TETAP MENGASIHI WALAU APA PUN YANG TERJADI

Hari Minggu Paska Ke – 7 ( B )

 (Hari Komunikasi Sosial Sedunia Ke-49)

Kis. 1:15-17, 20-26; 1Yoh. 4:11-16; Yoh.17:11-19

Suatu hari ada seorang tua sedang duduk bertafakur di tepi sungai, di bawah pohon kayu ara. Semasa bertafakur, dia melihat seekor kala jengking berpaut pada akar kayu ara tersebut hampir mati lemas digenangi air yang sedang pasang. Dia mengambil ranting kecil lalu mendekati kala jengking itu untuk diselamatkan. Setiap kali dia menghulurkan ranting kayu tersebut, maka pada waktu itu pulalah kala jengking tersebut berusaha menyengatnya. Orang-orang yang lalu di situ menegurnya, “Apakan engkau tidak tahu sifat semula jadi kala jengking adalah menyengat?” Lalu dijawab oleh orang tua itu, “Memanglah begitu, tetapi sifat semula jadi saya adalah menyelamatkan. Perlukah saya merubah sifat saya ini?

jesusKisah orang tua ini bolehlah kita umpamakan dengan sifat Allah. Sifat semula jadi Allah adalah untuk menyelamatkan manusia melalui kasih-Nya terhadap kita. Betapa kerapnya kita menyakiti hati-Nya, (Bagaikan kala jengking tersebut) melalui ketidaksetiaan kita dan betapa jauhnya kita telah melarikan diri daripada dekapan-Nya. Namun Dia tetap mencari kita kerana sifat-Nya yang maha pengasih itu.

Di dalam peristiwa perjamuan terakhir yang dipaparkan dalam Injil tadi, Yesus merasa risau apakah akan terjadi pada pengikut-pengikut-Nya apabila Dia meninggalkan mereka. Perkara ini kita ketahui melalui doa yang diucapkan Yesus bagi pengikut-pengikut-Nya. Di dalam doa-Nya, Dia memohon kepada Allah Bapa agar pengikut-pengikut-Nya tetap setia, bersatu, sentiasa dalam kebenaran dan bebas daripada kejahatan. Namun salah satu doa-Nya yang berikut ini sungguh mengejutkan pula: “Aku tidak meminta Engkau membebaskan mereka daripada dugaan dan kesengsaraan, tetapi supaya Engkau melindungi mereka daripada yang jahat” (Bdk ay 15).

Yesus dapat meramalkan bahawa kehidupan yang akan dihadapi oleh para pengikut-Nya tidak selalu mudah. Ternyata sudah banyak kali Dia memperingatkan mereka bahawa suatu ketika nanti mereka juga akan dibenci sama seperti yang telah dialami-Nya sendiri. Namun apa yang menarik, Yesus tidak pernah berdoa agar mereka bebas daripada cubaan dan kesengsaraan, tetapi agar mereka tetap setia walaupun mengalami pelbagai penderitaan. Dia tidak pernah berjanji melepaskan mereka daripada masalah tetapi kekuatan untuk menghadapinya. Sebenarnya kita boleh belajar dari hakekat ini sebab biasanya kita berpendapat bahawa Allah telah melupakan kita apabila kita menghadapi pelbagai masalah.

Melalui doa Yesus ini, ada satu perkara lagi yang kita ketahui, bahawa kerana kasih Yesus membebaskan serta meninggalkan murid-murid-Nya tetap berada di dunia ini, agar mereka terus memperkenalkan Allah adalah kasih itu kepada sesamanya. “Kuduskanlah mereka dalam kebenaran. Sama seperti Engkau telah mengasihi Aku di dalam dunia, demikian pula aku telah mengutus mereka ke dalam dunia” (Yoh 17:17-18), demikian isi doa Yesus tersebut. Ya, memang kita sudah dikuduskan dan telah diutus semenjak kita dibaptis dan dikuatkan melalui Sakramen Penguatan untuk menjadi saksi-Nya dan mewartakan sabda-Nya.

Atas sebab inilah, setiap minggu kita terus diajar oleh sabda Tuhan dan dikuatkan oleh Ekaristi. Dunia di mana kita diutus untuk bersaksi mungkin menakutkan kerana disebabkan konflik politik, kemiskinan dan penindasan, ketidakadilan dan keganasan, pengguguran janin dan dadah. Namun kita jangan lari dari kenyataan hidup ini, tetapi menghadapinya dan mengatasinya berkat bantuan rahmat Tuhan yang maha pengasih itu. Peranan kita adalah mempengaruhi dunia ini serta membaharuinya berpandukan Khabar Gembira. Kita bukanlah orang-orang yang percaya pada kebangkitan Kristus hanya untuk keselamatan kita sahaja, tetapi kita adalah orang-orang yang beriman pada Kristus demi transformasi dunia ini juga sebab adanya perasaan kasih kita terhadap dunia ini.

saudara“Saudara-saudaraku, yang kekasih, jikalau Allah sedemikian mengasihi kita,” kata St.Yohanes, “maka haruslah kita juga saling mengasihi. Jika kita saling mengasihi, Allah tetap di dalam kita, dan kasih-Nya sempurna di dalam kita” (1Yoh 4:11-12). Mungkin dunia menutup telinga pada setiap usaha kita untuk membawa perubahan, malah boleh jadi ia menyengat kita pula seperti kala jengking apabila kita mahu menyelamatkannya. Namun itu semua bukanlah menjadi alasan mengapa kita harus berputus asa terhadap dunia ini jika kita sungguh mengasihi dunia sama seperti Allah mengasihi kita.

“Mengasihi, mengasihi, lebih sungguh, Tuhan lebih dulu mengasihi kepadaku. Mengasihi, mengasihi lebih sungguh.” Demikian sepotong lagu rohani yang sering kita dengar dinyanyikan di dalam gereja. Mudah-mudahan kata-kata kasih yang kita ucapkan dan kita nyanyikan setiap hari betul-betul kita hayati untuk mengasihi, sebab Allah lebih dahulu mengasihi kita (1Yoh 4:10). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

  1. Yesus tidak pernah mendoakan agar murid-murid-Nya bebas daripada cubaan dan kesengsaraan. Apakah tujuan-Nya berbuat demikian?
  2. “Kasih itu membebaskan.” Apakah makna kata-kata ini di dalam kehidupan kita sebagai pengikut Kristus?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Berdoalah setiap ada kesempatan bagi pasangan, anak-anak, sanak saudara agar mereka dikurniakan semangat untuk saling mengasihi dan menjadi agen-agen kasih Yesus terhadap komuniti, di mana mereka berada.

 

Sharing is caring!