
Gambar 1: Persembahan dari Kanak-Kanak St.Mary, Bingkor
Bingkor, Keningau – KUK Gereja St.Mary, Bingkor mengambil peluang hari terakhir Sambutan Krismas dan Pesta Pembaptisan Yesus dengan mengadakan Majlis Krismas dan Tahun Baru peringkat kuk, yang berlangsung pada 12 Januari 2025 yang lalu.
Perayaan dimulakan dengan Misa Kudus Minggu yang diselebrankan oleh Fr. Appolonius Yakis. Dalam homilinya, klerus itu mengesa agar umat menjadi martabat sebagai anak-anak Tuhan. “Semasa Yesus dibaptis, Allah Bapa lantas mengatakan “Inilah Anak-Ku yang Ku kasihi”, sekaligus memberi kita gambaran bahawa Sakramen Pembaptisan yang kita terima turut mengangkat martabat kita sebagai anak-anak Tuhan.”
Klerus itu seterusnya menambah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga martabat sebagai anak-anak Tuhan. “Martabat kita ini harus kita kembangkan, pelihara dan hayati, dan bagaimana untuk melakukannya adalah dengan doa,” jelas klerus itu. Klerus itu turut mengulas lanjut bahawa Yesus juga berkomunikasi dengan Allah Bapa melalui doa, oleh itu melalui doa jugalah manusia mampu berkomunikasi dengan Yesus Kristus. “Oleh itu berdoalah sekerap mungkin kerana ia pasti membantu kita mengadakan relasi yang erat dengan Yesus Kristus,” ulas klerus itu lagi.
Fr. Appolonius Yakis yang menyambut ulang tahun pentahbisannya yang ke-2 pada tahun ini turut menambah agar umat memperbaiki komunikasi diantara sesama terutama dalam keluarga. “Telefon pintar yang sepatutnya membantu memperbaiki komunikasi kita kini menjadi halangan terbesar dalam komunikasi keluarga. Lihat sahaja semasa makan bersama, perbualan diantara ahli keluarga bukan menjadi keutamaan sebaliknya kita lebih cenderung melayan telefon masing-masing. Kebiasaan ini harus dihentikan,” tutup klerus itu.
Majlis diteruskan di Dewan Terbuka St.Mary, Bingkor, dengan sesi ucapan. En.Hendry Jakaria, Pengerusi KUK St.Mary, Bingkor mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penganjur kali ini, KKD St.Bridget, Tuntumulud kerana berjaya melaksanakan program dengan jayanya. “Tahniah juga saya ucapkan kepada semua umat yang sentiasa memberi sokongan padu dalam majlis ini yang kita adakan setiap tahun. Semoga kesatuan ini juga kita amalkan dalam membangun pelbagai projek pembangunan khususnya di Gereja St.Mary Bingkor, ini” tutup pengerusi, En.Hendry.
Selepas sesi ucapan, turut diadakan acara pemotongan kek, cabutan tiket bertuah dan pelbagai persembahan. Turut diumumkan penganjur bagi program yang sama pada tahun hadapan adalah Gabungan KKD St. Catherine & KKD Maria Ratu Rosari – Juanis