Renungan Hari Minggu Pertama Musim Puasa (C)

Ulg 26:4-10;     Rom 10:8-13;     Luk 4:1-13

 

 

confessionDua orang pemuda datang kepada seorang paderi untuk meminta nasihat. “Kami telah berdosa,” kata mereka,”Apa yang harus kami lakukan?”

“Katakanlah padaku apa perbuatan-perbuatan yang telah kamu lakukan itu,” kata paderi tersebut.

Pemuda pertama berkata, “Saya telah melakukan satu dosa berat yang mencemarkan.”

Penmuda kedua berkata, “Saya telah melakukan beberapa dosa ringan, yang perlu dicemaskan.”

“Baiklah,” kata paderi tersebut. “Pergilah dan bawalah padaku seketul batu untuk setiap dosamu itu.”

Pemuda pertama kembali dengan memikul seketul batu yang besar. Sedangkan pemuda yang kedua pula dengan mudah membawa kantong yang berisikan ketulan batu yang kecil.

“Sekarang,” kata paderi tersebut, “Pergilah dan kembalikanlah semua batu tersebut ke tempat di mana kamu telah menemukannya.”

Pemuda pertama memikul batunya dan dengan mudah mengembalikan ke tempat asalnya. Pemuda yang kedua tidak dapat mengingat lagi tempat dari setengah jumlah batu yang diambilnya, maka ia menyerah begitu sahaja dan membiarkan batu-batu tersebut berada di dalam kantongnya, dengan alasan bahawa tugas tersebut terlalu sukar baginya.

“Dosa itu seperti batu-batu itu,” kata paderi tersebut. “Jika seseorang melakukan sesuatu dosa berat, hal itu seperti sebuah batu besar dalam suara hatinya. Tetapi dengan penyesalan yang sesungguhnya, maka kesalahan itu diampuni Tuhan. tetapi pemuda yang terus menerus melakukan dosa-dosa ringan dan ia tahu hal itu salah, akan semakin mengeraskan suara hatinya dan ia tidak menyesalinya sebagai seorang yang pendosa.

“Maka ketahuilah,” kata paderi tersebut, “Adalah sama pentingnya untuk menolak dosa-dosa ringan seperti menolak dosa-dosa berat.”

how-to-resist-temptationGodaan dan cubaan adalah suatu kenyataan hidup yang sentiasa kita hadapi setiap hari. Yesus pun pernah menghadapi pengalaman tersebut seperti yang kita dengar dalam petikan Injil hari ini. Ketika Yesus berada di padang gurun, syaitan datang untuk mencubai-Nya dengan menawarkan kuasa, wang dan kekayaan. Namun tawaran yang sungguh hebat itu semuanya bersyarat. Bahawa itu semua akan diperolehi-Nya hanya jika Dia sujud kepada syaitan. Namun dengan nada yang tegas Yesus menjawab: “Tidak!”

Sebenarnya cubaan iblis yang dihadapi Yesus di padang gurun itu berlanjutan dalam hidup kita seharian dan iblis sentiasa, “Menunggu waktu yang baik” (Lk 4:13). Walaupun kita ingin tetap setia pada Tuhan, namun kita masih tetap dihantui oleh perasaan untuk mengikuti kehendak kita, iaitu kehendak iblis. Memang betul apa yang dikatakan oleh Paulus kepada umat di Roma: “Saya sendiri tidak mengerti perbuatan saya. Hal-hal yang saya ingin lakukan, itu tak saya lakukan, tetapi hal-hal yang saya benci, itu malah yang saya lakukan” (Rm 7:15).

Godaan dan cubaan bukan dosa sejauh kita tidak tunduk kepadanya. Ianya hanya berupa ajakan kepada kejahatan. Namun kita perlu sentiasa berwaspada kerana ia muncul dalam bentuk manusia yang berwibawa dan menawarkan segala sesuatu yang mengasyikkan tapi sebenarnya tidak baik. Misalnya mengajak kita secara halus untuk melakukan korupsi atau menipu orang dengan cara yang halus. Atau syaitan boleh juga dalam bentuk wanita atau lelaki yang menggoda kita untuk tidak setia pada pasangan kita.

Tuhan tidak mengikat kita agar sentiasa berbuat baik, sebab kita diberi pilihan yang bebas. Dengan kata lain, kita harus membuat pilihan sama ada berpihak pada Tuhan atau pada kuasa iblis apabila berada di dalam keadaan dicubai.

armor of godKita perlu sentiasa ingat bahawa ketika Yesus mengusir iblis cubaan tersebut tidak berakhir sampai di situ sahaja. Penulis Ingil mengatakan: “Setelah iblis selesai mencubai Yesus dengan segala macam cara, ia meninggalkan Yesus dan menunggu waktu yang baik” (ay 13). Pendik kata godaan dan cubaan adalah suatu cabaran yang harus kita hadapi setiap waktu untuk tetap setia menomborsatukan Tuhan serta mentakhtakan Tuhan di dalam hidup kita setiap masa walau apapun keadaan yang kita hadapi.

Mengapakah godaan dan cubaan itu adalah cabaran hidup kita? Sebab banyak kali kita bertaubat namun kita jatuh juga pada perkara-perkara yang lebih jahat lagi. Misalnya jika dahulu kita kaki minum kemudian bertaubat, tetapi mungkin sekarang perbuatan kita lebih jahat lagi, misalnya menjadi kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki yang lain lagi. Nampaknya, apabila kita sudah bertaubat, godaan baru akan muncul dan kekadang susah untuk dilepaskan pula – menipu, membohong dan macam-macam lagi.

Minggu ini kita sudah memulakan minggu puasa yang pertama. Sama seperti Yesus di padang gurun itu, kitapun akan diuji cuma sama ada kita teguh dan setia memilih yang baik atau yang jahat serta menumpukan pilihan yang terbaik. Persoalannya, apakah kita sudah membuat pilihan yang terbaik sambil mengingat selalu kata-kata Yesus: “Manusia hidup bukan dari makanan saja tetapi juga dari setiap Sabda Allah” (Mt 4:4) (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1.   Apakah yang perlu kita lakukan selama masa Prapaska dalam hal memperbaiki hidup agar sesuai dengan ajaran Yesus?

2.  Bagaimanakah seharusnya kita memperlakukan pelbagai godaan dan cubaan yang sering menghantui kita?