memudahkan dan mempromosikan relasi intim pertemuan antara Kristus dan Umat-Nya yang penuh rahmat melalui Firman-Nya. Oleh itu amat penting bagi semua umat diberi galakkan untuk mendengar Firman Tuhan dengan penuh perhatian dan berdoa membaca Alkitab, supaya kehidupan beriman tidak pernah kehilangan kegairahan dan penuh semangat.
“Di sepanjang perjalanan Sinod ini ada panggilan untuk komitmen pastoral yang khusus untuk menekankan Firman Tuhan menjadi pusat dalam kehidupan Gereja dan ada rekomendasi yang kuat kepada “kerasulan alkitab”, bukannya terasing dari semua bentuk pelayanan pastoral tetapi menjadikan Alkitab sebagai inspirasi kepada semua pelayanan pastoral. Ini tidak bermaksud menambah mesyuarat di paroki-paroki atau keuskupan-keuskupan , tetapi menyelidiki aktiviti harian di dalam komuniti Kristiani, paroki, kerasulan dan komiti untuk melihat apakah mereka ambil peduli untuk menggalakan pertemuan peribadi dengan Kristus yang memberi diri-Nya kepada kita dalam firman-Nya”.
Sebagai Umat Allah, terdapat banyak segi bagi kita sebagai para katekis, religius, paderi, ibubapa, guru-guru dll dapat mengambil komitmen untuk menjadikan Firman Tuhan pusat kehidupan kita serta juga dalam kehidupan Gereja, dan menggalakan transformasi kehidupan pertemuan peribadi dengan Kristus.
Untuk memulakan dan mempertahankan relasi peribadi ini, kita harus mengenali peranan utama mereka yang dipercayakan untuk mewartakan Firman Tuhan setiap hari. Firman Tuhan adalah dasar kehidupan Gereja, umat perlu mendengar pewartaan yang sejati dari para pengkhutbah yang mana hidup mereka sendiri menjadi orang-orang yang berdoa dan menghidupi Firman itu dalam kehidupan mereka seharian. Direktori Cara Memberi Khutbah yang diterbitkan oleh Kongregasi Penyembahan Ilahi dan Sakramen menyatakan: “Khutbah yang disampaikan adalah dalam kontek doa dan ia harus dalam bentuk doa di dalam kontek doa.” Oleh itu berkhutbah adalah tugasan yang kudus dimana para pengkhutbah bercakap dari dalam hati kepada para pendengar dan Kristus harus ada di dalam khutbah itu, hanya Kristus sahaja. Para pengkhutbah harus menjadi orang-orang pendoa agar memberi tidak menjadi “tin kosong yang hanya berkhubah secara luaran namun dalamannya hidup kosong”.
Firman Tuhan menyentuh semua realiti kehidupan
Paroki haruslah menjadi sebagai pusat di mana umat dari pelbagai latarbelakang dapat berkumpul sebagai sebuah komuniti iman untuk mendengar dan mengaplikasikan Firman Tuhan dalam kehidupan mereka supaya dalam perjalanan kehidupan menjadi Kristian yang semakin sejati. Para paderi dan umat disetiap paroki haurslah menjadi kreatif dalam menciptakan peluang supaya Alkitb dapat di dengarkan, didoakan dan dikongsikan. Sering kali, teks Alkitab hanya digunakan sebagai alat bantu untuk pembelajaran dalam moral atau hanya sebagai alat untuk perbincangan bagi mengisi masa. Para katekis, pemimpin belia, formator umat dll, mempunyai tanggungjawab untuk menciptakan suasana di mana umat Katolik yang muda dan dewasa boleh memperkembangkan kemampuan untuk mendengar kepada Yesus dan secara peribadi mengalami kuasa firman-Nya yang membawa transformasi kepada hidup mereka.
Supaya Alkitab menjadi relevan kepada kehidupan umat, paroki-paroki haruslah memikirkan mengadakan pelayanan pastoral Alkitab yang menyediakan respon dari alkitab kepada persoalan hidup seperti penyakit, pertelingkahan perkauman, tiada keadilan, kematian, dsb supaya umat dapat mempunyai jawapan yang diterangi oleh firman Tuhan. Ini juga merupakan pengalaman Sto.Augustine dimana hidupnya berubah apabila membenarkan firman Tuhan menggema dalam pergulatannnya menjadi murni sewaktu berdoa di dalam sebuah taman, dia mendengar suara seorang anak yang berkata, “Tolle, lege!”(“Ambil dan baca!”) Sto.Augustine mengambil alkitabnya dan membaca petikan pertama dan memandang tepat kepadanya. Petikan itu adalah Roma 13:13 . Petikan alkitab itu memberi maksud yang mendalam kepadanya yang mana hidupnya berubah setelah mengalami secara peribadi dengan Firman Tuhan.
Komuniti Katolik dapat membantu mempromosi Alkitab melalui muzik nyanyian yang dicipta dari petikan alkitab, buku-buku komik atau seni lukisan dari orang-orang muda untuk lebih menghargai Firman Tuhan. Adakan lebih banyak pelayanan di dalam pelayanan belia berpusat hanya pada Alkitab di mana para remaja dan belia dapat bertemu Kristus yang hidup melalui doa dan perkongsian Firman.
Para ibubapa dan penanggung memainkan peranan penting dalam membentuk iman anak-anak dan remaja dengan memberi contoh dan menjadi orang dewasa yang hidup mereka berdasar dan berakar dalam firman Tuhan. Bapa suci Francis ketika memberi khutbah kepada para ibubapa dan penanggung berkata, “setiap hari jadikan ia sebagai tabiat untuk membaca petikan dari Injil, membawa buku injil yang kecil di dalam beg supaya anda boleh membacanya. Dan ini akan menjadikan contoh kepada anak-anak anda yang melihat ayah, ibu, penangung, datuk, nenek, makcik dan pakcik membaca firman Tuhan.”
Lektio Divina
Konsili Vatikan II menyatakan bahawa “Agar santapan sabda Allah dihidangkan secara lebih melimpah kepada Umat beriman, hendaklah khazanah harta Alkitab dibuka lebih luas” . Rata-rata umat Katolik mendengar Firman Tuhan ketika menghadiri perayaan Misa. Interaksi mereka dengan Firman Tuhan berkahir ketika mereka meninggalkan bangunan gereja dan kembali kepada rutin seharian mereka. Oleh itu ada keperluan yang mendesak pada masa kini untuk “membawa kembali teks alkitab dari pinggiran menjadi pusat agar teks dihidupi secara mendalam dalam kehidupan Kristiani.”
Cara yang berkesan membawa Alkitab pada pusat kehidupan Kristiani ialah menggunakan keadah yang digelar sebagai Lektio Divina, yang mana ia adalah amalan tradisi monastik sejak abad ke 6. Ia mengandungi 4 langkah: Baca, Renung, Kontemplasi dan Menghidupinya. Lektio divina boleh digunakan mana-mana sahaja kelompok di dalam paroki. Sebenarnya, ia adalah cara yang secara langsung dapat disesuaikan untuk kanak-kanak dan kelompok belia di paroki-paroki.
Langkah pertama Lektio Divina ialah mendoakan dan membaca secara peribadi petikan Alkitab. Ia mengambil teks Alkitab itu sehingga meresap di dalam hati seseorang itu dan membuka dirinya untuk berdialog dengan Yesus. Langkah kedua dalam Lektio Divina ialah merenungi Firman Tuhan dan seseorang itu menetap pada perkataan, frasa atau petikan itu. Apabila seseorang itu mula merenungkan pada Firman itu dia akan secara perlahan-lahan dibawa dari perkara-perkara dalam fikiran kedalam perkara-perkara hatinya. Dari hatinya seseorang itu mulai kontemplasi dan menikmati kehadiran Tuhan dalam keheningan tanpa apa-apa perkataan. Dari berdoa, membaca, merenungi dan kontemplasi Firman itu, seseorang akan dibawa menjadi “pelaku Firman” . Firman Tuhan berbuah apabila seseorang itu mulai menghidupinya dan menjadikannya sebagai karunia untuk orang lain. Sepertimana yang dikatakan oleh Bapa Suci Francis, “kehidupan Kristiani adalah: mendengar kepada firman Tuhan dan mengamalkannya.”
Penutup
Pada Hari Minggu Alkitab ini, marilah kita dengan rendah hati memberi kesyukuran kepada Tuhan atas karunia Firman-Nya yang tidak dapat dinilaikan. Kristus tidak pernah keletihan untuk berbicara dengan setiap kita dan senantiasa mengobarkan jiwa kita dengan api kasih-Nya. Semoga kita senantiasa bersemangat untuk disegarkan dengan Firman agar kita menjadi murid-murid Firman yang menjadi manusia, Tuhan dan Allah kita.
Soalan-soalan renungan:
1) Sebagai umat Katolik, apakah kita bersukacita didalam Alkitab sebagai khazanah rohani kita?
2) Apakah Firman Tuhan memberikan penyegaran untuk iman kita setiap hari?
Oleh Sr Sandra Seow, FMVD