artikel oleh : Veron
BINGKOR,KENINGAU: Ke manakah arah tuju belia selepas pandemik? Adakah para belia mampu berdepan dengan gelombang yang membawa kepada perubahan terbesar dalam pelayanan mereka? Bersiap-siagakah para belia dalam melangkah menuju ke arah proses kematangan iman?
Menyedari cabaran selepas lebih dua tahun dilanda pandemik COVID-19, para belia di Zon Bingkor menyahut baik seruan untuk membangkitkan dan menyemarakkan semula semangat muda menerusi Bingkor Youth Camp 2022. Bingkor Youth Camp yang juga merupakan aktiviti perkhemahan belia terbesar di Zon Bingkor akan berlangsung selama 4 hari bermula 5 hingga 8 September 2022 bertempat di KUK Saint James The Appostle Bunsit yang menganggarkan penyertaan seramai 150 belia di sekitar Zon Bingkor.Yuran penyertaan adalah sebanyak RM 70.00 (termasuk T-Shirt)
Saudara Frindey Sukor yang merupakan salah seorang pencetus idea Bingkor Youth Camp mendapat inspirasi selepas menyertai Program Jelajah Belia Sinodal. Antara soalan yang dibangkitkan melalui program ini ialah “Bagaimanakah cara untuk membangkitkan semula semangat para belia untuk kembali melayani selepas COVID-19 melanda?”
Saudara Frindey Sukor dan Saudara Jamson James (Koordinator Bingkor Youth Camp) bersama beberapa lagi orang belia yang terlibat sama menyahut baik cabaran bagi menyemarakkan semula semangat para belia yang juga bertindak sebagai nadi gereja dalam membantu mengembangkan dan seterusnya melaksanakan program-program serta aktiviti-aktiviti pemantapan iman umat setempat apatah lagi selepas fasa pandemik sudah pun berlalu.
Empat objektif utama yang menjadi intipati program ini ialah memupuk semangat melayani di kalangan belia, memantapkan iman Katolik para belia agar berani bersaksi dan mampu menjadi pemimpin gereja pada masa akan datang, menyedarkan para belia bahawa kehadiran Kerajaan Allah adalah anugerah yang nyata dalam pribadi mereka serta merayakan iman Katolik dalam kesatuan umat Allah.
Bingkor Youth Camp adalah satu program yang mengetengahkan konsep keluarga angkat. Ketika ditanya, Sdra Frindey Sukor menjelaskan bahawa keluarga angkat bukan sahaja berperanan besar dalam menyediakan tempat tinggal kepada para peserta tetapi juga memikul tanggungjawab sebagai ibubapa selama mana program ini diadakan. Secara tidak langsung, para peserta juga berpeluang untuk merasai sendiri kehidupan keluarga angkat mereka.
Bingkor Youth Camp akan turut menampilkan beberapa tetamu undangan bagi menyerikan lagi Welcoming Night Concert yang bakal diadakan kelak. Antara tetamu undangan yang akan memeriahkan lagi program ini ialah Steffanus Able (Mr. Kaamatan State Level 2022), Erney Leonard Alai (Pemenang Sugandoi DUN N.40 Bingkor), Elica Paujin (Juara Big Stage 2022), dan Rosario Bianis (Juara Bintang RTM 2016).
Sdra Frindey Sukor berharap agar Bingkor Youth Camp bukan sahaja dapat menyegarkan semula jiwa para belia untuk kembali melayani tetapi juga sebagai simbolik kepada bermulanya satu pelayanan.