GODAAN JANGAN DILAYAN

HARI MINGGU PERTAMA MUSIM PUASA (B)

Bc.1. Kej 9:8-15                      Bc.2. 1Ptr 3:18-22                   Bc.3. Mrk 1:12-15

Sebelum Yesus memulakan misi penyelamatan-Nya, Dia telah membuat retret di
            padang gurun untuk memantapkan minda dan hati-Nya. Bagi kita, musim Puasa ini
            adalah masa yang sesuai untuk memperbaharui hidup kita untuk menjadi pengikut
            Yesus yang sejati. Maka sebagai mana Kristus, kita hendaknya melangkah berjalan
            melalui ‘padang gurun kita yang sunyi sepi’ sambil menendang segala cobaan dan
            godaan seharian kita.

Cubaan atau godaan memang suatu realiti kehidupan kita. Malah secara sedar atau tidak, kita sebenarnya saling mengoda antara satu dengan yang lain. Yesus sendiripun mengalami godaan yang hebat. Malah godaan Yesus bersifat terbuka di mana iblis secara terang-terangan menggoda Yesus dengan tipu muslihatnya yang sangat sukar dilepaskan dilengkapi dengan petikan Kitab Suci sebagai penguat godaan tersebut.

            Di zaman kita yang serba cangih ini godaan tidak selalu datang secara terbuka. Biasanya godaan bersifat terbuka selalu kita tolak secara terbuka pula. Godaan lebih banyak bersifat tertutup malah tidak kita sedari. Ianya boleh datang dalam bentuk kebaikan atau melalui orang-orang yang nampaknya baik-baik belaka tetapi. Kadang-kadang kita  dibuai dengan perasaan bahawa apa yang kita lakukan itu semuanya baik-baik belaka.

Suatu hari seorang Katekis pergi memberi katekesis di suatu perkampungan yang agak jauh di pedalaman. Sewaktu mahu pulang, motosikalnya mogok di tengah jalan. Dia berdoa agar ada kenderaan yang lalu di tempat tersebut agar dia dapat menumpang pulang. Namun sampai malam, tidak ada satu kenderaan pun yang lewat. Tetapi tidak lama kemudian ada sebuah kereta Proton berhenti. Di dalam kereta tersebut, terdapat seorang wanita muda yang sangat cantik. Sebelum masuk ke dalam kereta, dia berdoa, “Tuhan, lindungilah daku dan jauhilah daku dari percobaan,” sambil membuat tanda salib berkali-kali.

            Sepanjang perjalanan, wanita tersebut asyik bercerita tentang perkara-perkara duniawi sementara Sang Katekis hanya menjawab apabila perlu, kerana dia sendiri asyik berdoa kepada Tuhan agar tahan godaan.

            Tiba-tiba ada seekor sapi melintasi jalanan. Wanita tersebut membelokkan kereta secara mengejut, lalu kereta tersebut terjunam ke dalam parit. Bebarapa waktu kemudian, Sang Katekis merasakan tangannya memegang sesuatu yang halus lagi lembut. Rupa-rupanya dia sedang memegang bahu wanita tersebut yang sedang terbaring di pangkuannya dalam keadaan pengsan. Lantas dia berdoa, “Oh Tuhan, terjadilah menurut kehendak-Mu!”

            Jangan pernah merendah-rendahkan godaan. Cara yang paling baik untuk menghindarinya adalah menghapuskannya pada saat ia datang. Seperti kita memadamkan api secepatnya, demikianlah hendaknya kita lakukan terhadap godaan tersebut. Jangan dilayan walau sesaat pun. Bahaya! Cegah sebelum parah!

            Masalahnya, apabila kita mulai melayan fikiran-fikiran yang jahat, Ia akan membekas hingga sukar untuk dikikis. Misalnya fikiran kita terlalu disumbat dengan gambar-gambar porno yang mudah diperolehi melalui ‘internet’ atau CD/DVD lucah yang banyak dijual di pasar-pasar gelap dengan harga yang murah.

            Pengalaman mengajarkan kita bahawa terdapat banyak kebejatan moral terjadi di mana-mana di seluruh dunia ini. Tajuk-tajuk utama akhbar harian dipenuhi dengan berita-berita tentang kejahatan manusia. Malah tak jauh di dalam hati kita, kita mengalami pergelutan dengan kuasa-kuasa jahat, iaitu fikiran-fikiran kita yang jahat serta keinginan-keinginan yang biasanya menuju kepada perbuatan jahat atau dosa.

            Dari mana sebenarnya dosa itu muncul? Tentunya bukan dari Allah kerana Dia itu baik dan tidak boleh melakukan kejahatan yang berlawanan dengan sifat semula jadi-Nya yang baik itu. Bukan juga datang daripada iblis. Memang betul iblis itu, “… penuh dengan rupa-rupa tipu muslihat dan kejahatan” (Kis 12:10), tetapi dia hanya mampu menggoda kita untuk melakukan kejahatan. Dia tidak mampu memaksa kita melakukan kejahatan.

            Jika dosa itu merupakan pilihan untuk memilih melakukan kejahatan yang biasanya dalam bentuk sesuatu yang seakan-akan baik dan berguna bagi kita, maka ianya hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tahu mana yang baik dan mana yang jahat serta mempunyai kemampuan memilih secara bebas, tahu dan mahu.

            Untuk melaksanakan kebebasan memilih yang baik atau tidak, kita bagaikan berada di sebatang jalan – yang menuju kepada tujuan dan yang satu lagi, bukan menuju kepada tujuan. Dengan melakukan dosa, bererti kita tidak melalui jalan ke arah tujuan kita, iaitu menuju kepada Tuhan. Namun, jika kita hanya berpegang pada kekuatan kita, kita tidak mampu kembali kepada Tuhan. Maka kita perlu Juruselamat kita yang boleh membawa kita kembali kepada Allah. Inilah sebabnya mengapa Allah telah mengutus Anak-Nya, Yesus sebagai penyelamat kita. Bagaimana pun, kita masih perlu membuat pilihan sama ada mahu menerima Yesus sebagai Juruselamat kita ataupun tidak. Apabila kita memilih menerima panggilan Yesus untuk bertobat, meninggalkan dosa dan hidup kita yang lama itu, maka barulah kita dapat menerima Yesus sebagai Juruselamat kita yang sesungguhnya.

            Jika kita baca dengan teliti Injil hari ini ianya terdapat dua bahagian. Pertama menceritakan tentang kisah Yesus beretret selama empat puluh hari di padang gurun yang berkesudahan mengalami godaan syaitan. Bahagian kedua menceritakan kisah kehidupan Yesus di muka umum apabila Dia mewartakan kedatangan kerajaan Allah dengan pertobatan sebagai syarat untuk diterima ke dalam kerajaan Allah itu, “Waktunya telah genap: Kerajaan Allah sudah dekat. Bertobatlah dan percayalah kepada Injil.”

            Walaupun panggilan untuk bertobat ini merupakan panggilan harian kita, namun ianya semakin dirasakan sepanjang masa puasa. Masa puasa yang kita lalui selama lebih kurang 40 hari sebagai persiapan diri kita untuk menyambut misteri Paska Tuhan, iaitu kesengsaraan, kematian dan kebangkitan-Nya. Selama masa puasa ini, kita diberi kesempatan dan rahmat untuk “retret 40 hari,” sama seperti yang pernah dialami oleh Tuhan kita Yesus Kristus di padang gurun tersebut. Kemudian menyempurnakanya dengan jayanya serta siap untuk membaharui hidup kita ke arah komitmen yang kita janjikan sewaktu dibaptis dahulu.

            Tugas kita di musim puasa ini adalah jelas, iaitu memulihkan hubungan kita dengan Allah sesuai dengan janji yang telah kita lafazkan semasa pembaptisan dahulu. Dengan kata lain, pada masa puasa ini, kita diajak untuk mencipta suatu suasana puasa yang boleh menjadi suatu kesempatan untuk mendapatkan berkat peribadi yang istimewa dari Allah. Maksudnya, suatu masa yang istemewa bagi setiap peribadi kristian untuk merubah arah hidup yang tidak baik, menjadi baik sesuai dengan ajaran Tuhan.

            Lalu muncul persoalan, bagaimana kita boleh memberi respons terhadap panggilan Tuhan itu? Memang ada banyak cara sesuai dengan masa dan tempatnya pula. Mungkin cara-cara berikut ini boleh anda pertimbangkan .

  1. Milikilah senaskah Alkitab jika belum memilikinya. Mulakanlah membaca Injil Markus dari bab pertama hingga bab yang terakhir sepanjang musim puasa ini. Baca satu bab sahaja dalam sehari dan renungkannya.
  2. Ambillah kesempatan menerima Sakramen Pertobatan. Dengan berbuat demikian maka kita sebenarnya menyahut seruan Yesus untuk bertobat dan percaya kepada Injil.
  3. Sambutlah Tubuh Kristus sekerap mungkin. Dengan berbuat demikian, kita semakin dikuatkan sebab Dialah sumber kehidupan kita.
  4. Berdoalah di mana dan dalam keadaan apapun juga. Dengan berbuat demikian kita akan sentiasa bersatu dan mesra dengan Tuhan. Berdoa maksudnya bercakap-cakap dengan Tuhan melalui hati murni kita secara spontan seperti yang diamalkan oleh orang-orang karismatik.

            Seperti Yesus yang pernah digoda itu, pasti kitapun tidak akan lepas daripada godaan terutama di musim puasa ini. Mungkin kita mendabik dada bahawa kita tidak akan jatuh ke dalam godaan, tetapi kita perlu sentiasa ingat bahawa masinnya air laut tidak mampu menyerap ke dalam isi ikan. Tetapi bila ikan sudah mati, secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya. Begitulah juga hati kita, hati yang hidup, ianya sukar untuk dinodai. Tetapi bila hati kita sudah mati, maka ianya mudah dipengaruhi.      

            Maka sekali lagi kita perlu sentiasa berjaga-jaga sebab, “Tiap-tiap orang dicubai oleh keinginannya sendiri, kerana ia diseret dan dipikat olehnya. Dan apabila keinginan itu telah dibuahi, ia melahirkan dosa; dan apabila dosa itu sudah matang, ia melahirkan maut” (Yak 1:14-15). (JL)

 

Allah Bapa sumber kehidupan, kami bersyukur atas rezeki syurgawi yang telah kami
terima. Kami mohon, jadikanlah kami putera puteri-Mu, yang hidup berkat Sabda dan Roh YesusKrsitus, Putera-Mu Tuhan dan Pengantara kami.

Sharing is caring!