Tambunan – Hari yang ditunggu-tunggu semakin mendekat. Kini, hanya tinggal 95 hari lagi sebelum Sabah Youth Day – 4 (SYD4) berlangsung di Gerea Holy Trinity, Tawau. Persiapan demi persiapan dilakukan agar baik pihak penganjur mahupun peserta, boleh mengalami sukacita, pembaharuan sekaligus menjadi saksi bagi dunia. Bagi para peserta SYD4 yang berada di bawah naungan Keuskupan Keningau, MOT (Main Organizing Team) telah mengadakan persiapan untuk para peserta. Gereja St Theresa, Tambunan menjadi tempat untuk persiapan para peserta.
Seramai 75 peserta mendaftarkan diri di dalam persiapan tersebut. Mereka-mereka ini masing-masing mewakili setiap Gereja yang ada di Keuskupan Keningau. Setelah menyelesaikan pendaftaran, mereka mengikuti Devosi Jalan Salib bersama dengan umat dan diteruskan dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Rev Fr Anthony Mikat. Tepat jam 8 malam, para peserta memulai acara yang dipanggil Ice Breaking. Acara ini dibuat agar suasana kekeluargaan makin dirasai dan para peserta saling mengenal di antara mereka, dan tak lupa bagi team penganjur. Setelah itu, team perkongsian membahagi para peserta menjadi beberapa kumpulan kecil, dimana mereka diminta untuk mengongsikan apakah yang menjadi harapan mereka dengan mengikuti SYD4 nanti. Malam itu diakhiri dengan doa Ibadat Malam yang dipimpin oleh Sr Tauria FSIC.
Keesokan paginya, Sdri Roselinah Francis selaku Koordinator Komisi Belia Keuskupan Keningau mengajak para peserta untuk mengenal tema SYD4 iaitu “Berbahagialah orang yang murah hatinya kerena mereka akan beroleh kemurahan”. Di samping ceramah, para peserta juga diminta untuk saling mengongsikan pengalaman mereka berkaitan dengan tema dan tentunya pertanyaan yang sudah disiapkan oleh pihak penganjur sebelumnya. Sdri Lydia yang mewakili team Katekisis pula membawakan ceramah yang bertajuk “Siapakah saya sebagai belia Katolik hari ini?”. Penceramah mengajak para peserta untuk melihat realiti dunia saat ini. Realiti kehidupan para belia ketika menghadiri perayaan Ekaristi dan sebagainya. Apakah yang dialami oleh para belia dan bagaimanakah mereka boleh menghadirkan identiti mereka sebagai seorang belia Katolik yang tahan di dalam mengalami badai persoalan hidup. Team animasi yang diwakili oleh Cikgu Geraldene pula mengajak para peserta bagaimana para belia dan keluarga menanggapi “year of mercy”. Respon seperti apa yang diharapkan dan perkongsian di dalam kelompok memberi arah tujuan apakah yang boleh dilakukan oleh belia pada masa kini. Para peserta sungguh bersyukur kerana pada hari tersebut, mereka boleh menerima Tubuh Kristus di dalam perayaan Ekaristi dan dilanjutkan dengan Saat Teduh dan Sakramen Rekonsiliasi.
Hari terakhir, para peserta diberi kesempatan untuk bertanya seputar perjalanan program SYD4 nanti. Banyak input-input yang diharapkan dapat memperkaya iman belia Katolik, di dalam menghadapi cabaran dan tawaran dunia yang semakin menggiurkan. SYD4 menjadi tempat pertemuan para belia untuk saling menyokong dan saling berbagi suka mahupun duka. Semoga bertemu lagi di persiapan kedua, iaitu, Gereja St Patrick, Membakut.