Hari Minggu Biasa Ke – 12 ( B )
Ayu.38:1,8-11; 2Kor. 5:14-17 ; Mrk. 4:35-41
Hampir setiap hari kita mendengar berita bencana alam terjadi di mana-mana di seluruh pelusuk muka bumi ini. Di negara kita sendiri, kerajaan banyak mengeluarkan wang ringgit untuk membantu orang-orang yang dilanda banjir, ribut petir sehingga ramai orang kehilangan tempat tinggal.
Di zamannya Yesus, bencana alam sering terjadi sama seperti yang kita alami sekarang. Walaupun kesannya sungguh mengerikan, namun Yesus tidak pernah untuk meniadakannya di dalam kehidupan manusia. Mengapa demikian? Salah satu sebabnya kerana kita selalu tidak mempedulikan-Nya semasa kita berada dalam keadaan hidup yang senang. Maka itulah sebabnya Dia mengirimkan “tanda-tanda amaran” dan “peringatan-peringatan” dalam bentuk pelbagai bencana sebagai “rotan-rotan kecil” untuk menyedarkan kita. Agar kita menyedari kuasa Allah ke atas segala kuasa-kuasa kejahatan, maka Yesus meredakan angin ribut dalam Injil tadi, demi murid-murid-Nya.
Dalam Injil tadi kita mendengar Yesus bersama murid-murid-Nya telah dilanda angin taufan yang dahsyat ketika berada di tengah-tengah danau, merupakan simbol yang bersesuaian dengan kita sekarang. Acapkali kita dilanda taufan sehingga kita terumbang ambing bagaikan bahtera di tengah-tengah lautan. Ribut taufan akan muncul apabila kita ketagih dengan minuman keras dan dadah atau apabila kita dilanda oleh masalah ekonomi yang teruk atau kesihatan kita semakin berkurangan. Ribut taufan boleh juga muncul atas sebab-sebab keputusasaan yang tidak boleh kita elakkan atau kerana kita merasakan kita tidak dipedulikan dan merasa sangat kesepian. Kekadang angin kencang tentang masa-masa silam kita dan ombak kebimbangan kita tentang masa depan yang tidak pasti boleh menakutkan kita. Pada masa yang lain pula, masa kegelapan boleh menakutkan kita bagaikan selimut tebal ditutupkan ke seluruh badan kita di mana suasana gelap tiba-tiba menyelubungi kita.
Pada masa-masa seperti itulah Yesus meminta kepada kita agar tetap mempercayai kuasa ilahi-Nya untuk mengalahkan taufan yang dahsyat dalam kehidupan kita serta menyelamatkan kita daripada cengkaman kegelapan.
Perahu yang dinaiki oleh Yesus dan murid-murid-Nya itu boleh juga sebagai simbol Gereja, iaitu suatu komuniti yang percaya kepada Kristus. Perjalanan Yesus dengan murid-murid-Nya itu dengan perahu merentasi laut merupakan misi untuk mewartakan khabar gembira ke luar kawasan. Pergelutan mereka dengan angin taufan itu merupakan simbol pergelutan yang akan dihadapi Gereja di dalam misinya untuk mengalahkan penderitaan, kematian dan kuasa kejahatan di dunia ini. Tetapi apabila Kristus meredakan angin taufan tersebut, itu menandakan Kristus memberi jaminan bahawa Gereja akan tetap menang dan mencapai misi-Nya sebab Yesus sentiasa berada di dalam Gereja tersebut.
Memang setiap pengikut Yesus pada satu-satu masa tertentu akan menghadapi taufan kehidupan dalam mencapai misi kehidupannya. Jika kita selalu menunggu masa yang baik, kejayaan kita akan berkurangan. Tetapi jika kita berani megharungi lautan kehidupan yang bergelora, kita akan mencapai misi kita dengan cepat dan memuaskan walaupun berisiko tinggi.
Demikian juga dalam membangun kerajaan Allah, kita perlu bersiap sedia menghadapi ribut taufan dalam bentuk cacian, dikritik malah kadang-kadang dengan tindakan kekerasan, namun kita tetap maju ke kehidupan. Maka dalam hal ini kita perlu sentiasa ingat bahawa rahsiah Gereja yang tetap hidup ini bukanlah kerana mereka belayar di dalam perahu yang besar tetapi oleh kerana iman mereka yang mendalam terhadap Kristus.
Sama ada ribut taufan kehidupan yang kita hadapi ini secara individu atau sebagai satu komuniti Gereja, kita pasti akan dapat mengatasinya dengan syarat kita berharap pada kuasa Allah, bukan berharap pada kuasa kita sendiri sahaja. Untuk menguatkan nasihat ini baiklah kiranya kita mengambil hikmah kisah sang gajah berikut ini.
Gajah adalah lambang kekuatan dan kekuasaan. Dengan tenaganya sendiri ia mendorong, menarik, merobohkan atau membuat jalannya melintasi hutan. Ia tidak takut dan bebas. Namun suatu hari dia terkubur di dalam sungai dan seekor buaya yang amat besar menarik kakinya untuk masuk ke dalam sungai.
Sang gajah berusaha bertahan dengan segala kemampuannya, namun sia-sia. Ia kehabisan tenaga dan tidak berdaya lagi. Dia tetap bertahan menyelamatkan diri dan nama baiknya sebagai binatang terkuat di hutan. Tetapi semakin kuat ia menarik semakin ia kehilangan tumpuan dan perlahan-lahan ditarik oleh sang buaya ke dalam sungai. Akhirnya, dalam keputusasaan ia mengubah siasahnya.
Ia ingat akan Allah dan berdoa: “Allah, tolonglah aku,” ia memohon, “Kekuatanku tidak dapat menyelamatkan aku.”
Kemudian Allah mengirimkan seekor rajawali yang besar, lalu menyelamatkannya dari buaya dan dari kesombongannya.
Bantuan Allah nampak ketika binatang terkuat di bumi mengakui keterbatasannya. Itulah sebuah contoh rahmat atau bantuan Allah. Rahmat itu datang ketika kita menyedari keterbatasan-keterbatasan kita hanya dengan menolak sikap sombong, maka kita siap untuk mempercayai rahmat Allah. Pada waktu itulah hidup sejati dimulakan.
Dalam masa-masa kita berada dalam keadaan ribut taufan kehidupan, hendaknya kita berteriak kepada Allah mohon bantuan-Nya. Namun kita perlu sentiasa ingat, bukan mudah berteriak mohon pada Tuhan namun tetap berada dalam keadaan taufan tersebut. Maka kita perlu tumpukan perhatian kita bukan pada ribut tersebut, tetapi kepada Allah. Dia tetap berada di sekitar kita, tetapi Dia tidak tergesa-gesa mengabulkan permohonan kita tepat pada masanya, sama seperti pengalaman murid-murid-Nya yang berada di dalam perahu yang hampir tenggelam berteriak, “Guru, Engkau tidak peduli kalau kita binasa?” Pada waktu itu Yesus menghardik angin itu, “Diam! Tenanglah!” Lalu angin menjadi teduh, seteduh-teduhnya. (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.
- Mengapakah Allah seakan-akan membiarkan segala bencana melanda kehidupan manusia?
- Segala permohonan kita seringkali lambat dikabulkan Allah. Namun apabila kita hampir berputus asa, pada ketika itulah doa kita dikabulkan. Menurut pendapat anda, mengapa terjadi demikian?
Cadangan aktiviti minggu ini.
Ambilah masa untuk datang bertemu Yesus sekerap mungkin di hadapan Sakramen Mahakudus untuk bersaat teduh. Duduklah dengan diam dan merasakan kehadiran-Nya serta mendengar suara-Nya. Amalkan ‘aktiviti’ ini pasti hidup anda akan sentiasa damai walaupun menghadapi pelbagai masalah.