ROH KUDUS KUASA YANG TIDAK KELIHATAN

 Hari Minggu Pentekosta ( B )

Kis.2:1-11; Gal. 5:16-25; Yoh.15:26-27; 16:12-15

 

Bercakap tentang pengalaman Roh Kudus ini memang tidak sama bagi setiap individu. Tetapi ada satu perkongsian yang disampaikan oleh seorang paderi semasa seminar hidup baru dalam Roh. “Roh Kudus itu bagaikan memakai kaca mata.” Katanya, “Apabila kaca mata tersebut sudah dipakai dan kita merasa selesa, lambat laun kita tidak merasakan lagi kehadirannya.” “Peranan kaca mata menjadi sempurna,” katanya lagi, “apabila melaluinya, kita dapat menonton TV atau membaca buku dengan selesa.” “Kaca mata bukan untuk dilihat, tetapi sebagai alat supaya kita dapat melihat dengan selesa,” katanya lagi sebagai penutup illusttrasinya tentang apa itu Roh Kudus.

rkMemang betul Roh Kudus seperti kaca mata. Jika kita merungut kerana tidak dapat menemukan-Nya bererti samalah kita merungut kerana merasa tidak dapat menemukan kaca mata kita, walhal benda tersebut tersangkut di kedua belah cuping telinga kita dan tersadai di atas hidung kita.

Salah satu tanda yang menjelaskan kita sesuatu tentang misteri karya Roh Kudus tersebut adalah “tiupan angin keras” (KPR 2:2) yang dialami oleh para murid Yesus pada hari pentekosta yang pertama. “Angin” juga digunakan oleh Alkitab untuk menandakan “nafas” atau “Roh” seseorang (Lih Kel 2:7, KPR 17:25). Peranan Roh adalah untuk membangkitkan semangat atau “menghembuskan kehidupan” ke dalam peribadi seseorang. Maka seseorang yang sudah dibangkitkan semangatnya akan menjadi hidup dan cergas badan dan otaknya.

Roh Kudus adalah nafas Gereja. Sebalum kedatangan hembusan Roh Kudus, kehidupan Gereja bagaikan janin yang masih berada di rahim ibunya. Hanya apabila “tiupan angin keras” itu datang pada hari pentekosta yang pertama, barulah Gereja dapat menerima kepenuhan hidup ilahi.

Nafas ilahi telah memberi Gereja purba suatu kuasa yang hebat. Bahawa bagi mereka yang pengecut, diberikan karunia ketabahan hati, karunia lidah dan karunia menyembuhkan. Sejak itu, kuasa Roh Kudus menjadi suatu kekuatan yang bersifat dinamik iaitu nafas dan kehidupan Gereja itu sendiri.

Fakta ini dengan jelas dapat kita ketahui melalui sejarah Gereja. Pada waktu dahulu Gereja mengalami pelbagai kelemahan dan sikap tidak bertanggung jawab oleh para pemimpinnya sehingga orang-orang seperti Martin Luther telah membuat ramalan tentang kejatuhannya. Dan memang ramalannya itu betul terjadi sehingga Gereja kita pada waktu itu mengalami sejarah hitam yang akibatnya pun sungguh mengecewakan.

Saya masih ingat beberapa waktu yang lalu ada seorang paderi dari Indonesia datang ke keuskupan kita, Keningau. Setelah berada di keuskupan kita beberapa ketika dan setelah mengalami gaya kehidupan umat yang bagi dia kelihatan terlalu sosial tetapi mengasyikkan katanya, lalu memberi komentarnya, “Jika tidak berhati-hati,” katanya, “keuskupan ini bisa ambruk!” maksudnya jika umat dan pemimpinnya tidak berhati-hati dalam segala tindak tanduk kehidupan sosialnya, maka dia meramalkan keuskupan Keningau boleh mengalami keruntuhan.

Syukur sampai sekarang kita bangga keuskupan kita semakin berdiri gagah. Saya percaya ini semua kerana kita, walaupun kehidupan sosial tetap kita pertahankan, tetapi semua akktiviti itu berpusatkan pada Kristus. Selagi kita nombor satukan Kristus dalam setiap aktiviti kita sebagai umat Allah, saya pasti ramalan paderi tersebut tidak akan menjadi.

Walaupun kehidupan Gereja kita mengalami pelbagai sejarah hitam, namun Gereja kita tetap bangkit, lebih dibaharui dan lebih disucikan. Hanya satu penjelasan yang pasti mengapa ia boleh bangkit semula setiap kali ia jatuh, iaitu kekuatannya bukan terletak pada dirinya sendiri, tetapi hembusan Roh Allah yang sentiasa menghembusinya. Saya pasti para pemimpin Gereja dan umat Allah sentiasa mengamalkan nasihat St.Paulus ini: “Jika aku lemah, maka aku kuat” (2Kor 12:10).

PASSIONPerubahan yang luar biasa kepada umat kristian yang dingin, endah tak endah, juga pasti terjadi sebab Roh Kudus itu bebas terbang ke mana-mana. Contohnya saya kenal seorang sahabat yang suka bercerita bagaimana mengumpulkan wang yang banyak melalui kebun kelapa sawitnya yang luas serta mencari hubungan bisnes dengan orang-orang kenamaan melalui permainan golf. Apabila saya bercakap tentang agama dan aktiviti gereja pula, dia mulai menghindari saya. Memang dia pergi juga ke gereja sekali sekala, tetapi itu pun hanya di luar bersandar pada tiang gereja.

Kami putus hubungan beberapa tahun lamanya. Tetapi suatu ketika saya bertemu dengannya secara kebetulan. Di dalam perbualan kami saya menjangkakan dia akan berceloteh tentang tajuk kegemarannya, ladang kelapa sawit dan bagaimana mendapatkan wang banyak daripadanya serta hobinya bermain golf demi gengsi itu.

Tetapi aneh bin ajaib, saya mulakan dengan topik yang disukainya, tetapi malah terbalik. Malah dia bercakap pula “pelayanan untuk Tuhan, kegembiraan dan kepuasan melayani sesama.” Pada mulanya saya sangka saya silap orang.

“Hello kawan, apa sudah jadi?” saya bertanya. “Oh panjang ceritanya,” jawabnya. “Tangan saya patah akibat kemalangan di kebun kelapa sawit, saya tidak boleh bermain golf lagi. Apabila saya menghadiri seminar-seminar kerohanian di gereja, saya mulai sedar bahawa saya kehilangan banyak perkara penting di dalam hidup ini. Tuhan dahulu hanya sampingan bagi saya, tetapi sekarang Dialah nombor satu di dalam hidup saya.” Jelasnya dengan panjang lebar.

Memang ada banyak perubahan terjadi seperti ini dan pada ketika ini. Memang tidak dinafikan lagi di sebalik semuanya ini, Roh Kudus telah memberi bimbingan, ingatan dan bekerja secara aktif sebagai kuasa misterius yang tidak kelihatan itu di dalam kehidupan kira masing-masing. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi danperkongsian KKD.

1          Yesus memberikan kepercayaan yang sepenuhnya kepada para rasul-Nya untuk meneruskan karya penyelamatan-Nya di dunia ini. Persoalannya apakah kita sendiri berani ‘membebaskan’ orang-orang yang kita kasihi agar mereka boleh berdikari dengan bebas?

2          Menurut anda apa peranan Roh Kudus dalam hidup anda seharian?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Secara istimewa pada minggu ini kita membuka pintu hati untuk menerima kehadiran Roh Kudus dan membiarkan-Nya membimbing hidup kita selama-lamanya, sambil berdoa pada setiap kesempatan kita teringat pada Roh Kudus: “Roh Kudus, terangilah akal budiku dan pimpinlah aku agar mewujudkan kehendak Allah di dunia ini. Amin!”

Sharing is caring!