Keningau – Pada sabtu yang lalu (13/02), seramai 509 calon baptis mengikuti rekoleksi singkat yang diadakan di Dataran Keuskupan Keningau, untuk mempersiapkan para calon baptis diterima pada keesokan harinya di dalam perayaan Ekaristi.
Para calon baptis yang hadir dalam rekoleksi singkat ini, adalah calon-calon yang datang dari 12 Zon (Bingkor, Biah, Senagang, Menawo, Apin-Apin, Magatang, Toboh Laut, Kepayan, KSFX dan naungan) yang bernaung di bawah Paroki Katedral St Francis Xavier, Keningau. Dan didalam rekoleksi singkat ini, mereka dapat bertemu langsung dengan pembicara khas, iaitu, Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong sendiri.
Di dalam ceramahnya, Bapa Uskup memberikan nasihat-nasihat kepada para calon baptis, tentang erti menjadi pengikut Yesus yang sejati. Beliau menekankan bahawa bukan jumlah yang diperlukan, melainkan kualiti yang ada dalam setiap calon. Para calon juga diingatkan bahawa kehadiran mereka untuk dibaptis pada malam Paskah nanti, bukanlah disebabkan mahu mendapat nama baru yang populer, melainkan mahu secara peribadi menjadi anak-anak Tuhan dan sekaligus menjadi agen-agen penyebar cintakasih kepada sesama.
Beliau mengutip petikan dari Injil Matius 16:24 yang berbunyi “Lalu Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Setiap orang yang mahu mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya dan mengikut Aku”. Dari petikan ini, para calon baptis diajak untuk mengerti bahawa keputusan mahu mengikuti Yesus, bererti siap untuk mengalami penderitaan dan pencobaan. Mengikuti Yesus bukanlah hidup dalam keadaan yang enak-enak, melainkan siap sedia untuk mengalami penderitaan dan penganiayaan kerana iman akan Yesus. Untuk itulah, para calon baptis perlu setiap hari memohon rahmat dari Tuhan agar siap untuk mengangkat salib-salib kehidupan. Membiarkan kehendan dan rencana Tuhan yang terjadi di dalam hidup dan berdoa agar tidak mudah untuk mengkhianati iman akan Tuhan Yesus.
Bagaimana para calon baptis dapat menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut Yesus? Sekali lagi Bapa Uskup memberikan petikan dari Kolose 2:7 yang mana: “Hendaklah kamu berakar di dalam Dia dan dibangun di atas Dia, hendaklah kamu bertambah teguh dalam iman yang telah diajarkan kepadamu, dan hendaklah hatimu melimpah dengan syukur”. Pertama-tama, para calon baptis haruslah memiliki hubungan yang akrab dan dekat dengan Tuhan Yesus. Dengan apa? Dengan berdoa secara peribadi, membaca Alkitab setiap hari, hadir di dalam Adorasi dan Saat Teduh, dan merayakan perayaan Ekaristi sekaligus menghayati Sakramen-Sakramen, iaitu, Sakramen Rekonsiliasi dan Sakramen Ekaristi. Tanpa hubungan yang akrab dengan Yesus, mustahil bagi para calon baptis untuk setia memikul salib dan meneruskan perjalanannya sebagai pengikut Yesus.
Keesokan harinya, kesemua 495 para calon baptis, diselidiki oleh Bapa Uskup dan 12 calon mewakili setiap Zon naik ke halaman altar dan menandatangani buku upacara penerimaan dan diterima sendiri oleh Bapa Uskup untuk dibaptis pada malam Paskah nanti.
Dalam homilinya, beliau membawa umat untuk sedar bahawa dalam kehidupan ini, setiap manusia tidak pernah lepas dari godaan dan cubaan. Godaan untuk tidak taat kepada Tuhan, godaan untuk tidak melaksanakan apa yang menjadi tanggungjawab kita. Umat dijelaskan bahawa godaan yang dialami bukanlah suatu dosa, tetapi menjadi satu dosa ketika manusia mengikuti “kemahuan dan melakukan” dari si penggoda iaitu si Iblis itu sendiri. Iblis, menurut Bapa Uskup, mempunyai misi iaitu untuk menjatuhkan manusia dan Iblis selalu taat untuk melawan kehendak Tuhan. Yesus yang dikisahkan dalam Injil pada hari ini, turut mengalami godaan dari si Iblis. Godaan ada baiknya juga iaitu membawa manusia untuk merenungkan sejauh mana ketaatan kita terhadap perintah-perintah yang telah Tuhan berikan. Tanpa godaan, kita tidak akan pernah tahu, sejauh mana iman kita selama ini. Dari kelemahan kita itu, kita belajar untuk bangun dan terus memperbaiki diri.
Sekali lagi, para calon baptis diingatkan kembali bahawa keputusan mereka ini janganlah kerana ikut-ikutan. Kita mahu agar matlamat kita menjadi pengikut Yesus ialah agar kita hidup menyerupai Dia. Agar dapat menyerupai Yesus, perlu sentiasa ada ketaatan, taat kepada kehendak Tuhan. Jangan berfikir bahawa dengan dibaptis maka segalanya selesai. Pembaptisan hanyalah permulaan kita melangkah untuk mengikuti Yesus. Maka itu, kita perlu menyatukan diri kita dengan Yesus di dalam doa, membaca dan merenung firman Tuhan seperti yang tertulis dalam Mazmur 119:105 bahawa firman Tuhan itu adalah pelita yang memimpin langkah hidup kita dan terang yang menerangi akal budi kita, hadir dalam Adorasi dan Saat Teduh, hadir dalam perayaan Ekaristi dan menghayati Sakramen-Sakramen. Pesan ini bukan hanya untuk para calon baptis, tetapi juga bagi mereka yang sudah dibaptis, tegas Bapa Uskup.
Di akhir homilinya, beliau berpesan kepada semua umat bahawa jangan pernah bangga dengan diri sendiri ketika sudah mengalahkan suatu godaan. Seperti kisah dalam Injil pada pagi ini, beliau menjelaskan bahawa Iblis pergi meninggalkan Yesus dan menunggu peluang yang sesuai untuk datang kembali untuk menggoda-Nya. Bagi para pemimpin-pemimpin, pelayan-pelayan umat, kitalah yang sering digoda oleh Iblis. Semoga Injil pada pagi ini, kita semakin diteguhkan dan berpegang dan bersandar hanya kepada Yesus.