Apin-Apin – Umat di Gereja St Anthony, Apin-Apin menjadi saksi di mana seramai 45 calon Krismawan dan Krismawati mempersiapkan diri untuk menerima Sakramen Krisma dari tangan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong. Tepat jam 8 pagi, para calon menempati tempat duduk yang telah disediakan dengan berpakaian putih. Kegembiraan terpancar di wajah para calon yang sudah tidak sabar lagi untuk menerima Sakramen ini.
Dalam kata pembukaannya, Bapa Uskup mengajak umat yang hadir untuk menyedari bahawa peristiwa pada pagi ini adalah tanda bahawa Tuhan sentiasa bekerja di dalam hati orang-orang yang percaya kepada-Nya. Umat yang hadir menjadi saksi di mana seramai 45 calon akan menerima Sakramen Krisma dan kepada para calon, Bapa Uskup menasihatkan agar sungguh-sungguh mempersiapkan diri dengan doa-doa peribadi agar berkat dari Sakramen ini sungguh-sungguh dapat dialami di dalam kehidupan sehari-hari. Para calon jangan pernah menganggap penerimaan Sakramen ini sebagai upacara belaka melainkan pertemuan peribadi dengan Kristus sendiri.
Di dalam homilinya, Bapa Uskup mengajak umat dan para calon Krismawan dan Krismawati kembali kepada bacaan Injil pada pagi ini. Yesus menerangkan bahawa Dialah roti yang dapat memberikan hidup tetapi orang-orang yang mendengar-Nya memiliki sikap skeptis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa Yesus sungguh-sungguh Putera Allah yang turun dari syurga. Ketidakpercayaan ini dikuatkan lagi kerana mereka mengenali siapa ibubapa Yesus.
Perjalanan hidup kristiani kita diawali dengan pembaptisan. Ada yang dibaptis ketika masih bayi dan ada yang dibaptis ketika sudah dewasa. Dengan menerima pembaptisan, Bapa Uskup menjelaskan bahawa kita semua diangkat ke martabat seorang anak dan pembaptisan ini adalah saluran bagi kita untuk masuk diterima menjadi anggota keluarga Yesus. Namun, jika kita menerima pembaptisan tanpa persiapan, tanpa memahami apa yang kita lakukan, maka itu hanya akan menjadi upacara sahaja dan tidak ada kesan ke dalam kehidupan hariannya. Kesedaran telah diangkat menjadi anak dan disatukan dengan keluarga Yesus tidak akan pernah disedari dan itulah mengapa tidak ada kerinduan di dalam hati untuk pergi ke gereja setiap hari minggu.
Setelah pembaptisan, kita menerima pula apa yang kita kenali dengan Komuni Kudus. Setiap calon dipersiapkan baik secara ilmu mahupun secara rohani agar dapat memahami dan menerima ke-misteri-an perubahan roti dan anggur menjadi Tubuh dan Darah Yesus sendiri. Sekali lagi Bapa Uskup menekankan bagi yang tidak pernah mempersiapkan diri secara rohani, maka orang itu tidak dapat mengimani perubahan yang terjadi ketika kata-kata konsekrasi diucapkan oleh seorang Uskup atau seorang Paderi. Roti dan anggur tetap roti dan anggur belaka.
Apa pun Sakramen yang akan kita terima, semua itu memerlukan persiapan. Persiapan secara ilmu, fizikal mahupun rohani amat sangat diperlukan agar rahmat dari Sakramen itu dapat dikecap dan dialami.
Dan pada pagi hari ini, 45 calon akan menerima Sakramen Krisma. Kepada para calon, Bapa Uskup berpesan agar selalu bersyukur kerana mempunyai katekis-katekis pembimbing yang selama ini berusaha sebaik mungkin mempersiapkan mereka. Mungkin apa yang diajarkan tidak dapat difahami, tetapi dengan bantuan Roh Kudus, tidak ada yang mustahil, katanya.
Kepada para calon, Bapa Uskup menyampaikan pesan dan nasihat beliau akan erti menerima Sakramen tersebut. Dengan menerima Sakramen Krisma, para calon akan menerima Roh Kudus, dijadikan dewasa dan diminta untuk menjadi saksi tanda kehadiran Kristus di dalam hidup mereka. Beliau mengingatkan bahawa ketika para calon menerima pembaptisan, pada waktu itulah para calon sudah menerima Roh Kudus.
Dengan menerima Sakramen Krisma, kamu akan menerima kehadiran dan kuasa Roh Kudus. Bapa Uskup mengutip kata-kata Rasul Paulus dalam 2 Tim 1:6-7 yang berbunyi “Karena itulah kuperingatkan engkau untuk mengobarkan karunia Allah yang ada padamu oleh penumpangan tanganku atasmu. Sebab Allah memberikan kepada kita bukan roh ketakutan, melainkan roh yang membangkitkan kekuatan, kasih dan ketertiban”.
Beliau menjelaskan peranan Roh Kudus antara lain adalah: membawa kepada kebenaran, memberi kuasa untuk bersaksi, buah-buah Roh seperti kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan dan penguasaan diri.
Bapa Uskup menasihatkan kepada para calon yang akan menerima Sakramen Krisma untuk memiliki motif yang benar dan bukannya motif yang menyimpang. Ada calon yang memiliki motif yang kurang jelas seperti mahu menukar nama yang lebih glamour kerana nama yang ada kurang populer, ada yang mahu menonjolkan kecantikan dan pakaiannya (sexy), kesempatan seperti ini dipakai untuk memuaskan motifnya yang kurang sesuai.
Bapa Uskup berterima kasih kepada katekis-katekis pembimbing yang telah mempersiapkan para calon untuk menerima Sakramen Krisma pada hari ini dan berdoa kepada Krismawan/Krismawati agar semakin mendekatkan diri kepada Kristus yang adalah Tuhan dan Juruselamat. Tidak lupa juga, Bapa Uskup berterima kasih kepada ibubapa yang telah mendorong anak-anak mereka untuk mengikuti kelas bimbingan dalam mempersiapkan diri untuk perayaan pada pagi hari ini.