BERJALAN BERSAMA YESUS

Renungan Hari Minggu Biasa Ke-3 (B)

 Yun 3:1-5,10; 1Kor 7:29-31; Mrk 1: 4-20

 

berjalanPermainan bola sepak merupakan permainan yang sangat digemari oleh ramai manusia sejagat. Ada yang suka terlibat langsung di dalam permainan di padang, ada yang suka sekadar menonton namun tidak kurang yang suka membuat perjudian atas permainan bola sepak tersebut.

Tetapi bagi mereka yang terlibat langsung di dalam permainan bola sepak tersebut, mereka dituntut untuk berdisplin dalam latihan yang memerlukan usaha yang gigih. Sebab permainan bola sepak yang profesional harus berkorban agar memperolehi kemahiran yang tinggi untuk mencapai kemanangan.

Di dalam Injil hari ini, kita melihat murid-murid Yesus yang pertama: Simon Petrus, Andreas, Yakobus dan Yohanes, yang sedang dalam proses untuk mengalami suatu petualangan yang hampir sama dengan apa yang dialami oleh para pemain bola sepak. Mereka mengalami masa-masa kegembiraan, atau kesedihan kerana mencapai kemenangan ataupun kekalahan.

Keempat-empat orang murid Yesus tersebut dan lapan orang lain yang akan menyertai mereka, juga akan mengalami kehidupan yang bertahap, yang boleh disamakan dengan misteri-misteri rosari. Jelas sekali kisah Injil pada hari ini bagaikan ‘Misteri Gembira’. Orang merasa teruja tentang ‘Khabar Gembira,’ yang akan diumumkan oleh Yesus. Bahawa murid yang pertama itu sungguh beria-ia sangat untuk mengikuti Yesus, menyatakan bahawa mereka turut berkongsi sama dengan keterujaan dan keinginan orang-orang pada waktu itu. Dengan meninggalkan keluarga serta pekerjaan yang sudah menjadi kehidupan mereka itu, boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak baik terhadap diri mereka sendiri serta keluarga mereka yang tersayang. Namun, sebagai balasannya, mereka percaya dapat berjalan bersama dengan Yesus yang dianggap sebagai Sang Nabi. Ada juga yang percaya bahawa Dia itu adalah Sang Mesias yang sudah lama ditunggu-tunggu, yang nantinya akan membebaskan mereka daripada orang-orang Romawi.

Mereka semua semakin percaya kepada Yesus apabila mereka menyaksikan kuasa penyembuhan-Nya. Namun itu semua hanyalah permulaan kisah cerita yang panjang mengenai Yesus.

Yesus menggesa kepada mereka yang ingin menjadi murid-Nya, untuk belajar daripada-Nya. Hendaknya mereka mengikuti-Nya bukan sekadar melihat tetapi juga mengambil peranan di dalam kehidupan dan missi-Nya.

Akhirnya mereka mengetahui bahawa Yesus itu lebih daripada sekadar melaksanakan mujizat dan lebih daripada sekadar guru yang berkuasa. Mereka menyedari bahawa Yesus itu adalah Sang Anak yang taat setia terhadap kehendak Allah Bapa hingga ke akhir hayat-Nya.

salibApabila Yesus dan para murid-Nya berjalan bersama ke Yerusalem, maka bermulalah pula babak kehidupan yang harus para murid-Nya tempuhi, iaitu babak “Misteri Kesengsaraan.” Jika mereka tetap setia dan bertahan, maka kesengsaraan tersebut boleh berubah menjadi kegembiraan yang tidak boleh diambil oleh siapapun juga.

Tetapi sayang, apabila kita membaca terus sambungan Injil itu tadi, kita mengetahui bahawa para murid tersebut tidak dapat bertahan. Namun, Yesus tetap membimbing mereka yang lemah itu sehingga mereka “lulus” dalam “ujian” menjadi murid-Nya, lalu akhirnya diutus ke dunia sebagai rasul-Nya yang luar biasa.

Dengan demikian, kita dapat memahami bahawa menjadi murid Yesus melibatkan peristiwa gembira, peristiwa sedih, peristiwa mulia dan peristiwa terang. Perkara ini masih tetap berlaku di zaman sekarang, sama seperti apa yang dialami oleh murid-murid di zamannya Yesus, bahawa menuju kepada salib itu perlu dilalui oleh para pengikut-Nya juga. Dalam kata lain, kita tidak dapat lari daripada melewati “pintu yang sempit” (Lih Mt 7:14) itu untuk mencapai kemuliaan kebangkitan.

Pada hari ini kita mempelajari tiga hal yang penting sebagai pedoman hidup harian kita:

  1. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana sudi memanggil kita dan memperkatakan kita bukan hanya berdasarkan lahiriah tetapi juga hal-hal yang tersembunyi jauh di lubuk hati kita yang sesungguhnya menjadi kekuatan kita untuk bertumbuh dan berubah.
  2.  Melalui pandangan mata Yesus, kita mulai mampu memandang sesama kita lebih bersifat positif. Iaitu mampu melihat kebaikan sesama kita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita, sehingga kita mampu mengasihi sesama apa adanya.
  3.  Kita mulai sedar bahawa betapapun kita lemah dan seakan-akan tidak ada harapan untuk bangkit lagi, namun kita percaya dan tetap berharap bahawa melalui berkat dan rahmat Allah, kita tetap boleh menjadi orang yang lebih baik lagi.

Pada hari ini kita terus mendengarkan panggilan Yesus, “Mari, ikutilah Aku!” Mengikuti-Nya bererti suatu perjalanan iman yang tidak lari daripada persoalan was-was, sedih, gembira. Namun percayalah, suatu penamat yang menggembirakan pasti terjadi, sebab Yesus telah mendahului kita untuk mencapai kemuliaan tersebut.

Maka semasa hidup di dunia ini, hendaknya kita tetap bertumbuh, berbuah dan bertahan di dalam iman, minda, jasmani dan rohani kita. (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Menurut pengalaman anda, apakah cabaran yang paling hebat yang anda alami dalam proses mengikuti Yesus?
  2. Dalam memilih murid-murid, Yesus tidak hanya melihat sifat-sifat mereka yang lahiriah tapi juga hal-hal yang terdapat jauh dilubuk hati mereka. Apakah hikmahnya sikap Yesus ini dalam hubungan kita dengan sesama?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Ingatlah orang yang paling anda tidak suka. Cuba anda ‘masukkan’ diri anda ke dalam orang tersebut dan carilah sekurang-kurangnya tiga sikap atau gaya hidup orang tersebut yang anda suka dan kagumi. Kemudian fikirkan hal-hal yang positif tentang orang tersebut.

Sharing is caring!