DUNIA BENAR-BENAR MEMERLUKAN BELAS KASIH TUHAN

Artikel oleh : Melissa Floly

Keningau:  Pada 16 April yang lalu, St. Yohanes Penginjil, Panui (Zon Luanti) telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Pesta Kerahiman Ilahi bagi peringkat paroki KSFX. Pesta Kerahiman Ilahi telah ditetapkan oleh Gereja untuk disambut pada setiap minggu kedua Paska, dan tahun ini telah menghimpunkan seramai 600 orang umat yang menghadiri perayaan  ini. Misa Kudus diadakan pada jam 3:00 petang oleh Rev. Fr Lazarus Uhin yang merupakan pembimbing rohani Kerahiman Ilahi KSFX. Misa Kudus ini dimulakan dengan upacara perarakan dan  pentakhtaan imej Kerahiman Ilahi.

Fr. Lazarus dalam homilinya berkata, “dunia pada hari ini, benar-benar memerlukan pengampunan dan belas kasih Tuhan. Seperti Santa Faustina yang sudi bekerjasama dengan Yesus dalam misi penyelamatan jiwa-jiwa umatNya, paderi itu menyeru kepada para pendevosi untuk semakin menjiwai dan taat berdoa kepada Kerahiman Ilahi agar dapat memperoleh rahmat Indulgensi yang dijanjikan Yesus Kristus. Menjadi harapan Fr. Lazarus juga agar seluruh umat dapat menyebarkan devosi kepada belas kasih Tuhan yang tidak terbatas ini kepada keluarga dan sesama.  Kasih, damai dan sukacita yang sejati, tidak dapat diberikan oleh dunia kepada kita, ia hanya boleh ditemukan dalam peribadi Yesus Kristus,” tambah klerus itu mengakhiri homili.

Puan Nancy Nelly Joneh, PMPP KSFX mengucapkan penghargaannya kepada semua yang terlibat dalam persiapan pelaksanaan perayaan ini dan beliau mengucapkan terima kasih kepada para pendoa yang benar-benar komited dalam devosi mereka mereka selama ini. Belas kasih dan Kerahiman Ilahi Tuhan adalah untuk kita semua umat Allah, ujarnya lagi.

Encik.Romandus Philip, Pengerusi Zon Luanti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya bagi Kuk St Yohanes Penginjl, Panui yang sudi menjadi tuan rumah bagi perayaan ini dan menjelaskan bahawa, Zon Luanti telah menjalankan ziarah Imej kerahiman Ilahi di setiap Kuk bermula dari 18 Mac 2023  dan berakhir di Kuk Panui. Pengerusi Zon berharap agar umat di Zon Luanti dapat terus mengekalkan kerjasama yang mantap di masa akan datang.

Pengerusi Komiti Kerahiman Ilahi KSFX, Encik Julius Topin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua tim penganjur yang atas kesudian mereka menganjurkan perayaan ini. Beliau juga menjelaskan bahawa tujuan Pesta kerahiman Ilahi ini dilakukan secara bergilir oleh setiap Zon untuk menyahut Misi Keuskupan,iaitu membawa umat  berjalan bersama melalui Yesus Kristus dan seterusnya sebagai usaha menyebarluaskan devosi Kerahiman Ilahi Tuhan yang agung kepada umat di setiap zon.

Puan Dorin Vitalis, pengerusi pelaksana Pesta kerahiman Ilahi mengucapkan terima kasih kepada semua umat dalam Zon dan juga dari luar zon atas kerjasama dan sokongan sepanjang persiapan menjayakan Pesta Kerahiman Ilahi ini. Kuk Panui ini baru sahaja menubuhkan tim Kerahiman Ilahi pada tahun lalu, dan berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi perayaan ini. Beliau juga sempat berkongsi pengalaman semasa membawa Devosi Kerahiman Ilahi semasa ziarah dalam KKD di Zon Luanti, yang mana telah menghadirkan Yesus Kristus sehingga ziarah tersebut dipenuhi dengan kegembiraan dan kebersamaan antara sesama jelas terasa.

Pada penghujung perayaan Misa Kudus, Rev. Fr. Lazarus Uhin merasmikan perayaan serta mengumumkan Zon Apin-Apin sebagai tuan rumah bagi perayaan Pesta Kerahiman Ilahi pada tahun hadapan. Majlis kesyukuran disambut di dewan gereja Kuk Panui selepas misa kudus selesai.

Sharing is caring!