Artikel ini ditulis berdasarkan Homili Rev.Fr Bonaventure Unting semasa Misa Kudus Pengangkatan Maria ke Surga di Katedral St.Francis Xavier Keningau pada 15 Ogos 2022
Mengutip pembacaan Injil Lukas 1: 39-59 yang menceritakan bagaimana anak dalam kandungan Elisabet itu melonjak sehingga Elisabet menyapa Bonda Maria, “Siapakah aku ini sampai Ibu Tuhanku datang mengunjungi aku? Persoalan seperti ini mungkin saja pernah muncul di dalam benak hati kita, namun mungkin lebih berbunyi seperti berikut, “Siapakah Bonda Maria ini, sehingga saya/kami perlu menghormatinya?”.
Yang pertama, bagaimana pun cara kita menghormati Bonda Maria, ia tidak akan pernah dapat menandingi bagaimana Allah menghormati Maria itu. Ini kerana Allah sendirilah yang memilih Maria untuk mengandung Putera TunggalNya, Yesus Kristus, Maria juga dipilih untuk menjadi Ibu kepada Tuhan kita.
Yang kedua, Maria terlibat secara langsung di dalam Sejarah penebusan dan penyelamatan kita. Apabila Maria menyahut, “terjadilah padaku menurut perkataan-Mu,” dia merelakan dirinya dengan penuh rendah hati dan cinta akan Allah dan bersedia untuk mengharungi apapun cabaran agar tercapailah tujuan rencana itu.
Yang ketiga, Maria telahpun diangkat ke surga, dekat dengan Tuhan kita Yesus Kristus. Maria mengenal siapa Yesus Kristus itu bukan sahaja semasa membesarkan Yesus di dunia tetapi juga apabila bersama denganNya di surga. Bonda Maria juga orang yang pertama mengusulkan muijizat yang pertama yang dilakukan oleh Yesus kepada tuan rumah yang kehabisan anggur tersebut. Ini beerti, Maria bukan sahaja dekat dengan PuteraNya tetapi dekat dengan kita, dan tentulah kita juga boleh memohon bantuan Bonda Maria, untuk bagaimana datang kepada Yesus.
Ada 3 perkara juga yang kita ketahui melalui pengangkatan Bonda Maria ini. Yang pertama Kematian bukanlah kehendak Allah. Kematian ada kerana adanya Dosa. Namun seterusnya, yang kedua, melalui peristiwa ini, kita mengetahui bahawa kematian bukan akhir hidup kita.
Bonda Maria yang diangkat tubuh dan jiwa ini telah memberi kita pengetahuan tentang bahawa yang ketiga, kita semua akan dibangkitkan dan tinggal bersama dengan Allah. Kematian bukanlah yang akhir, namun kehidupan kekal adalah pasti_Juanis bin Marcus