Artikel oleh : Melty Paulus
Keningau : Dengan penuh rahmat dan rasa syukur, Katedral St Francis Xavier sekali lagi menerima seorang paderi baru, iaitu Fr. Kennedy Nakudah Killin yang ditahbis pada 7 Apr di Dewan Solidariti, Dataran Keuskupan Keningau, setahun selepas pentahbisan Rev. Fr. Appolonius Yakis pada 25 Mac 2023 yang lalu.
Ritus Pentahbisan dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong bersama Vikaris General Keuskupan Keningau, Msgr Gilbert Lasius dan para paderi keuskupan Keningau. Turut hadir dalam upacara ini, para paderi dari keuskupan Agung Kuching dan Kota Kinabalu serta para seminarian dan para religius.
Uskup dalam ucapannya, mengungkapkan kesyukuran atas pentahbisan Fr. Kennedy yang menyahut panggilan untuk melayani di keuskupan ini serta mengucapkan terima kasih dan penghargaannya kepada ibubapa dan keluarga paderi itu atas sokongan dan dorongan dalam menjawab panggilannya untuk menjadi paderi.
“Kita terus berdoa agar kita tetap setia bersatu dalam pelayanan. Kita setia kepada Tuhan kerana Dialah sumber kekuatan dan kebijaksanaan kita dalam melayani.” pesan Uskup Cornelius. Harapan prelatus itu juga, agar para belia lebih peka terhadap kehadiran dan panggilan Tuhan untuk melayani di ladangNya. Mengakhiri ucapannya, Uskup mengumumkan bahawa Fr Kennedy akan ditugaskan untuk melayani di Paroki KSFX, Keningau.
Msgr Gilbert Lasius selaku Rektor Paroki KSFX juga, mengucap syukur, syabas dan tahniah atas pentahbisan imamat Fr. Kennedy Nakudah dan berpesan kepada paderi baru itu, “Ingatlah, Tuhanlah yang telah memilih dan memanggilmu untuk menjadi terang dunia,” menutupi ucapannya.
“Inilah aku, Utuslah aku” yang dipetik dalam Yesaya 6:8 merupakan inspirasi Fr. Kennedy Nakudah sebelum memasuki rumah pembentukan iman dan kini menjadi tema pentahbisan imamatnya menjadi paderi. Fr. Kennedy yang dibaptis pada 7 Apr 1996 dan mendapat sakramen penguatan pada 28 Apr 1996 itu juga, mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan semua pihak atas dorongan, sokongan, bimbingan, inspirasi dan nasihat sepanjang pembentukan iman di Catholic Diocesan Centre, Kota Kinabalu, College General Seminary, Penang serta St Peter College Kota Kinabalu dan Kuching.
“Teruskan mendoakan saya supaya saya dapat melakukan pelayanan sebagai Paderi dengan bersungguh-sungguh demi Kemuliaan Tuhan dan Kesatuan Gereja,” kata Fr. Kennedy yang merupakan anak kelahiran dari Kg, Kapayan Lama, Apin-Apin, Keningau. Dilahirkan pada 11 Ogos 1981, telah mendapat pendidikan di SK Kapayan Baru, Keningau dan sekolah menengah di SMK Apin-Apin, Keningau, seterusnya di Kolej Akademi Mahir Sabah, Donggongon, Kota Kinabalu. Juga berpengalaman bekerja di Shangri-La Hotel, Tanjung Aru dan di Pusat Bahasa Kota, Donggongon, Kota Kinabalu sebelum memasuki pembentukan seminari pada tahun 2014.
Fr. Kennedy mendapat lantikan lektor pada tahun 2021 dan lantikan acolyte pada tahun 2022, sebelum ditahbis menjadi Dikon pada 26 Nov 2023 oleh Uskup Cornelius Piong di Dataran Keuskupan Keningau. Fr. Kennedy telah melalui pendedahan pastoralnya bermula pada tahun 2017 di Penang Cheshire Home & Mount Miriam Cancer Hospital, Youth Ministry Apostolate Kapit Sarawak, Migrant Community & Campus Ministry Archdiocese of Kuching dan beberapa paroki di keuskupan Keningau termasuk paroki asalnya iaitu Paroki KSFX.
Fr. Kennedy akan merayakan Misa Kudus Pertamanya di Katedral St Francis Xavier, Keningau pada 8 April 2024.