Hari Minggu Tubuh Dan Darah Kristus ( B )
Kel. 24:3-8; Ibr.9:11-15; Mrk.14:12-16,22-26
Pada suatu ketika adalah seorang anak raja Arab, Abd-ed-Kader, berjalan-jalan bersama dengan seorang pegawai Perancis di jalanan kota Marseilles, bertemu dengan seorang Paderi yang sedang membawa Tubuh Kristus untuk orang sakit tenat. Pegawai tersebut berhenti, menundukan kepalanya lalu berlutut dengan penuh hormat. Anak raja tersebut hairan dan bertanya mengapa dia melakukan sikap yang sebegitu rupa itu.
“Saya menyembah Tuhan, yang sedang dibawa oleh paderi itu kepada orang yang sakit,” jawab pegawai tersebut. “Bagaimana mungkin Tuhan yang mahabesar itu, membuat diri-Nya menjadi kecil dan membiarkan diri-Nya dibawa masuk ke dalam rumah orang yang miskin itu?” tanya anak raja itu lagi.
Pegawai tersebut menjawab, “Sebab mungkin anda hanya mempunyai fahaman bahawa Tuhan itu mahabesar sahaja tetapi tidak mengetahui cinta kasih-Nya yang hebat itu.”
Demikianlah apa yang telah dilakukan oleh Tuhan untuk kita. Dia yang mahabesar itu sudi menjadi hina hanya kerana kasih-Nya kepada kita. Dia yang maha berkuasa itu telah membiarkan diri-Nya disalibkan hanya kerana menebus dosa-dosa kita. Malah Dia sudi memecah-mecahkan tubuh-Nya menjadi roti untuk kita makan demi merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya. Oleh kerana kasih-Nya yang begitu besar inilah Dia memecah-mecahkan roti sebanyak lima potong itu untuk dibagi-bagikan kepada ribuan orang yang datang kepada-Nya. Demikian juga dengan kisah Yesus membasuh kaki para murid tersebut semasa perjamuan terakhir, semuanya dilakukan demi kasih. Dan terakhir Yesus akur dengan Allah Bapa untuk mati di kayu salib sebagai korban pepulih bagi umat manusia.
Pada hari ini kita merayakan pesta Tubuh dan Darah Kristus, yang adalah merupakan anugerah istimewa dari Tuhan kepada kita. Namun, seringkali kita gagal untuk menghargai anugerah istimewa ini. Bukan pula kita menggunakan sepenuhnya, tetapi menyingkirkannya atau kita gagal untuk menyedari kepentingannya di dalam kehidupan kita.
Salah satu penyebab mengapa kita tidak cukup menghargainya, mungkin disebabkan kita sudah terlalu biasa dengannya. Kita mudah mendapatkannya. Perayaan Ekaristi yang begitu biasa kita hadiri setiap minggu, malah ada yang hampir setiap hari, telah melunturkan maksudnya yang paling mendalam. Dalam kata lain, kita terlalu biasa dengan perayaan-perayaan Ekaristi sehingga sikap kita terhadapnya menjadi acuh tak acuh.
Apabila kita tidak dapat atau jarang menghadiri Ekaristi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka barulah kita mulai sedar betapa besarnya nilai Ekaristi tersebut terhadap kehidupan. Contohnya, ramai umat kita yang bekerja atau belajar di semananjung di mana tidak terdapat gereja yang dekat, apabila ada paderi dari Sabah atau dari Sarawak datang melawat, mereka mengambil kesempatan untuk menerima Sakramen Pertobatan dan Ekaristi. Apabila ditanya mengapa mereka menyempatkan diri datang menghadiri misa walaupun terpaksa berbohong kepada majikan mereka, maka jawaban mereka kurang lebih sama, “Saudara tidak dapat bayangkan betapa saya merindui menyambut Tubuh Kristus. Saya tidak tahan lagi untuk tidak menyambut-Nya sekarap yang mungkin.” Memang betul, kadang-kadang hanya apabila kita jarang atau terhalang untuk menyambut Tubuh Kristus, barulah kita menyedari nilai sebenar menyambut tubuh Kristus tersebut.
Kita percaya bahawa roti dan wain menjadi Tubuh dan Darah Kristus semasa perayaan Ekaristi, walaupun ia tetap nampak sebagai roti dan wain. “Transubstansiasi” adalah perkataan yang digunakan untuk melambangkan transformasi atau perubahan roti dan wain menjadi Tubuh dan Darah Kristus yang misterius itu. Konsep tersebut ingin mencuba menjelaskannya, namun tidak ada sesuatu pun yang dapat membuktikannya. Seseorang harus melihatnya dengan mata iman.
Tatkala Liturgi Ekaristi kita terasa biasa-biasa sahaja, terasa tawar malah membosankan pula, maka pada waktu itulah kita memerlukan iman untuk melihat di sebalik segala perasaan tersebut, iaitu melihat Yesus. Bahawa apapun keadaan dan perasaan kita semasa perayaan Ekaristi, kita perlu fokuskan pandangan kita kepada Yesus Kristus.
Namun jangan lupa, iman terhadap Ekaristi melibatkan juga hubungan yang penting di antara amalan hidup seharian kita dengan penyambutan Tubuh Kristus. “Jika iman itu tidak disertai perbuatan,” kata Yakobus, “Maka iman itu pada hakekatnya adalah mati” (Yak 2:17). Ada orang yang setiap hari menghadiri perayaan Misa Kudus dan pergi menyambut Tubuh Kristus, tetapi boleh bersikap tidak bertolak ansur, tidak adil, tidak jujur, tidak setia dan sukar untuk berunding. Mengapa terjadi demikian? Masalahnya terletak pada sikap mereka yang tidak menggunakan Ekaristi itu sesuai dengan apa yang dimaksudkan oleh Gereja. Mereka sangka apabila sudah menyambut Tubuh Kristus, mereka secara otomatik menjadi orang yang lebih bertolak ansur, lebih bersahabat, lebih mudah didekati.
Akibat yang baik itu semua tidak akan kita perolehi jika kita hanya sekadar menyertai upacara Ekaristi itu sahaja. Sakramen Ekaristi menjadi berguna dan berkesan hanya apabila kita mengambil peranan untuk menyahut dan hidup sesuai dengan rahmat yang sudah dianugerahkan kepada kita masing-masing.
Perayaan Tubuh dan darah Kristus yang kita rayakan pada hari ini adalah merupakan suatu kesempatan untuk kita membaharui penghargaan kita terhadap Ekaristi. Membaharui dalam erti kata, menyedari lebih mendalam tentang satu perkara penting dari banyak perkara tentang Ekaristi. Satu kebenaran penting tersebut adalah bahawa perayaan Ekaristi adalah sesuatu yang kita laksanakan untuk mengenangkan seseorang yang sangat penting bagi kehidupan kita. Seseorang tersebut tidak lain tidak bukan adalah Tuhan kita sendiri, Yesus Kristus yang berkata, “Inilah Tubuh-Ku yang diserahkan bagi kamu, perbuatlah ini menjadi peringatan akan Aku” (Lk 22:19).
Mudah-mudahan mulai hari ini kita tidak lagi asyik bertanya apa itu Ekaristi, tetapi tumpuhkan perhatian kita tentang siapa itu Ekaristi, yang tidak syak lagi adalah Yesus Kristus, Sang Juru Selamat kita. (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.
1 Ekaristi bukanlah untuk devosi peribadi tetapi ibadat penyembahan komuniti/keluarga besar Allah Bapa. Kalau begitu bagaimana sikap kita yag sebaiknya apabila turut serta merayakan Ekaristi?
2 Apakah sikap atau sifat-sifat kita yang boleh membuat kita tidak layak untuk hadir dalam ekaristi? Bagaimana kita menghindari sikap-sikap tersebut?
Cadangan aktiviti minggu ini.
Usahakanlah agar anda dapat berdoa di hadapan Sakramen Mahakudus di capel atau pada masa saat (bukan minggu ini sahaja, tetapi amalkan pada minggu-minggu seterusnyanya). Datang ke Gereja lebih awal dan berdoa rosari sebelum Ibadat Sabda atau Misa Kudus dimulakan.