KENINGAU : Komiti Katekatikal telah mengadakan aktiviti sempena dengan Minggu Katekatikal Sedunia di St. Yohanes Penginjil, Senagang. Meskipun Minggu Katekatikal Sedunia disambut pada bulan Februari lepas, namun aktiviti sempena dengan Minggu Katekatikal ini diadakan pada 29 – 30 September 2018.
Program yang bertemakan “Kristus Pengharapan Kita” berlangsung selama dua hari. Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan bercerita dan berpidato serta pertandingan melukis. Selain itu, pertandingan pameran bagi setiap Zon dibawah naungan Paroki KSFX juga turut diadakan.
Sempena dengan itu, Misa Kudus telah diadakan. Bertempat di Gereja St. Yohanes Penginjil disempurnakan oleh YM Uskup Cornelius Piong. Seramai lebih kurang 300 orang umat yang datang dalam perayaan misa ini.
Selepas bacaan injil, Uskup menjemput adik Steve Benjamin, pemenang bagi pertandingan pidato untuk menyampaikan pidatonya.
Prelatus itu menyatakan kebanggaannya akan program-program yang dijalankan dan berterima kasih kepada Zon Senagang akan kesanggupan menjadi tuan rumah pada tahun ini.
“Berdasarkan tema Minggu Katekatikal Sedunia ini, sememangnya bukan mudah untuk meletakkan pengharapan kita kepada Kristus. Terutama sekali pada zaman teknologi ini, banyak benda duniawi yang memukau dan melalaikan kita. Oleh itu, untuk membangunkan pengharapan kepada Tuhan perlu diingati bahawa Allah mengasihi kita dan Dia menyertai iman dan mendampingi kita. Sedarilah juga bahawa Tuhan yang kita kenal adalah yang menyelamatkan,” Ujar Uskup.
Beliau juga berpesan agar aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti ini disokong oleh umat supaya destinasi hidup terjamin.
Seusai Misa, jamuan kesyukuran dan penyampaian hadiah diadakan di dewan St. Yohanes Penginjil. Tuan rumah bagi sambutan Minggu Katekatikal Sedunia pada tahun 2019 adalah Katedral St. Francis Xavier. –KOMSOS KGAU
Aktiviti dimulakan dengan Upacara Pentaktahan Alkitab
Pameran
Peserta Pertandingan Bercerita
Peserta Pertandingan Berpidato